Masuk Hospital Sebab Bau durian. Apakah Puncanya?

durian punca masuk hospital

Petikan akhbar CNN pada tarikh 22 Jun 2020 menyatakan seramai 6 orang pekerja kurier telah dimasukkan ke hospital akibat terhidu bau gas dari bungkusan yang tidak diketahui isinya. Kejadian yang berlaku di Jerman baru baru ini berpunca daripada bungkusan yang mengandungi 4 biji buah durian.

Seramai 12 orang pekerja mengadu berasa mual, telah diberi rawatan kecemasan. Seluruh bangunan digesa untuk dikosongkan. Salah seorang pekerja kurier tersebut telah terhidu bau yang tajam menyebabkan mereka menghubungi polis, bomba dan pasukan kesihatan ke pejabat pos di Bavaria, Jerman untuk tindakan lanjut.

Tentang Buah Durian

Durian atau Durio Zibethinus Murr ialah buah tropika bermusim yang boleh didapati di negara negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina. Buah durian yang matang sepenuhnya mempunyai jangka hayat yang pendek iaitu hanya 2 ke 5 hari.

Isinya yang berwarna putih kekuningan dan bertekstur lembut seperti kastard mampu memberikan pelbagai reaksi kepada sesiapa yang menikmatinya. Durian digelar “Raja Buah” disebabkan oleh rasa dan aroma yang unik. Keunikan rasa dan aroma durian adalah disebabkan kehadiran sebatian mudah meruap (volatile compunds) seperti esters, aldehid, sulfur, alkohol dan keton.

Gas daripada Buah Durian

Kajian yang dijalankan oleh Chin et al (2007), melaporkan terdapat 39 sebatian mudah meruap dalam durian variasi Malaysia (D2, D24 dan D101). Diantara 39 sebatian ini, sulfur adalah sebatian yang utama. Jika dibandingkan dengan sebatian sulfur di antara durian variasi Malaysia dan Indonesia, durian variasi Malaysia menghasilkan sulfur sebanyak 97% lebih tinggi daripada durian variasi Indonesia.

Untuk pengetahuan pembaca, sebatian sulfur yang mudah meruap atau volatile sulphur compounds (VSCs) memberi aroma menyerupai bawang merah (tajam atau pungent) dan bau api mancis yang telah dipadamkan. 

Maka tidak hairan jika kes di Jerman menjadi serius sehingga pekerja kurier terpaksa memanggil polis, bomba dan pasukan kesihatan. Mereka menyangka terdapat kebocoran gas di premis mereka. Tambahan pula, beberapa pekerja mengalami mual dan pening.

Kesan Sampingan Gas Sebatian Sulfur dalam Durian

Gas Sebatian sulfur boleh menyebabkan iritasi dalam hidung, tekak dan kerongkong yang boleh menyebabkan batuk, kesukaran bernafas, mual dan pening. Kesan menghidu gas sulfur boleh dirasa dengan sangat pantas. Kebanyakan orang menyedari simptom menjadi semakin teruk dalam tempoh 10 ke 15 minit selepas terhidu gas. 

Kejadian Durian yang lain

Ini bukan kejadian pertama kes sebegini berlaku. Tahun 2019, pekerja di perpustakaan di Universiti Canberra telah digesa untuk mengosongkan bangunan kerana disyaki ada kebocoran gas. Setelah disiasat, punca bau gas itu adalah daripada buah durian juga.

Kejadian yang lain berlaku pada tahun 2018 di dalam pesawat Indonesia dimana pesawat tersebut terpaksa mendarat kerana penumpang mengadu tidak tahan dengan bau busuk. Durian yang dikatakan busuk itu berada di bahagian kargo dimana agak jauh dengan bahagian penumpang jika  dilihat pada struktur kapal terbang. 

Bahan-bahan yang lain

Selain sulfur, esters pula adalah sebatian mudah meruap yang kedua tertinggi yang dihasilkan dalam buah durian. Berbeza dengan sulfur, esters memberikan aroma manis kepada durian. Aldehid pula memberi aroma fruity. Ethanol pula ialah sejenis alkohol yang juga meruap dan memberikan aroma tajam. Manakala sebatian keton yang hadir didalam durian yang dinamakan 3-hydroxy-2-butanone memberikan aroma seakan krim yogurt berlemak dan memberi rasa seakan mentega berlemak.

Tetapi, sebatian keton yang kedua yang dinamakan  2-hydroxy-3-pentanone memberikan aroma yang kurang menyenangkan iaitu aroma hanyir ikan dan aroma tanah. Menarik, bukan? Durian ialah sebiji buah tetapi boleh menghasilkan pelbagai rasa dan aroma mengikut variasinya. Sehingga kini, masih banyak aspek buah durian yang sedang dikaji. Diharapkan dengan hasil kajian terbaru, kita lebih menghargai raja buah ini. 

Walau bagaimanapun, untuk pengetahuan pembaca, bungkusan durian di Jerman itu telah selamat dihantar ke penerima walau berhadapan situasi panik. Tahniah frontliner (pekerja pejabat pos) walaupun menempuh bahaya sehingga ada yang dimasukkan ke hospital, tetapi masih gigih memastikan bungkusan selamat ke tangan penerima. 

Kesimpulan

Dengan ini maka jelaslah bahawa bukan semua boleh terima aroma dan rasa raja buah ini. Setiap manusia mempunyai tahap sensitiviti yang berbeza terhadap sebatian kimia dalam buah durian. Patuhilah papan tanda sekiranya terdapat halangan untuk membawa, membungkus atau mengirim buah durian. Hal ini kerana dikhuatiri boleh mencetuskan situasi panik. Bertimbang rasalah dengan orang sekeliling kita. 

Rujukan

  1. Chin, S.T.; Nazimah, S.A.H.; Quek, S.Y.; Man, Y.B.C.; Rahman, R.A.; Hashim, D.M. Analysis of volatile Compounds from Malaysian durians (Durio zibethinus) using headspace SPME coupled to fast GC-MS. J. Compost. Anal. 2007, 20, 31–44.
  2. Idris, S. Durio of Malaysia, 1st ed.; Malaysian Agricultural Research and Development Institute (MARDI): Kuala Lumpur, Malaysia, 2011; pp. 1–130, ISBN 9789679675726.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.