0Shares

Sebelum kita mula menjawab beberapa pertanyaan yang selalunya ditanya oleh golongan ‘Flat Earthers’ (FE) ini, mari kita mengambil sikap positif dahulu kerana mereka berfikiran kritikal dan ingin tahu. Ini bagus kerana anda ingin belajar. Namun, malangnya hujah dibalas pertanyaan lagi dan lagi tanpa ada sebarang ilmu yang konkrit untuk membalas hujah. Lebih mendukacitakannya, mereka mempertahankan lagi hujah tanpa asas, menyesatkan orang lain dan mengaitkan pula dengan agama supaya masyarakat berasa ragu-ragu. Berikut adalah senarai kompilasi persoalan yang pernah diutarakan oleh mereka-mereka ini:

 

Mengapa perlunya bumi itu berbentuk sfera?

Ianya tidak perlu pun! Akan tetapi, sewaktu pembentukan planet-planet dan bintang-bintang berbilion tahun lalu yang dipengaruhi oleh keruntuhan graviti, keabadian momentum sudut, dan lain-lain lagi maka terbentuklah bentuk sfera. (Boleh rujuk penjelasan lebih lanjut didalam http://rootofscience.com/blog/2018/umum/bumi-berputar/).   Cumanya, ianya bukanlah sfera yang sempurna kerana kecepatan putaran dan kandungan jirim maka ianya membonjol ditengah-tengahnya. Lojik mudah, bagaimana pula bentuk bulan sfera, matahari sfera, bintang-bintang juga sfera  akan tetapi bumi pula berbentuk mendatar sedangkan semua itu dari satu nebula solar yang sama? Ini adalah lojik mudah orang dahulu dan kemudiannya dirumuskan dalam matematik. Salah satunya persamaan Newton Gravitational Attraction. Dengan menggunakan pengaruh kesferan sesuatu jasad, beliau dapat menganggarkan dengan tepat pergerakan/orbit sesuatu jasad! Hukum Kepler juga debentuk dengan tepat dalam permasalahan masa dalam sesuatu orbit yang membujur. Kesemua ini diterbitkan dalam kerangka pengaruh graviti dari kesferan objek! Diharapkan juga agar golongan-golongan FE ini menterbitkan jujukan matematik untuk menggambarkan orbit matahari dan bulan mengelilingi bumi yang leper tersebut. Dari situ kita boleh lihat adakah ianya tepat dan sesuai dengan orbit matahari dan bulan anda.

Bumi (Gambar diambil dari: https://earthobservatory.nasa.gov/Features/CloudsGallery/)

 

Kenapa kita tidak nampak lengkungan bumi?

Jawapannya, anda terlalu pendek berbanding jejari bumi yang besar. Ambil contoh bola yang kita bersenam di rumah atau di gym. Dekatkan mata anda dengan permukaan dan lihat kehadapan. Anda tentu nampak rata bukan? Kemudian naikkan sikit kepala anda sedikit demi sedikit maka anda akan nampak lengkungan tersebut. Jika anda terbang tinggi seperti drone pun anda masih tak nampak lengkungan, bermakna anda belum cukup tinggi lagi berbanding jejari bumi. Begitu juga kapal terbang yang terbang 30 000 kaki masih belum cukup tinggi untuk melihat lengkungan bumi. Jika mendatar, sudah pasti dari gunung Kinabalu nampak terus menara KLCC.

Lengkungan Bumi? (Gambar diambil dari: https://outpostmagazine.com/is-the-earth-really-flat/)

 

Jika bumi berputar selaju 460 m/s, kenapa kita tak merasainya?

Sebelum menjawabnya, ikuti video ini dahulu dan perhatikan mana kesilapannya. Pertamanya anda perlu memahami beberapa konsep seperti halaju (dan Mach number), keseimbangan, dan awal pembentukan. Halaju adalah bersifat relatif kepada pemerhati. Ini bermakna, dua kiraan asas perlu ketahui, iaitu jarak dan masa.  Soalan yang akan ditanya kembali, adalah bagaimana mengukur jarak pula? Bidang ini disebut astrometry dan ianya major sub-bidang kepada Astronomi. Di dalam astrometry ini disebut sebagai ‘The Cosmic Distance Ladder’. Oleh kerana jaraknya terlalu jauh, maka jarak ini diukur secara tidak langsung seperti ‘radar ranging’ (jarak didalam solar sistem), ‘parallax’ (jarak bintang-bintang berhampiran), ‘main-sequence fitting’ (jarak bima sakti), ‘capheids’ (jarak galaksi yang berhampiran), ‘trully-fisher relation’ (jarak antara kluster galaksi), dan kahirnya jujukan matematik Hubble’s Law. Maka dengan itu, apabila kita sudah tahu jarak bumi dan matahari, masa pula diambil dan halaju boleh dikira. Manusia dan makhluk-makhluk lain di bumi ini wujud dan lahir setelah lama bumi terbentuk. Bumi terbentuk dahulu juga sudah berpusing dan perlu ditegaskan disini putarannya tetap. Ini bermaksud tiada pecutan dan tiada daya yang bertindak keatasnya! Berbeza dengan video tersebut,  dimana bola yang berisi air itu dipegang dan diputarkan (ada daya), maka air juga terpecik keluar. Air laut, air tasik dan air sungai terbentuk setelah sekian lama bumi itu berutar dengan tetap dan seragam. Tiada apa daya yang menolaknya dan tiada percikan. Segala isi bumi itu dalam keadaan keseimbangan, oleh itu anda juga tidak merasakan tolakan tersebut. Keadaan ini juga boleh diambil dari konsep inersia. Halaju yang dikira itu berelatif kepada jarak permukaan bumi dan matahari. Oleh sebab itu, apabila anda di luar angkasa anda tidak nampak bumi itu berputar selaju itu. Ambil konsep anda menaiki kapal terbang. Apabila anda meihat dari jauh, kapal terbang bergerak perlahan sahaja, akan tetapi kokpit pesawat sudah kira halajunya mencecah 930km/hr. Halaju ini diukur relatif kepada ‘ground speed’. Begitu juga dengan halaju-halaju planet-planet, sistem suria, bintang-bintang, dan galaksi-galaksi yang lain yang sentiasa bergerak.

Keduanya, didalam video itu gagal memahami konsep ‘Mach number’. Nombor Mach ini adalah nisbah halaju (objek) dengan halaju bunyi. Halaju bunyi juga boleh berubah-ubah dengan suhu dan ‘specific heat ratio’. Bagaimana pula hendak mengirakan halaju bunyi di ruang angkasa? Bukankah bunyi perlukan medium untuk bergerak? Maka dengan ini, menisbahkan kelajuan bumi dengan halaju bunyi adalah tidak praktikal sama sekali! Kapal terbang yang bergerak 0.8 Mach number, pramugari masih lagi boleh menuangkan kopi dicawan anda. Kenapa? Sebab halajunya sudah tetap. Bagaimana pula keadaan ‘cart’ yang sedang bergerak itu pula? Konsep asas Newton pertama perlu faham. Objek tersebut akan terus bergerak atau pegun jika tiada sebarang daya yang menggangunya. Dengan itu, jika ‘cart’ itu berubah arah pergerakkanya pun, maka ada daya lain yang dikenakan lalu kita merasakannya.

Bumi berputar (Gambar diambil dari: https://imgur.com/gallery/bmjyyEo)

“Graviti itu tidak wujud! Hanya dongengan semata-mata. Bumi bergerak keatas sebab itu objek-objek jatuh dan melekat”, kata mereka.

Anda perlu faham tentang graviti. Bahasa mudahnya, graviti adalah suatu daya penarikan yang wujud antara dua objek yang mempunyai jisim. Takrifan yang lebih kompleks sedikit adalah daya graviti bukan sahaja bersifat menarik, malah ianya juga akan meledingkan ruang-masa. Ambil analoginya seperti ini. Graviti adalah sebuah lori yang bergerak atas jalanraya. Lori tersebut bukan sahaja meluncur tetapi akan meledingkan jalanraya tersebut. Dengan adanya graviti dan pengaruhnya dalam kesferan sesuatu jasad, sains dapat menganggarkan dengan tepat posisi dua jasad yang orbit antara satu sama lain. Jika mengikut kefahaman golongan FE, bumi hanya bergerak keatas. Bagaimana pula satu arah sahaja? Apa yang menolaknya? Ikut persamaan yang telah diterbitkan, lagi besar jisim dan semakin dekat jarak antara dua objek lagi kuat tarikan gravitinya! Bagaimana pula konsep penolakan bumi FE?

Ada juga pendapat yang diutarakan mereka, matahari dan bulan mengorbit bumi kerana daya elektromagnetik disebabkan pergerakannya itu. Kami bertanyakan pula, cas-cas yang mana dan bagaimana ianya dipindahkan itu?

 

Nampak terbalik pula orang-orang dan kapal-kapal yang berlayar di hemisfera selatan bumi GE. Cuba terangkan?

Ini yang dikatakan graviti. Sifat menariknya ke arah pusat bumi. Jika anda meneropongnya dari luar angkasa memanglah nampak pelik, eh, tak jatuh ke mereka? Saya bertanya balik, nak jatuh ke arah mana? Jatuh ke angkasa? Apa yang menarik mereka untuk jatuh sedangkan tarikan graviti bumi lebih kuat kerana jarak antara dia dengan bumi lebih dekat. Rujuk persamaan Newton Gravitational Force. Yang sepatutnya lebih menghairankan bukanlah penduduk Australia yang terbalik kerana arah tarikan gravitinya sudah betul TETAPI cicak yang melekat kat siling kenapa tak jatuh-jatuh sedangkan graviti ke arah bawah!

Di Australia? (Gambar diambil dari: http://flatearthdeception.com/flat-earthers-in-christ-facebook-meme-about-australia/)

Roket tidak boleh melepasi angkasa lepas kerana wujudnya kubah kaca! Disebabkan itu, roket kelihatan melencong secara mendatar.

Tiada sebarang kubah kaca! Kenapa perlu ada kubah? Bagaimana terbentuknya kubah dengan tiba-tiba? Jika wujudnya kubah, sudah lama pecah kerana dihempap meteor dan dinosaur masih wujud! Struktur apa yang menguatkan kubah tersebut kerana tiada tiang-tiang kelihatan. Roket melencong untuk melepasi pengaruh tarikan graviti yang disebut sebagai ‘gravitational turn’. Jika tidak, lebih banyak tenaga diperlukan. Secara perlahan-lahan roket tersebut akan mendaki sedikit demi sedikit disamping mendaki sehinggalah mencapai altitud yang sesuai mengikut misi. Roket atau serpihan yang terbakar sewaktu kemasukan semula kerana geseran yang berlaku dari medium kurang tumpat ke lebih tumpat. Dan juga pengaruh masa untuk mencapai halaju yang tertentu.

Kubah bumi (Gambar diambil dari: https://www.express.co.uk/news/science/629355/Flat-Earth-News-Thousands-believe-madcap-theory-world-is-REALLY-a-dome-topped-disc)

Pendokong GE bersembahyang menghadap angkasa raya ataupun bintang. Sembah siapa?

Aduhhhh… ini tuduhan yang sangat liar! Tuhan sebut hadapkanlah wajahmu ke Kaabah ketika sembahyang. Kefahaman mana yang pendokong FE ini pegang yang arah itu satu garisan lurus yang menjurus seperti laser? Jika arah itu seperti laser, maka sudah dihalang oleh orang di saf hadapan, dinding masjid, gunung ganang, bangunan-bangunan dan sebagainya. Cuba anda ambil peta dimana letaknya Masjid Al-Aqsa dan Masjid Haram. Antaranya keduanya terletak masjid yang terkenal, iaitu Masjid Qiblatain. Jika mengikut peta bummi kedua-dua lokasi (Masjid Al-Aqsa dan Masjid Haram) bukanlah 180 darjah bukan? Bagaimana Nabi boleh pusing terbalik 180 darjah sewaktu penukaran arah kiblat ketika diperintahkan oleh Tuhan? Adakah kiblat Nabi salah? Tidak sama sekali!! Ianya akan menjadi 180 darjah hanya jika permukaan itu melengkung! Maha Suci Tuhan dari sebarang kesilapan dan Nabi suci dari dosa-dosa.

 

Kenapa Agama dan Sains bersalahan?

TIDAK! Agama telah mengkhabarkan, Sains cuma memperincikan. Apa yang pendokong FE lakukan hanyalah memetik ayat sekerat-sekerat dan kurang penguasaan balaghah bahasa Al-Quran. Ayat Al-Quran bukanlah sesuatu yang boleh diterjemah secara langsung. Ianya memerlukan ahli tafsir yang mahir. Tidak dinafikan, ada juga ahli tafsir yang mengatakan bumi itu mendatar. Adakah beliau juga faqih terhadap Sains? Maka ramai juga ahli tafsir yang mengatakan bumi itu membulat dan sebagainya. Apa yang penting, agama suci dari kesilapan, hanya kita yang kurang pengetahuan dalam mentafsir. Al-Quran tetap suci dari sebarang kesilapan.

 

Kenapa air atau lautan tiada lengkungannya pun?

Antara salah satu sifat cecair yang perlu anda tahu adalah keadaanya memenuhi ruang dan mengalir. Sama jawapan sebelum ini, anda tidak cukup tinggi untuk melihat lengkungannya. Jika dasarnya senget (seperti eksperimen yang ditunjukkan), tetapi masih lagi permukaan air tersebut mendatar bukanlah menunjukkan bumi itu mendatar! Apabila disebut air itu memenuhi ruang dan juga mempunyai jisim, maka ianya juga terpengaruh dengan graviti. Sebab itu air tak tumpah di lautan antartika. Jika nak tumpah, nak tumpah ke arah mana pula? Arah tarikan graviti adalah menuju ke pusat. Jika bumi, maka pusat bumi.

 

Matahari adalah dekat dan lebih kecil.

Jika matahari dekat, maka cairlah bumi! Cuba kita buka balik proses pemindahan haba melalui radiasi sahaja tanpa ambil kira pemindahan haba melalui perolakan. Suhu permukaan matahari yang direkodkan lebih kurang 5778 Kelvin. Maka menggunakan Stefan-Boltzmann law, dengan suhu ini, matahari telah memancarkan 63 juta joule tenaga radiasi elektromagnetik per saat per keluasan. Ambil pula diameter matahari 1.3914 juta km. Maka, tenaga haba yang dikeluarkan untuk satu minit adalah 2.31 x 10^28 Joule tenaga! Tenaga sebanyak ini maka leburlah apa sahaja dan itu belum lagi pemindahan haba melalui perolakan. Ambillah saiz matahari yang kecil sekalipun, tetapi emissivity nya didarabkan dengan suhu berkuasa empat! Adalah dengan itu matahari kelihatan lebih kecil dan dekat kerana parallax kita. Jika kita melihat kapal terbang yang terbang tinggi di awan, adakah kita yakin bahawa kapal terbang itu bersaiz seperti ‘cotton bud’ pula?

 

NASA adalah persatuan yang menyembah matahari, setan dan sebagainya bagi menyesatkan manusia.

Apa??? Pertamanya, NASA bukanlah organisasi agama. NASA juga bukan satu-satunya organisasi penerokaan angkasa lepas. Ada banyak lagi organisasi sebagai contoh JAXA, ESA, ISRO, CNSA dan lain-lain lagi. Selaku admin yang pernah membentangkan kertas kerja penyelidikan dengan NASA, projek universiti yang membuat satelit James Webb telescope dengan NASA belum pernah kami memuja mahupun menyembelih haiwan sebelum masuk makmal mahupun bermensyuarat. Kebetulan juga rakan sekerja admin yang pernah berkerja terus dengan NASA, balik dan pulang mengajar alhamdulillah masih bertudung dan boleh mengucap dua kalimah syahadah.

 

Bagaimana roket boleh terbang di ruang vakum?

Banyak perbezaan antara roket dan kapal terbang. Roket tidak mempunyai sayap. Roket menggunakan tanki minyak dan tanki oxidizer sendiri untuk dibakarkan dalam ruang pembakar. Kemudian dilepaskan ke bahagian muncung. Tenaga haba ditukarkan ke tenaga kinetik. Maka tidak perlu udara untuk terbang! Inilah perbezaan breathing engine and non-breathing engine.

 

Kenapa bumi yang orbit matahari dan bukan sebaliknya?

Ini adalah konsep heliosentrik dan geosentrik. Ada juga dijelaskan dalam sejarah dan matematiknya pautan ini dan ini. Sekali lagi ini berkaitan dengan graviti. Objek yang berjisim berat akan mempunyai tarikan graviti yang besar. Maka matahari akan tarik objek-objek disekitarnya ke arahnya. Kenapa semua tak jatuh ke dalam matahari pula dan terbakar? Perlu diketahui juga, bumi dan planet-planet lain juga bergerak ke arah sisi. Sewaktu proses pembentukkan kesemua planet-planet didalam sistem suria semua yang berlaku prinsip keabadian momentum juga wujud. Cuba ambil pemberat dan ikat dihujung tali lalu kita berpusing. Selain tarikannya kepada kita, ia juga bergerak ke sisi. Tanpa pergerakan ke sisi ini akan jatuh ke pusat dan juga jika tiada tarikan ke pusat, anda akan terus terbang!

 

Bagaimana pula angkasawan yang kelihatan terapung-apung dalam stesyen angkasa dan boleh pula berjalan di angkasa ketika bergerak laju?

Dengan ini anda perlu tahu beberapa konsep seperti halaju pelepasan dan halaju tetap. Halaju tetap ialah tiada pengaruh pecutan. Maka tiada daya yang dirasakan. Objek yang dalam keadaan bergerak itu akan tetap berada dalam keseimbangan kecuali ada daya yang mencegahnya. Halaju pelepasan adalah halaju yang minimum untuk keluar dari pengaruh graviti dari objek yang besar. Lagi tinggi altitud lagi kurang halaju pelepasannya. Sebab itu satelit perlu dinaikkan setinggi-tinggi yang boleh (ikut misi) dan dikenakan halaju yang minima untuk keluar dari pengaruh graviti yang menariknya kebawah. Angkasawan kelihatan terapung-apung bukan kerana tiada pengaruh graviti! Masakan tiada pengaruh graviti pula sedangkan bulan lagi jauh masih ada tarikan gravitinya juga. Ianya mengalami keadaan jatuh bebas kerana stesyen angkasa bergerak dengan lajunya mengorbit bumi. Angkasawan boleh berjalan kerana mereka sudah berada dalam halaju yang tetap. Tiada pecutan mahupun nyahpecutan yang menyebabkan daya yang menolaknya seperti rintangan udara dan sebagainya. Sama seperti kita bergerak dalam kapal terbang yang tengah bergerak dengan lajunya. Cumanya, mungkin apabila kita cuba keluar dari tingkap kita akan terpelanting ke belakang. Kerana adanya udara dan daya rintangan yang menolaknya kebelakang.

 

Gerhana bulan terjadi kerana bulan memancar dan memadamkan cahayanya?

Mengikut beberapa pendokong FE ini, gerhana yang berlaku bulan lalu kerana bulan ‘menggelapkan’ dirinya. Fasa-fasa bulan juga berlaku kerana bulan memancarkan sebahagian cahaya sahaja dari permukaannya. Perlu diketahui kategori-kategori objek-objek di angkasa lepas. Bintang di definasikan sebagai bebola gas yang bercahaya yang terdiri daripada gas hidrogen dan helium. Reaksi fusion nuklear dalam terasnya menghasilkan foton dan haba, serta sedikit unsur berat. Matahari adalah bintang yang paling dekat dengan Bumi. Planet pula adalah jasad yang mengelilingi bintang, mempunyai orbit, dan laluanya itu bebas dari sebarang objek-objek yang lain. Bulan pula adalah satelit semulajadi bumi yang mengorbit bumi. Ianya bukanlah bintang untuk mengeluarkan cahaya. Tiada nuklear fusion yang berlaku pada permukaannya.

 

Itu dulu soalan-soalan berserta jawapan secara lalu. In sha Allah bersambung jika berkelapangan.

WAllahua’lam