Sputnik V(Vaksin COVID-19) telah dihasilkan. Merdekakah kita?

vaksin covid-19

Akhirnya, Russia mengumumkan mereka telah berjaya menghasilkan vaksin untuk melawan pandemik COVID-19. Dikala negara-negara lain masih lagi bertungkus lumus menguji dan menilai vaksin COVID-19 yang dicipta mereka serta kita hidup dalam keadaan berjaga-jaga, satu perkhabaran gembira telah diumumkan. Adakah kita sudah bolehkah gembira dengan berita ini?

Buat masa ini timbul banyak persoalan yang dibangkitkan oleh negara-negara besar dunia tentang keberkesanan vaksin Sputnik V bagi melawan penularan COVID-19 yang kita hadapi sekarang. Sama ada persoalan ini berpunca dari rasa iri hati atau atas motif politik disebabkan kemampuan Russia, sudah tentu banyak spekulasi yang boleh direkacipta. Sejarah juga telah mengajar kita tentang geopolitik kuasa-kuasa besar dunia ini. Jadi apakah yang telah diketahui setakat hari ini berkenaan vaksin Sputnik V?

Apakah itu Sputnik V?

Vaksin Sputnik V ini telah dihasilkan oleh Gamaleya Research Institute of Epidemiology and Microbiology yang berpangkalan di Moscow dan merupakan salah satu pusat penyelidikan yang tertua di Russia. Pusat penyelidikan ini telah mula beroperasi pada 1891 serta mempunyai kredibiliti dan reputasi yang tinggi dalam kajian saintifik.

Penghasilan vaksin ini adalah hasil kerjasama dengan kementerian pertahanan Russia berdasarkan kepada vaksin yang digunakan untuk melawan adenovirus iaitu sejenis virus yang boleh menjangkiti sistem pernafasan. Berdasar kepada laporan kementerian kesihatan Russia, vaksin Sputnik V boleh menghasilkan immuniti kepada penerima sehingga 2 tahun tetapi keputusan ujian yang terhad ini belum didedahkan kepada masyarakat umum.

Bagaimana Vaksin ini berfungsi?

Seperti yang dilaporkan, vaksin ini perlu diberi dalam 2 dos dan ia menggunakan sejenis virus lain iaitu adenovirus sebagai pembawa kod DNA coronavirus yang kemudiannya akan masuk ke dalam sel-sel badan manusia bagi menghasilkan sistem imuniti badan terhadap COVID-19.

Adakah vaksin ini telah melepasi ujian klinikal?

Menurut laporan yang dikeluarkan vaksin Sputnik V belum lagi melengkapkan ujian klinikal fasa ketiganya, iaitu ujian secara meluas dan melibatkan ribuan pesakit atau peserta. Mengikut prosedur penghasilan sesuatu ubat atau vaksin baru, terdapat beberapa fasa ujian klinikal yang perlu dilalui sebelum ia boleh diperkenalkan serta digunakan ke atas manusia. Secara asasnya terdapat tiga fasa penting dalam ujian klinikal dan fasa keempat akan dijalankan jika terdapat keperluan.

1. Fasa Pertama

Fasa pertama ujian klinikal sesuatu ubat atau vaksin baru hanya melibatkan bilangan kecil sukarelawan yang sihat. Ini bertujuan untuk memastikan ubat atau vaksin yang diberi tidak menyebabkan kemudaratan serta menunjukkan bukti ia dapat mendatangkan kebaikan.

2. Fasa Kedua

Fasa kedua akan dijalankan selepas fasa pertama berjaya. Dalam fasa kedua ini jumlah peserta adalah lebih ramai dan kebiasaannya melibatkan pesakit dengan penyakit yang hendak dirawat. Fasa kedua bertujuan untuk melihat keberkesanan merawat penyakit dan mencegah penyakit yang berkaitan di antara peserta yang sihat dan pesakit. Dos bagi ubat atau vaksin yang diuji juga dianalisa di dalam fasa ini.

3. Fasa Ketiga

Fasa ketiga ujian klinikal ini akan diteruskan jika fasa kedua menunjukkan kemajuan yang meyakinkan. Dalam fasa ketiga peserta adalah dalam jumlah yang sangat besar sehingga ribuan orang serta berkemungkinan melibatkan negara-negara lain. Objektif fasa ketiga ini adalah untuk memastikan keberkesanan ubat atau vaksin yang diberi bagi melawan penyakit yang berkaitan serta menentukan dos efektifnya. Dan jika ada kesan-kesan sampingan selepas pemberian ubat atau vaksin tersebut ianya akan direkodkan di dalam fasa ini juga. Ujian klinikal fasa ketiga mungkin mengambil masa beberapa tahun sebelum keputusan positif diperolehi. 

4. Fasa Keempat

Fasa keempat akan dilaksanakan jika perlu bagi tujuan yang spesifik seperti memantau kesan-kesan sampingan luarbiasa yang mungkin berlaku dan juga sekiranya ubat atau vaksin yang diberikan boleh ditambahbaik dari segi penggunaannya.

Kemunculan vaksin Sputnik V yang dikatakan belum melengkapkan ujian klinikal fasa ketiganya sudah tentu mendatangkan keraguan bagi sesetengah pihak di seluruh dunia. Malah World Health Organization (WHO) belum lagi mengiktiraf sepenuhnya pengguna vaksin ini dan masih menunggu laporan penuh ujian klinikal yang dijalankan oleh Russia. Kebanyakan persoalan yang ditimbulkan oleh para saintis dunia adalah berkaitan aspek keberkesanan serta keselamatan penggunaan vaksin Sputnik V ke atas manusia. Pihak Russia pula mengatakan bahawa ujian mereka tidak mendapat liputan yang meluas dan negara-negara lain tidak mendapat laporan penuh tentang ujian klinikal yang sedang mereka jalankan.

Walau apapun, pendaratan Sputnik V di waktu COVID-19 masih menular hanya akan membawa kesan positif ke seluruh dunia. Negara-negara lain yang juga sedang membangunkan vaksin yang sama sudah tentu akan menggandakan usaha mereka bagi menghasilkan vaksin yang terbaik dan selamat dalam melawan pandemik COVID-19. Bagi kita di Malaysia, ingatlah kita masih lagi belum bebas walaupun dengan kehadiran berita tentang vaksin ini. Patuhi SOP dan undang-undang serta jagalah kebersihan diri. Wallahua’lam.

Rujukan:

  1. http://gamaleya.org/index.php/home
  2. https://www.gsk.com/en-gb/research-and-development/trials-in-people/clinical-trial-phases/
  3. https://pdfs.semanticscholar.org/ee83/ecb51549f2cb3297ad4862fe6709f856c522.pdf
  4. https://www.aljazeera.com/news/2020/08/sputnik-russia-coronavirus-vaccine-200813070859021.html
  5. https://www.newscientist.com/article/2251722-everything-you-need-to-know-about-russias-coronavirus-vaccine-claims/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

14 + one =

Open

Close