183Shares

Pernah tak anda terfikir  berkenaan keseimbangan badan. Walaupun anda menutupkan mata ketika di dalam kenderaan, anda masih akan dapat rasa jika kereta tersebut mula bergerak. Begitu juga jika anda menaiki lif, anda juga masih akan merasakan jika lif tersebut mula bergerak ke atas ataupun kebawah.

Disamping itu, anda terfikir tak bagaimana anda mengetahui lokasi tangan anda dimana walaupun anda menutup mata?

Kesemua deria ini termasuk penglihatan akan memberi maklumat ke bahagian otak untuk dicernakan supaya otak dapat mengambarkan bagaimana badan kita berada di dalam seseuatu ruang sama ada sedang bergerak, sedang berhenti, dalam keadaan berbaring dan sebagainya walaupun pada ketika itu penglihatan kita ditutup.

Apabila maklumat tersebut telah digambarkan oleh otak, badan kita dengan sendirinya akan mengubah kedudukan untuk meletakkan badan kita pada posisi yang stabil supaya kita tidak terjatuh.

Sebab itulah, bila ada orang tolak badan kita dengan kuat, kita secara automatik akan mendepakan tangan kita dan membuka kangkang kita supaya kita tidak jatuh. Syukurnya wujud sistem ini

Struktur dan organ yang membantu dalam deria keseimbangan badan.

Terdapat 3 struktur utama yang membantu dalam deria keseimbangan dan setiap daripada struktur tersebut mempunyai fungsi yang berbeza. Struktur inilah yang akan memberitahu keadaan badan kita bagaimana.

1. Telinga

Sebagaimana yang kita tahu telinga berfungsi untuk pendengaran. Tetapi tahukah kita ia juga berfungsi untuk mengawal keseimbangan badan.

Bahkankan jika seseorang itu mempunyai masalah telinga, mereka mungkina akan mempunyai masalah ketidak seimbangan badan seperti masalah vertigo.

Telinga terdiri daripada 3 bahagian iaitu:

  • Bahagian luar
  • Bahagian tengah
  • Bahagian dalam

Bahagian yang terlibat mengawal keseimbangan badan kita terletak di bahagian dalam telinga. Ia mengawal pendengaran dan juga keseimbangan.

Struktur telinga bahagian dalam

Ia terdiri daripada 2 struktur iaitu:

  • Koklea : adalah struktur yang berlingkar seperti siput
  • Saluran semiserkular (semicircular canals)

Bagaimana struktur telinga bahagian dalam membantu dalam keseimbangan badan?

Terdapat 2 struktur bahagian dalam telinga yang membantu dalam perkara ini

  • 3 salur semiserkular: Mengesan pergerakan badan samada ke atas, ke bawah, ke kiri dan ke kanan.
  • Vestibul: Mengesan pergerakan kehadapan dan kebelakang

Di dalam setiap saluran tersebut akan mempunyai cecair dipanggil sebagai endolymph. Pada permukaan saluran itu pula terdapat bulu halus yang akan mengesan pergerakan cecair tersebut.

Seperti mana yang kita tahu, apabila kita bergerak, akan terdapat pergerakkan cecair yang akan menyebabkan bulu halus tersebut ditolak. Bulu inilah yang akan bertindak sebagai reseptor dan menghantar maklumat kepada otak. Otak pula akan menafasirkan pergerakan yang dialami oleh orang tersebut.

2. Otot dan Tendon

Otot berfungsi untuk mengerakkan anggota badan seperti tangan dan kaki. Tendon pula befungsi menghubungkan otot kepada tulang.

Di dalam struktur ini terdapat reseptor yang dinamakan sebagai golgi tendon yang berada di dalam tendon dan juga gelendong otot (muscle spindle) yang berada di dalam otot. Kedua-dua reseptor ini mempunyai fungsi yang berlainan tetapi gabungan kedua-dua reseptor ini akan memberi deria propriosepsi (priprioception) kepada seseorang.

Deria inilah yang membolehkan kita merasakan pergerakan tangan dan kaki walaupun mata seseorang itu tertutup. Deria ini juga dapat memberi tahu lokasi tangan dan kaki ketika seseorang itu menutup matanya.

Jesteru kombinasi struktur di telinga, otot dan tendon sahaja telah memberikan kesimbangan kepada seseorang itu untuk berjalan. Sebab itu orang buta masih boleh berjalan dan menyeimbangkan badannya walaupun mereka tidak dapat melihat

3. Mata

Deria mata pula lebih kepada memberitahu kita keadaan sekeliling dan posisi badan kita bagaimana. Bila kita dalam posisi tidak stabil, kita sendiri akan mengubah sesuai keadaan tersebut supaya ia menjadi lebih stabil

Pusat yang mengabungkan kesemua maklumat ini

Terdapat satu tempat di bahagian otak yang memproses maklumat ini. Ianya adalah pada bahagian cerebellar iaitu pada bahagian belakang otak. Ia berfungsi memproses maklumat yang didapati daripada semua struktur tersebut untuk memberitahu posisi badan bagaimana dan akan bertindak dengan sendirinya apabila posisi tersebut tidak sesuai

Sebagai contoh, jika anda ditolak dengan lajunya dibahagian belakang badan anda, secara automatiknya anda akan membuka lengan anda dan kaki anda akan dikangkangkan untuk menyeimbangkan badan anda semula. Proses ini juga dilakukan oleh bahagian cerebellar.

Apa yang berlaku bila bahagian cerebellar ini rosak?

Terdapat beberapa petanda yang terhasil jika bahagian cerebellar ini rosak. Selalunya ia didapati pada orang yang mengalami strok (angin ahmar) pada bahagian tersebut.

Beberapa tanda tersebut:

  • Pesakit tidak dapat menyeimbangkan dirinya apabila berada di dalam keadaan berdiri serta matanya tertutup. Pesakit mesti akan terjatuh
  • Apabila pesakit ingin menyentuh sesuatu objek, selalunya pesakit mesti tersasar sedikit daripada mencapai objek tersebut. Ini kerana dia tidak lagi dapat merasakan lokasi sendinya.

Kesimpulan

Ketiga-tiga struktur ini adalah penting untuk mengawal keseimbangan badan. Jika salah satu mempunyai masalah terutamanya bahagian telinga, ia mungkin akan menganggu keseimbangan badan bila berdiri ataupun berjalan.

Tetapi jika mata sahaja yang bermasalah, selalunya seseorang itu masih lagi boleh menyeimbangkan badannya terutamanya mereka yang sudah lama mengalami masalah penglihatan