IMMUNOTERAPI TELAH MENYEMBUHKAN KANSER PAYUDARA SEORANG WANITA

Telah tercipta satu sejarah apabila seorang wanita berusia 52 tahun telah sembuh sepenuhnya daripada kanser payudara yang sebelum ini telah merebak ke tempat lain.

Seperti mana yang kita tahu jika sesuatu kanser telah merebak ke kawasan lain, tahapan kanser tersebut adalah berada pada tahap ke-4 dan selalunya pesakit hanya akan diberi rawatan paliatif.

Iaitu satu rawatan untuk memberi keselesaan kepada pesakit supaya kualiti hidupnya terjaga sebelum dia meninggal dunia disebabkan kanser tersebut. Mudah kata, jika tahapan kanser anda adalah pada tahap 4, selalunya anda akan mati disebabkan kanser tersebut dan tiada rawatan penyembuhan yang ada sebelum ini.

Siapakah Wanita itu?

Wanita tersebut adalah Judy Perkins. Dia sebelum ini telah mendapat kanser payudara pada 10 tahun yang lalu dan telah menjalani rawatan dan pembedahan. Selama 10 tahun Judy bebas daripada kanser.

Akan tetapi, menjadi kebiasaan bagi penghidap kanser payudara untuk mengalami semula kanser tersebut dan kali ini kanser tersebut lebih agressif sehingga mana ia telah merebak ke kawasan badan lain termasuk hati.

Selepas dia gagal menjalani pelbagai terapi, Judy mempunyai kanser sebesar bola tennis merata di dalam tubuh badannya disebabkan kanser payudara yang merebak.

Mencuba nasib, dia memasuki satu kajian di pusat kajian National Institutes of Health(NIH) di mana mereka menggunakan rawatan autologous tumor-infiltrating lympocytes untuk merawat kanser.

Bagaimana rawatan in dijalankan?

Dalam rawatan ini, sel imun yang spesifik dalam badan pesakit iaitu sel-T diambil. Sel-T yang berada di dalam badan pesakit selalunya sudah mengenalpasti sel kanser tersebut dan cuba membunuhnya. Akan tetapi ia tidak begitu berkesan apabila dia perlu berhadapan dengan sel kanser dari badannya sendiri.

Dengan menggunakan beberapa kaedah, Sel-T ini akan diubahsuai menjadi sel yang mampu membunuh sel kanser tersebut tanpa memberi kesan kepada sel yang sihat. Sel-T tersebut akan dikultur untuk menghasilkan lebih banyak sel-T dan ia akan dimasukkan semula kedalam badan pesakit dengan harapan ia akan membunuh sel kanser tersebut. Ini merupakan salah satu rawatan Immunoterapi

Mengikut satu sumber, kumpulan pengkaji tersebut masih cuba merawat 45 pesakit yang mempunyai tahapan kanser 4. Setakat ini 7 daripadanya telah menunjukkan kesan yang positif

42 minggu selepas menerima rawatan tersebut, Kanser Judy sudah tidak kelihatan daripada CT-Scan dan sekarang ini dia telah bebas dari kanser lebih kurang 3 tahun.

Gambar sebelah kiri adalah gambar CT-scan pesakit sebelum menerima rawatan. Anak panah menunjukkan ketulan kanser. Sebelah kanan pula gambar pesakit setelah 22 bulan menerima rawatan dan menunjukkan kanser yang merebak telah pun hilang secara sepenuhnya.  Zacharakis et al/Nature 2018

“Adakah ia sudah boleh digunakan untuk orang awam? Tidak lagi” Kata salah seorang kumpulan pengkaji tersebut Steven Rosenberg.

Akan tetapi ia menjadi salah satu permulaan bagi revolusi perubatan yang akan merawat kanser pada tahap yang teruk menggunakan rawatan immunoterapi. Diharapkan beberapa tahun lagi, orang awam dapat menikmati rawatan tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.