Dalam artikel ini, penulis akan menerangkan serba sedikit intervensi perubatan yang diberikan kepada sesorang wanita yang menjalani proses melahirkan bayi di fasiliti kesihatan. Semua rawatan ini tidak pernah bersalahan dengan proses ALAMI sesuatu kelahiran. Malah ia amat bertujuan untuk mencapai puncak ALAMI sebenar sesuatu kelahiran, iaitu kedua-dua IBU dan BAYI berada dalam keadaan SIHAT dan SELAMAT.

Seringkali dilaungkan oleh kumpulan ‘gentlebirth’ dan yang seangkatan dengannya bahawa proses melahirkan di hospital tidak memenuhi proses ALAMI kelahiran. Mereka melaung-laungkan bahawa proses bersalin perlulah secara NATURAL. Seperti yang dimomok-momokan oleh golongan ini, jika melahirkan di hospital, para ibu akan diberikan pelbagai rawatan perubatan yang tidak perlu. Contohnya : pemakaian branula, suntikan Syntometrin untuk mengecutkan Rahim, suntikan Pethidine untuk mengurangkan sakit, episiotomy untuk membuka laluan di perineum ibu dan pelbagai lagi .

Suasana di dewan bersalin umpama MEDAN PERANG –
Bagi si ibu dan bayi, ia adalah momen antara HIDUP dan MATI mereka.
Bagi para doktor, jururawat dan seluruh petugas perubatan pula, medan perang di sini sebenarnya bermaksud :
“ Peperangan melawan sebarang bentuk komplikasi yang boleh dicegah dan boleh diberikan tindakan rawatan perubatan dari awal”.

 

Proses melahirkan merupakan suatu keadaan yang amat kritikal. Ia melibatkan DUA nyawa – ibu dan bayi. Semua petugas perubatan memegang teguh doktrin perubatan bahawa kedua-dua IBU dan BAYI perlu berada dalam keadaan SIHAT dan SELAMAT semasa tempoh kehamilan, kelahiran dan selepas kelahiran.
Inilah proses ALAMI sebenar iaitu kedua-dua IBU dan BAYI dalam keadaan SIHAT dan SELAMAT.

Sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam sela masa beberapa saat sahaja. Oleh yang demikian, tindakan yang pantas dan tepat perlu diberikan kepada pesakit bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk. Semua pengamal perubatan sentiasa dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Sepanjang proses kehamilan, mungkin tiada apa2 masalah. Tetapi, semasa proses melahirkan, mungkin boleh berlaku pelbagai situasi kecemasan dan memerlukan TINDAKAN PANTAS DAN TEPAT DARI PENGAMAL PERUBATAN TERLATIH seperti :

  • bayi lemas dalam kandungan.
  • tali pusat bayi keluar dahulu (cord prolapsed).
  • bayi tersangkut atau tidak dapat keluar sepenuhnya dari laluan peranakan
  • ibu mendapat darah tinggi /sawan.
  • ibu mengalami tumpah darah.
  • uri tidak lekang sepenuhnya atau ada bahagian uri yang tidak dapat keluar dari rahim.

 

Apakah intervensi perubatan yang dilakukan di wad-wad bersalin di fasiliti kesihatan ?

 

1. Pemakaian branula.

Branula atau cannula ialah jarum yang dimasukkan ke tangan ibu bagi laluan untuk drip atau ubat-ubatan. Drip perlu diberikan kepada ibu2 yang dikesan mengalami dehidrasi (kekurangan air) dalam badan. Ubat-ubatan juga akan diberikan melalui branula ini tetapi HANYA kepada pesakit yang dikenalpasti memerlukannya.

Ada yang mempertikaikan: “Tak boleh ke pasang branula hanya apabila diperlukan?”

Anda perlu faham bahawa semasa proses kelahiran, apa-apa sahaja boleh berlaku dalam sekelip mata. Tiba-tiba ibu boleh tumpah darah, sawan, uri lekat dan sebagainya.

Jika ibu sedang tumpah darah membuak-buak, takkanlah baru pada masa itu baru nak cari urat (vein) untuk masukkan drip / ubat/ darah? Semasa tumpah darah, urat akan mengecut dan menyukarkan lagi proses mencari urat.

Jika ibu tengah sawan, takkanlah pada masa tangan ibu tengah kejang dan bergegar2 itu baru nak masukkan branula untuk diberi ubat?

Anda bayangkanlah…
Jika semasa kecemasan baru hendak pasang branula, maka akan berlaku pembaziran saat yang amat berharga untuk menyelamatkan nyawa ibu dan bayi.

 

2. Pemeriksaan vagina (vaginal examination – VE)

Pemeriksaan vagina atau V.E amat penting bukan sahaja untuk mengetahui saiz bukaan pintu rahim, lebih daripada itu, ia dapat memberi maklumat tentang perkara-perkara berikut:

  • Keadaan vagina : dapat mengesan pengecutan otot vagina, atau kehadiran polyp.
  • Keadaan cervix (bukaan pintu rahim) : saiz bukaan, kedudukan pintu rahim, ketebalan cervix.
  • Bayi : Apakah bahagian bayi yang paling hampir dengan bukaan faraj? Adakah bahagian kaki/ punggung/ kepala? Kedudukan kepala bayi samada masih jauh ke atas atau sudah menghampiri bukaan faraj
  • Kedudukan kepala bayi samada mendongak atau terlungkup?
  • Sesuatu yang tidak normal : contohnya dapat mengesan keberadaan uri berhampiran pintu rahim atau dapat mengesan kehadiran tali pusat bayi. Kedua-dua keadaan ini memerlukan tindakan perubatan serta-merta

.
Jika tiada apa-apa keperluan yang mendesak, VE hanya dilakukan 4 jam sekali setelah proses melahirkan bermula. Walaubagaimanapun, VE akan dilakukan lebih kerap apabila kontraksi lebih kerap atau proses kelahiran telah memasuki fasa kedua kelahiran.

Untuk makluman, proses melahirkan terbahagi kepada 3 fasa :
Fasa pertama : Mulai dari pembukaan pintu rahim hingga mencapai bukaan 10cm.
Fasa kedua : Mulai dari pergerakan bayi menuruni laluan bersalin hingga dilahirkan.
Fasa ketiga : Proses keluarnya placenta (uri).

 

3. Pemakaian CTG

CTG dipakaikan untuk memantau denyut jantung dan pergerakan bayi dalam kandungan. Memang benar pergerakan seseorang ibu akan terbatas dengan adanya tali (belt) di sekeliling perutnya. Tetapi tidak bolehkah ibu itu berkompromi tentang keselesaanya demi mendapat pemantauan berterusan bagi bayi dalam kandungannya. Daripada pemantauan yang berterusan ini, kondisi bayi dalam kandungan dapat segera dikenal pasti. Tidurkah si bayi? Aktif bergerakkah dia? Atau sedang lemas (distress)?

 

4. Pemecahan selaput ketuban

Prosedur ini bukan untuk semua ibu yang dalam proses melahirkan. Selagi boleh, selaput ketuban akan dibiarkan untuk pecah sendiri (Spontaneous rupture of membrane). Ia biasa dialami apabila kontraksi sudah menjadi lebih kuat dan kerap. Walaubagaimanapun, ada beberapa keadaan yang memerlukan doktor untuk memecahkan selaput ketuban :

a) Kontraksi sudah berterusan, tetapi tidak cukup kuat untuk membenarkan proses kelahiran. Banyak kajian saintifik menunjukkan bahawa proses memecahkan selaput ketuban (amniotomy) dapat mempercepatkan proses kelahiran.

b) Apabila CTG menunjukkan tanda-tanda awal bayi sedang lemas (distress), adalah perlu untuk melihat warna air ketuban. Bayi yang sedang lemas lazimnya akan mengeluarkan najis (meconium) yang berwarna hijau. Tahap kepekatan najis di dalam air ketuban dapat dipantau secara berterusan bagi membantu doktor membuat keputusan yang tepat.

 

5. Episiotomi

Episiotomi ialah guntingan yang dilakukan di kawasan perineum (faraj) ibu untuk meluaskan laluan kepada bayi yang akan dilahirkan. Bukan semua ibu akan dibuat episiotomi. Ia hanya untuk ibu2 yang laluannya didapati agak sempit, seperti dalam kes-kes berikut:

– Ibu yang melahirkan anak pertama – tetapi TIDAK semua! Kerana ada juga ibu yang melahirkan anak pertama mempunyai laluan yang cukup luas untuk bayinya.
– Ibu yang perlu melahirkan menggunakan vacuum atau forceps.
– Bayi yang didapati agak besar dan sukar untuk meloloskan diri melalui bukaan yang tidak mencukupi.

Selain bertujuan untuk menambahkan luas bukaan bagi laluan bayi, episiotomi juga bertujuan untuk mengelakkan KOYAK-RABAK pada bahagian faraj.

Bayangan mudahnya begini:
Ambil sehelai surat khabar. Buat sebuah bukaan berbentuk bulatan yang cukup-cukup untuk meloloskan saiz penumbuk anda. Sekarang, sarungkan pula bukaan itu bagi meloloskan kepala anda. Walaupun tak muat, paksa juga kepala anda untuk melepasinya. Apa yang bakal berlaku? Pasti anda dapat melihat KOYAK-RABAK pada pelbagai arah.

Kali ini, gunakan kertas suratkhabar yang lain dengan bukaan yang bersaiz sama. Tapi kali ini, buatkan potongan (slit) seperti leher baju kurung. Buat potongan secukupnya agar dapat meloloskan kepala anda. Apa yang berlaku? Kepala anda dapat lolos dengan mudah. Potongan seperti leher baju kurung itu dapat mengelakkan koyakan yang tidak tentu arah.

Luka potongan daripada episiotomy lebih mudah dijahit berbanding luka koyak rabak tidak tentu arah akibat tiada episiotomy. Hasilnya, luka lebih mudah dijaga, lebih cepat sembuh, dan lebih cantik penyembuhannya.

 

6. Pemberian Syntometrine

Suntikan Syntometrine akan diberikan di paha ibu pada fasa ketiga kelahiran (selepas bayi dilahirkan, sebelum uri dikeluarkan). Ia bertujuan untuk mengecutkan rahim bagi mengelakkan tumpah darah.

Sebaik sahaja bayi dilahirkan, darah yang disalurkan ke bahagian rahim masih berkali-ganda berbanding wanita yang tidak hamil. Oleh kerana bayi telah lahir, darah yang disalurkan ke bahagian rahim ini hanya akan terbuang begitu sahaja (tumpah darah). Rahim perlu mengecut dengan segera untuk menghentikan pengaliran darah yang terlalu banyak ini. Di sinilah pentingnya pemberian Syntometrine.

Sesuatu yang amat perlu anda fahami :
a) Bagi wanita yang tidak mengandung, pengaliran darah ke rahim ialah kira-kira 45ml seminit.
b) Bagi wanita hamil yang sudah cukup bulan (at term), pengaliran darah ke rahim ialah sebanyak kira-kira 750ml seminit – hampir bersamaan satu air mineral botol besar seminit !
c) Seorang dewasa dengan berat 60kg, mempunyai kira-kira 5 liter darah dalam badannya.
d) Jika dalam 1 minit, darah keluar sebanyak 500ml (1 botol mineral kecil), dalam beberapa minit sahaja pesakit itu akan mengalami renjatan akibat kekurangan darah(hypovolemic shock).
e) Apakah kesan akibat hypovolemic shock ?…………… MAUT !

Kesemua rawatan perubatan ini tidak pernah bertujuan untuk menyalahi hukum ALAMI sesebuah proses kelahiran, apatah lagi bertujuan untuk memudharatkan ibu dan bayi. Oleh yang demikian, janganlah sesekali cuba memperjudikan DUA NYAWA untuk memenuhi tuntutan KESELESAAN, GENTLE, ALAMI dan NATURAL yang hanya bersifat sementara itu.

 

 

Sedarlah wahai kaum IBU yang berjuang bermati-matian untuk homebirth, gentlebirth dan seumpamanya…

Sedarlah wahai kaum BAPA yang mengizinkan isteri mereka memilih untuk bersalin di luar daripada fasiliti kesihatan ….

 

  • Tiada gunanya bebas bergerak ke sana ke mari tanpa tali CTG di perut, tetapi anak lemas dalam kandungan tanpa sempat diselamatkan.

  • Tiada gunanya faraj selamat daripada episiotomy, tetapi akhirnya koyak rabak hingga ke lubang anus.

  • Tiada gunanya tangan cantik tanpa setompok pun kesan cucukan jarum branula tapi ibu maut akibat tumpah darah, meninggalkan bayi yang tidak pernah mendapat air susu mahupun belaian daripada seorang IBU.

 

Fahamilah maksud sebenar kelahiran secara ALAMI : 
Kedua-dua IBU dan BAYI dalam keadaan SIHAT dan SELAMAT.

Dr. Faiza Tohit
Doktor, bukan Doula

#saynotounsafebirth