Mutasi virus: Variasi COVID-19 yang baharu?

mutasi virus covid 19

Cara Virus meneruskan Hidup

Bagi meneruskan kehidupan, sesuatu virus perlu membiak dan ini hanya boleh berlaku dengan satu cara sahaja iaitu melalui sel-sel perumah. Sel-sel perumah ini termasuklah manusia dan haiwan. Virus akan membiak dengan cara melekat pada permukaan sel dan menyucuk masuk bahan genetiknya ke dalam sel tersebut.

Bahan genetik ini adalah DNA (asid deoksiribonukleik) atau RNA (asid ribonukleik; sejenis molekul yang sedikit berbeza dari segi komposisinya daripada DNA) virus tersebut yang kemudiannya akan memaksa sel-sel terlibat untuk menghasilkan lebih banyak virus. Virus-virus baru ini selepas itu akan meninggalkan sel tadi dan tersebar ke bahagian-bahagian lain di dalam perumah.

Bagaimana mutasi Virus berlaku?

Walaubagaimanapun, perumah tidaklah berdiam diri semasa proses ini berlaku. Selepas beberapa ketika sistem imun perumah akan “belajar” untuk mempertahankan diri dan membina strategi bagi mencegah penyebaran virus in dalam badannya. Bila sekali lagi virus yang sama cuba menyerang sel-sel perumah, ia tidak lagi dapat melekat pada permukaan sel untuk menyucuk masuk bahan genetiknya.

Jadi virus perlu mengubah bentuknya, atau bermutasi, atau istilah lainnya berevolusi, bagi membolehkan ia membiak semula di dalam sel-sel perumah. Bahan genetik yang terkandung di dalam virus memainkan peranan yang sangat penting bagi mengetahui berapa cepat sesuatu virus itu akan bermutasi.

Ini kemudiannya akan memberi kesan bagaimana sesuatu penyakit itu akan menular di dalam sesebuah populasi atau masyarakat setempat. Perkataan mutasi secara umum akan menyebabkan rasa ketakutan atas sebab sesuatu yang aneh dan menyeramkan telah berlaku.

Mungkin juga disebabkan oleh pengaruh filem-filem seram yang banyak menggambarkan maksud mutasi secara rekaan atau fiksyen. Tetapi sebenarnya mutasi pada virus adalah sebahagian daripada kitar hidup semulajadi dan jarang memberikan kesan yang sangat dramatik dalam sesuatu kes penularan.

Setakat hari ini, apa yang telah dikongsi atau dilaporkan oleh para saintis dunia adalah virus yang menyebabkan COVID-19 telah bermutasi. Walaupun para saintis telah menjumpai banyak mutasi pada bahan genetik virus tersebut, tetapi hanya satu variasi sahaja yang dikenalpasti sebagai berkemungkinan telah mengubah perilakunya.

Kesan mutasi kepada keberkesanan vaksin

Sesuatu virus yang menggunakan bahan genetik DNA bagi penularannya seperti penyakit smallpox atau cacar, ia boleh tersebar dalam populasi manusia dan selalunya menyebabkan kematian. Tetapi apabila vaksin telah dicipta maka virus seperti smallpox atau cacar, dapat dikekang penularannya dan sekaligus dihapuskan.

Sebab itulah pentingnya untuk sesuatu populasi manusia mengambil vaksin bagi membentuk sistem pertahanan badan secara berkumpulan atau juga dipanggil sebagai imuniti berkelompok. Tetapi bagi virus yang menggunakan bahan genetik RNA, mekanisma penyebarannya agak berlainan dan ini termasuklah virus COVID-19 yang menular sekarang.

Virus dengan bahan genetik RNA ini berkembang tanpa ada “salinan maklumat” oleh sel perumah dan menyebabkan seringnya berlaku kesalahan dalam memproses maklumat genetik yang disimpan oleh sel-sel perumah. Kesalahan dalam maklumat genetik inilah yang membolehkan virus dengan bahan genetik RNA bermutasi dengan cepat daripada satu perumah ke satu perumah yang lain.

Persoalannya sekarang adalah; adakah mutasi yang berlaku pada virus COVID-19 ini lebih berbahaya kepada kesihatan manusia berbanding sebelumnya? Dan adakah virus COVID-19 yang telah bermutasi ini akan menyebabkan kegagalan vaksin yang sedang dibangunkan?

Menurut laporan dan kajian terkini para saintis berkenaan mutasi virus COVID-19 ini, perubahan dan mutasi yang berlaku pada coronavirus sangatlah perlahan jika dibandingkan dengan virus lain seperti selsema atau flu. Dan buat masa sekarang disebabkan rendahnya tahap immuniti di dalam populasi manusia terhadap virus tersebut, dan tanpa adanya vaksin untuk melawan virus ini, serta sangat sedikit rawatan yang benar-benar efektif bagi melawan penularan virus COVID-19, maka secara saintifiknya virus COVID-19 ini tidak dipaksa atau “merasa tertekan” untuk bermutasi dan mengubah perilaku bagi meneruskan kelangsungan hidupnya.

Dalam kata lain, dengan keadaan norma baharu kehidupan manusia maka virus ini akan berada dalam keadaan biologikalnya sekarang tanpa ada keterpaksaan untuk bermutasi secara drastik bagi terus hidup. Dan dari sudut pandangan sains biologi sel, peraturan operasi standard seperti penjarakan sosial atau fizikal yang diguna pakai, dan penutupan serta kawalan ketat di sempadan negara kita dapat memberi impak yang sangat baik dalam mengawal mutasi virus COVID-19 ini sehinggalah vaksin yang berkesan ditemui.

Namun, memandangkan pengetahuan sains berkenaan virus COVID-19 bergerak dengan begitu pantas buat masa sekarang maka tidak kira apapun pandangan para saintis dunia tentang mutasi yang telah atau sedang berlaku, mereka sudah pasti akan sentiasa memantau kejadian sains secara semulajadi ini serta menjadi saksi kepada kebesaran kuasa tuhan. Wallahua’lam.

Rujukan:

  1. California Academy of Sciences. Science Today: Virus Mutation.
  2. Coronavirus: Are mutations making it more infectious?
  3. Fleischmann WR Jr. Viral Genetics. In: Baron S, editor. Medical Microbiology. 4th edition. Galveston (TX): University of Texas Medical Branch at Galveston; 1996. Chapter 43. 
  4. Grubaugh, N.D., Petrone, M.E. & Holmes, E.C. We shouldn’t worry when a virus mutates during disease outbreaksNat Microbiol 5, 529–530 (2020).
  5. Virus strain – Sciencelearn
  6. Pandemic Virus Slowly Mutating It Getting More Dangerous – Sciencemag

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two + one =

Open

Close