247Shares

Ramai di antara kita menganggap tulang di dalam badan kita seperti ‘tidak hidup’, hanya seperti sebuah kuburan keras yang tidak ada sebarang kehidupan di dalamnya. Tidak tuan-tuan dan puan-puan, malah tulang anda sebenarnya bertukar sepenuhnya dalam masa 7 hingga 10 tahun! Dalam rencana ini saya akan kongsikan sedikit sebanyak tentang tulang dari aspek ‘bone remodelling’ atau pemodelan semula tulang, untuk kita sama-sama memahami bahawa tulang anda bukan sekadar suatu kuburan yang sunyi!

Dalam ‘pemodelan semula tulang’ ini terdapat dua proses penting yang berlaku iaitu ‘bone deposit’ dan ‘bone resorption’. Untuk berlakunya proses pemodelan semula tulang, dua perkara ini harus berlaku.

Sel-sel yang terlibat di dalam proses ini dikenali sebagai ‘osteoclast’ dan ‘osteoblast’. ‘Osteoclast’ anda boleh bayangkan seperti pekerja yang bertanggungjawab membuang perabot-perabot di dalam rumah anda, supaya perabot di rumah anda dapat digantikan dengan perabot yang baharu dan ‘kuat’. Begitu juga dengan tulang kita, ‘osteoclast’ diberi tugasan untuk menghancurkan ‘bone matrix’ (kawasan tulang) untuk menukarkan kalsium yang dienap ke dalam tulang kepada bentuk mudah larut. Manakala ‘osteoblast’, bertanggungjawab membawa masuk ‘perabot’ baharu ke dalam tulang anda untuk menguatkannya lagi.

Kaitan Pemodelan tulang dan juga Kekuatan Tulang.

Baik, ada dua perkara yang mempengaruhi kekuatan tulang. Pertama, pengaruh hormon terhadap tulang tersebut sedikit sebanyak mempengaruhi kekuatannya. Sebagai contoh, badan anda kekurangan ion kalsium (Ca2+). Maka hormon seperti kalsitonin bakal dirembeskan dan dihantar ke tulang anda. Kalsium yang dideposit ke dalam tulang anda akan dihancurkan seterusnya dibawa ke dalam salur darah untuk memenuhi keperluan kalsium di tempat lain. Hasilnya, kekurangan mineral seperti kalsium mengurangkan kekuatan tulang anda.

Perkara kedua yang mempengaruhi kekuatan tulang kita ialah tindak balas tulang terhadap mekanisma luar. Tangan dominan yang anda gunakan mempunyai kekuatan tulang yang berbeza berbanding tangan yang jarang anda gunakan.

Mengikut pengasas Wolff’s Law, Julius Wolff, seorang pakar anatomi dan pakar pembedahan Jerman. Kata pakcik Wolff:

“Pemodelan semula tulang dan tumbesaran tulang terjadi untuk bertindak balas dengan beban yang diletakkan di atasnya”

Apabila beban diletakkan diatas tulang, tulang bertindak balas dalam usaha untuk melaksanakan perintah tuannya misalnya untuk mengangkat barang, berjalan atau berlari.

Rujukan Gambar : Syed Agil, The Star Online

 

Rujukan Gambar : Marieb Hoehn, Human Anatomy and Physiology (Ninth Edition), Pearson New Intenational Edition

Apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti cergas, tulang anda akan beradaptasi untuk memenuhi keperluan aktiviti-aktiviti tersebut. Sebagai contoh, pemain tennis yang menggunakan tangan kanan untuk melakukan servis, terbukti mempunyai tulang yang kuat berbanding ‘nonserving arm’.Jika anda lihat gambar rajah(b) di atas ‘serving arm’ atau tangan dominan untuk melakukan servis mempunyai pertambahan dalam diameter tulang.

Jadi semakin banyak anda melakukan aktiviti cergas, semakin kuat tulang anda. Hal ini berlaku kerana tulang bertindak balas terhadap tekanan mekanikal yang berlaku di luar badan. Jika aktiviti-aktiviti cergas jarang dilakukan, maka kekuatan tulang akan berkurang kerana ia tidak digunakan.

Apakah yang akan berlaku pada tulang kita ketika berada di angkasa lepas?

4Scott Kelly dan Mikhail Kornienko. (Rujukan : https://www.pinterest.nz/pin/113504853086825006/)

Pada Mac 2015, Scott Kelly dan Mikhail Kornienko, berlepas ke International Space Station (ISS) untuk mejalankan misi yang bernama ‘Year-Long Mission’. Kajian ini berkaitan kesan kepada kesihatan jika kita berada di angkasa untuk jangka masa yang panjang. Apabila anda berada di angkasa dalam tempoh masa yang lama, perkara yang paling anda perlu risaukan ialah kesihatan tulang anda. Mengapa?

Di angkasa, umum mengetahui di sana tiada graviti. Maka ia membuat berat anda berkurang atau nirberat (weightless). Maka, tiada tekanan mekanikal yang cukup terhadap tulang anda. Jika di bumi, warga emas seperti atuk dan nenek kita, kekuatan  tulang mereka berkurang dalam 1 hingga 2 peratus setiap tahun. Namun untuk pakcik Scoot dan Kornienko , kekuatan tulang mereka berkurang sehingga 20 peratus apabila berada di angkasa. Jadi manusia yang berada di angkasa harus bersenam berlipat kali ganda berbanding kita di bumi untuk memastikan tulang mereka berada dalam keadaan sihat.

 

Rujukan

  1. Marieb Hoehn, Human Anatomy and Physiology (Ninth Edition), Pearson New Intenational Edition
  2. Wolff’s Law- Wikipedia
  3. The Skeletale System : Crash Course A&P
  4. https://www.youtube.com/watch?v=rDGqkMHPDqE