Pensanitasi Tangan Buatan Sendiri: Adakah Selamat dan Berkesan?

Pensanitasi Tangan - hand sanitizer

Semenjak kejadian pandemik baru-baru ini, pensanitasi tangan atau hand sanitiser telah menjadi kelengkapan “perang” yang wajib bagi melawan penularan COVID-19 sama ada untuk kegunaan petugas-petugas barisan hadapan ataupun orang awam. Pensanitasi tangan telah menjadi antara barangan yang paling laku di pasaran termasuklah yang dijual secara online.

Dan disebabkan permintaan yang tinggi ini sudah tentu harganya pun melambung tinggi daripada kebiasaan. Banyak perdebatan dikalangan pihak penjagaan kesihatan awam yang mempersoalkan tentang tahap keselamatan dalam penggunaan pensanitasi ini terutamanya berkenaan bahan kimia yang digunakan dalam penghasilannya. Hakikat sebenarnya penggunaan mana-mana bahan kimia sememangnya ada risiko yang tersendiri. Ini termasuklah penggunaan ethanol asli, ethanol nyah-asli ataupun isopropyl alcohol di dalam penghasilan pensanitasi tangan.

Ethanol asli, ethanol nyah-asli atau isopropyl alcohol?

Ethyl alcohol, atau alkohol, atau ethanol asli sememangnya menjadi pilihan sebagai bahan utama bagi pembuatan pensanitasi tangan disebabkan ia dikategorikan sebagai kurang berbahaya kepada kesihatan manusia. Ini kerana ethanol asli ini juga adalah bahan utama dalam pembuatan minuman keras atau arak yang dijual di pasaran serta boleh diminum. Maka sebab itu ethanol asli diterima secara komersial dan dikategorikan sebagai bahan kimia yang selamat jika digunakan di dalam Hand Sanitizer. Walaubagaimanapun, harga ethanol asli adalah jauh lebih mahal kerana cukai yang dikenakan ke atasnya adalah sebagai bahan minuman keras.

Manakala penggunaan ethanol nyah-asli atau denatured ethanol, sentiasa disebut sebagai membahayakan kesihatan oleh kerana bahan kimia nyah-asli yang biasa dicampurkan iaitu methanol. Secara asasnya, ethanol nyah-asli adalah ethanol asli yang dicampur dengan methanol atau bahan kimia lain atas tujuan untuk menjadikan ia tidak selamat sebagai bahan minuman. Maka itu, ethanol nyah-asli tidak dikategorikan sebagai bahan untuk pembuatan minuman keras atau arak kerana ia tidak selamat diminum dan cukai yang dikenakan pula adalah lebih rendah.

Pendedahan terhadap methanol itu sendiri sebagai bahan kimia tunggal sememangnya telah dilaporkan mempunyai banyak risiko kemudaratan terhadap kesihatan manusia. Namun masih terdapat persoalan secara saintifik berkenaan implikasi methanol apabila ia dijadikan sebagai bahan campuran di dalam ethanol nyah-asli untuk kegunaan luaran. Untuk methanol sendiri menyebabkan ketoksikan melalui kulit manusia secara langsung ia sebenarnya memerlukan pendedahan dengan nilai isi padu yang tinggi.

Lebih menarik lagi bila mana terdapat kes-kes berkaitan ketoksikan akibat meminum atau terminum methanol, dan salah satu antidot atau penawar yang digunakan adalah ethanol asli. Kebanyakan kemalangan melibatkan ketoksikan pensanitasi tangan yang mengandungi methanol terutamanya dikalangan kanak-kanak adalah akibat daripada termakan atau terminum tanpa sengaja seperti mana insiden-insiden yang dilaporkan di Amerika. Ada juga laporan dikeluarkan yang menyatakan tentang kebimbangan berkenaan kandungan methanol yang tinggi di dalam pensanitasi tangan. Setakat ini tiada laporan tentang kes ketoksikan yang disebabkan terdedahnya seseorang itu kepada ethanol nyah-asli yang mengandungi methanol bagi kegunaan luaran.

Jika terdapat kes-kes ketoksikan berkaitan penggunaan ethanol nyah-asli yang mengandungi methanol, ia kebiasaannya melibatkan penyalahgunaan sebagai bahan minuman keras atau arak yang tidak sah dari sudut undang-undang. Jadi jika mahu memilih untuk menggunakan ethanol nyah-asli yang selamat untuk penghasilan pensanitasi tangan, maka carilah yang mengandungi kadar ethanol asli yang tinggi iaitu 95% atau lebih dan mempunyai kadar peratusan methanol yang sangat kecil atau tidak dicampur dengan methanol sebagai bahan kimia nyah-asli. Data berkenaan bahan kandungan di dalam ethanol nyah-asli ini boleh disemak dengan penjual atau pembekal.

Dan bagi isopropyl alcohol atau juga dikenali sebagai rubbing alcohol, ia adalah bahan kimia terbitan dari proses hidrasi propylene iaitu sejenis gas organik yang terhasil dari pemprosesan gas asli. Penggunaannya sebagai pensanitasi tangan atau bahan kegunaan luaran lebih diterimapakai dan dikatakan selamat kerana sangat kurang laporan kemudaratan yang berkaitan secara langsung dengan masalah kesihatan kepada manusia. Walaubagaimanapun, seperti juga bahan-bahan kimia yang lain bahaya penggunaan isopropyl alcohol ini tetap wujud dan harganya pula jauh lebih murah jika dibandingkan dengan ethanol asli dan nyah-asli.

Bahan-bahan lain di dalam pensanitasi tangan

1. Glycerine

Antara bahan-bahan lain yang digunakan bagi pembuatan pensanitasi tangan adalah glycerine. Glycerine atau glycerol adalah bahan penting yang selalu digunakan dalam pembuatan sabun. Kebanyakan glycerine yang dijual adalah dari sumber tumbuh-tumbuhan dan selamat untuk digunakan.

2. Aloe Vera

Selain itu, Aloe vera sama ada dalam bentuk ekstrak cecair atau gel boleh juga ditambah sebagai bahan di dalam penghasilan pensanitasi tangan. Kedua-dua bahan ini digunakan di dalam pensanitasi tangan dengan tujuan untuk melembapkan kulit daripada kesan kekeringan yang disebabkan oleh ethanol asli, ethanol nyah-asli atau isopropyl alcohol.

3. Air

Dan air akan ditambah bagi mencairkan lagi kepekatan pensanitasi tangan mengikut peratusan penghasilan yang dikehendaki. Ini bermaksud kepekatan ethanol, atau ethanol nyah-asli, atau isopropyl alcohol yang digunakan di dalam pensanitasi tangan ini akan menjadi lebih cair dari keadaan asal dan secara tidak langsung akan mengurangkan sebarang kemungkinan kesan sampingan yang dibawa oleh bahan-bahan kimia tersebut.

Jadinya, dari mana boleh dibeli bahan-bahan untuk pembuatan pensanitasi tangan ini? Jangan terkejut kalau semua bahan ini boleh dibeli secara atas talian melalui laman web membeli-belah kegemaran anda. Dan jangan lupa bertanya tentang kandungan-kandungan bahan yang hendak dibeli dari penjual atau pembekal. 

Membuat pensanitasi tangan

Menurut panduan WHO, pensanitasi tangan yang berkesan untuk membunuh mikroorganisma perlulah mengandungi sekurang-kurangnya 60% ethanol di dalam formulasi akhir. Dan bagi menghasilkan apa yang disebut sebagai pensanitasi gred hospital maka formulasi ethanol di dalamnya perlulah pada kadar sekurang-kurangnya 70%. Pensanitasi tangan ini juga boleh dihasilkan dalam dua bentuk berbeza iaitu cecair atau gel. Pensanitasi tangan dalam bentuk cecair lebih mudah untuk dihasilkan kerana tidak memerlukan bahan polimer untuk menukarkan ia ke dalam bentuk gel.

Secara asasnya, untuk menghasilkan pensanitasi tangan gred hospital berbentuk cecair, sebanyak 70% ethanol diperlukan dan ditambah dengan 5% glycerine beserta 1% ekstrak Aloe vera. Ada juga hand sanitizer yang menggunakan hydrogen peroxide berbanding Aloe vera jika ianya mudah untuk diperolehi. Akhir sekali, air sebanyak 24% ditambah ke dalam formulasi tadi bagi melengkapkan pensanitasi tangan tersebut. Formulasi akhir ini perlu dibancuh dengan selamat dan cermat untuk memastikan semua bahan-bahan yang digunakan tadi larut dan bersebati. Selepas selesai bancuhan tadi maka pensanitasi ini sedia digunakan untuk kegunaan luaran. Untuk menghasilkan pensanitasi tangan dengan 60% ethanol, kurangkan sahaja ethanol kepada 60% dan tingkatkan jumlah air kepada 34%.   

Ingat! Pensanitasi adalah untuk kegunaan luaran sahaja dan bukan untuk dimakan atau dimasukkan ke dalam mulut. Jauhkan segala bahan-bahan pembuatan dan pensanitasi dari capaian kanak-kanak. Sebagai peringatan, walaupun sudah menggunakan pensanitasi tangan pastikan anda membasuh tangan dengan air dan sabun sebelum makan atau minum.

Rujukan:

  1. Md Noor J, Hawari R, Mokhtar MF, et al. Methanol outbreak: a Malaysian tertiary hospital experience. Int J Emerg Med. 2020;13(1):6. Published 2020 Feb 7. doi:10.1186/s12245-020-0264-5
  2. https://pubchem.ncbi.nlm.nih.gov/compound/ethanol#section=Toxicity
  3. https://pubchem.ncbi.nlm.nih.gov/compound/887#section=Toxicity
  4. https://www.cdc.gov/niosh/ershdb/emergencyresponsecard_29750029.html
  5. https://www.nst.com.my/news/nation/2018/09/412884/cap-demands-restriction-alcohol-sales
  6. http://www.prn.usm.my/index.php/news/in-the-news/184-dangers-associated-with-ethanol-substitutes

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.