0Shares

Proses melahirkan di fasiliti perubatan akan melalui prosedur pemantauan rapi bagi kedua-dua ibu dan bayi dalam kandungan. Kesemua maklumat pemantauan sepanjang proses melahirkan ini direkodkan di atas sekeping kertas dinamakan PARTOGRAM.

Dalam bidang perubatan, dokumentasi adalah sesuatu yang amat penting. Ia berfungsi untuk membantu proses membuat keputusan – Apakah tindakan seterusnya?
Dokumentasi yang dilakukan juga akan menjadi sumber untuk sessi audit atas apa-apa keputusan yang telah diambil.
Pendek kata, apa-apa keputusan yang diambil oleh seorang doktor semasa proses kelahiran itu bukan saja-saja mengikut citarasanya. Keputusan dibuat hanya setelah menimbal sehabis-baik segala risiko dan faedah dalam menyelamatkan nyawa IBU dan BAYI.

Sungguhpun Partogram kelihatan hanyalah sehelai kertas A4 putih yang dipenuhi tulisan tangan, ia sebenarnya mempunyai seribu satu maklumat yang dapat memberitahu perkara utama sepanjang tempoh 24jam proses kelahiran.

Pemantauan bayi
a) Denyutan jantung bayi : Direkodkan setiap setengah jam. Adakah bayi tidur? Aktif? Lemas (distress)?
b) Selaput ketuban : Masih ada atau telah pecah?
c) Keadaan air ketuban : Jernih? Ada najis bayi (menunjukkan bayi lemas)? Air ketuban sudah kering?
d) Moulding (Tahap pertindihan tulang tengkorak kepala bayi) :
Kepingan tulang-tulang tengkorak bayi masih belum bercantum. Terdapat ruang2 yang membenarkan pertindihan antara kepingan-kepingan tulang ini berlaku apabila bayi menuruni laluan kelahiran. Jika rongga pelvis ibu sempit, pertindihan kepingan tulang ini akan berlaku dalam usaha bayi untuk meloloskan diri. Semakin teruk tahap pertindihan, bermaksud bayi tidak dapat menuruni laluan bersalin.

Pemantauan perkembangan proses bersalin (Labour progress)
a) Saiz bukaan pintu rahim (Cervical dilatation)
b) Pergerakan bayi menuruni laluan bersalin (Descent)
c) Kekuatan dan kekerapan kontraksi rahim (Uterine contraction)

Pemantauan ibu
a) Tanda-tanda vital iaitu tekanan darah, denyutan nadi dan suhu badan.
b) Analisis air kencing
c) Jumlah air kencing

 

Kesemua rekod daripada pemantauan ini akan dianalisa. Perhatikan 2 garisan menyendeng dalam partogram ini. Apakah yang dapat anda lihat?
ALERT LINE
ACTION LINE

Apabila semua penemuan (findings) daripada pemeriksaan berada di sebelah kiri Alert Line, ia bermaksud perkembangan proses kelahiran adalah memuaskan.

Proses kelahiran yang PERLAHAN akan ditunjukkan melalui pemplotan hasil pemeriksaan di sebelah kanan Alert Line. Rawatan sewajarnya akan diambil untuk mengelakkan sebarang komplikasi.

Jika proses melahirkan didapati mencecah ACTION LINE, tindakan seterusnya akan diambil. Action line bukan semata-mata bermaksud ibu perlu menjalani pembedahan Caesarean. Tindakan seterusnya bergantung kepada penilaian dan analisis keseluruhan keadaan ibu dan bayi.

Selain daripada Partogram, terdapat satu lagi pemantauan yang dilakukan di dewan bersalin, iaitu CTG.
CTG merupakan pemantauan jantung bayi dan kontraksi rahim. Ia juga akan dianalisa untuk membantu proses membuat keputusan dalam proses melahirkan bayi.

Dapatkah anda lihat kini betapa TELITI dan MENYELURUHnya pemantauan untuk seorang ibu dan bayinya yang sedang dalam proses melahirkan?

Namun, seperti kebanyakan anda, penulis juga tidak dapat memahami bagaimana seseorang ibu dan suaminya boleh memilih untuk melahirkan bayi mereka di rumah, tanpa pemantauan rapi dari anggota kesihatan.

Janganlah menggunakan pemahaman cetek ini:
“ Nenek2 kita dulu bersalin kat rumah, takde apa-apa pun. Anak berbelas-belas pulak lagi tu”.

Fahamilah bahawa pada zaman itu, kemudahan fasiliti kesihatan tidak meluas seperti sekarang. Anda mungkin hanya nampak nenek anda dan beberapa nenek yang lain yang selamat melahirkan berbelas-belas orang anak. Namun, jika anda mengkaji statistik, anda pasti dapat melihat betapa tingginya kematian akibat komplikasi semasa proses melahirkan. Lebih malang lagi, terdapat ramai lagi wanita pada masa itu yang menemui ajal semasa proses melahirkan, tetapi tidak dilaporkan.

Kerajaan telah menyediakan pelbagai fasiliti dan servis yang bertujuan untuk memastikan kedua-dua ibu dan bayi adalah SIHAT dan SELAMAT. Statistik juga menunjukkan telah berlaku penurunan drastik kematian akibat komplikasi proses melahirkan.

Dalam proses melahirkan, apa-apa sahaja boleh berlaku dalam sela masa beberapa saat sahaja. Seorang suami yang merupakan pakar perbidanan dengan ilmu dan kemahiran tinggi melangit pun pasti tidak sanggup untuk membenarkan isterinya melahirkan di rumah. Kerana mereka sedar bahawa isteri mereka tidak akan mendapat pemantauan berterusan berbanding jika melahirkan di hospital.

Berbeza dengan fenomena yang kita disajikan kini — Terdapat para suami yang memilih untuk membidankan sendiri isteri mereka di rumah. Lebih menakutkan, mereka ini hanya mendapat ilmu perbidanan dari modul-modul kelahiran selama beberapa jam sahaja, tanpa praktikal, tanpa pengalaman dan hanya dihidangkan dengan proses kelahiran normal, yang tiada komplikasi langsung.

 

Wahai para ISTERI dan SUAMI ,

Tidak salah mempunyai BIRTH PLAN. Anda boleh bincangkan lebih awal dengan doktor yang merawat. Tetapi birth plan anda itu adalah salah lagi mengarut jika:

1) Apabila sudah hendak meneran barulah tiba-tiba memberikan petugas perubatan berhelai-helai kertas dengan catatan panjang meleret permintaan anda tentang Birth Plan idaman.

2) Anda tidak memahami kekangan yang dihadapi oleh fasiliti perubatan — bukan anda seorang sahaja klien kami. Terdapat berpuluh-puluh lagi pesakit lain yang perlu dirawat. Masa dan tenaga kerja adalah terhad. Tahap emergency dan kesukaran pesakit juga berbeza-beza. Bagi petugas perubatan, menyelamatkan bayi pesakit lain yang lemas adalah amat amat penting dan kritikal berbanding permintaan anda untuk mengurut pinggang anda.

2) Permintaan-permintaan anda itu bercanggahan dengan pelan perubatan sedia ada, apatah lagi jika membahayakan nyawa mana-mana pihak — ingin bersalin dalam air, ingin bersalin berdiri atau merangkak, tidak membenarkan tali pusat dipotong, tetap inginkan skin-to-skin walaupun bayi lemas / tidak bernafas.

 

Wahai Para SUAMI,

Benar, ada kalanya isteri anda yang bersungguh-sungguh inginkan pelbagai fantasi idealistik bagi melalui proses melahirkan. Hendak bersalin dalam keselesaan di rumah, dikelilingi wangian aromaterapi, dialunkan ayat-ayat AlQuran, sentiasa diurut oleh suami, anak disambut oleh suami dan pelbagai lagi fantasi mereka.

Jika tidak diturutkan, mungkin muncung mereka akan panjang sedepa.

Jika anda membantah, mungkin anda dituduh zalim, tidak memahami susah-payah isteri yang ingin bertarung nyawa untuk melahirkan zurat anda.

Namun ingatlah bahawa, anda adalah IMAM dan KETUA keluarga. Keselamatan dan kesejahteraan ISTERI dan KELUARGA adalah TANGGUNGJAWAB SUAMI.

Anda tidak perlu menunaikan permintaan fantasi si isteri yang boleh membahayakan nyawa ISTERI dan ANAK dalam kandungan.

Anda tidak perlu membuatkan anak-anak kalian yang lain kehilangan kasih sayang ibu kandung mereka.

 

Wahai Para SUAMI,

Tidak mengapa jika anda tidak dapat memenuhi fantasi isteri bagi proses bersalin. Permintaan idealistik (dan kadang-kala SELFISH) mereka itu mungkin hasil daripada cetusan doula-douli atau internet atau cerita dari kawan-kawan mereka.

Tetapi, jadilah seorang WIRA sebenar yang menjadi idaman seorang isteri dan anak-anak semasa proses isteri berpantang. Lakukan kerja-kerja rumah, uruskan bayi dan anak-anak yang lain. Jika mampu, upahlah ‘Confinement Lady’.

Lebih utama lagi, jadilah seorang SUAMI dan BAPA MITHALI sepanjang proses membesarkan anak-anak anda dan sepanjang hayat.

 

Dr. Faiza Tohit,
Doulaku suamiku, doktor2 dan misi2.

Gambar featured images: essentialbaby.com.au

#SayNoToUnsafeBirth