703Shares

Anda sudah tahu bahawa kumpulan darah adalah sesuatu yang penting terutamanya jika anda kehilangan banyak darah. Sebagai contoh jika anda terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Sudah tentu pada ketika itu, anda memerlukan darah daripada orang lain dan kumpulan darah tersebut perlulah bersesuaian dengan kumpulan darah anda. Jika kumpulan darah tersebut tidak bersesuaian dengan anda, kemungkinan keadaan anda akan menjadi lebih teruk dan boleh menyebabkan kematian.

Tetapi kegunaan kumpulan darah ini tidak berhenti disitu sahaja. Tahukah anda kumpulan darah yang berbeza ini akan meningkatkan risiko anda untuk menghadapi sesuatu penyakit dan ada juga jenis darah yang melindungi anda dari sesuatu penyakit?

Pengkelasan Kumpulan Darah

Kumpulan darah yang selalu kita katakan sebenarnya dicipta berdasarkan antigen yang melekat pada dinding sel darah merah.

Antigen merupakan struktur yang melekat dibahagian permukaan sel dan berfungsi untuk tujuan pengenalpastian, pertahanan badan dan beberapa fungsi yang lain. Antigen seolah-olah menjadi kad pengenalan bagi setiap sel dalam badan supaya sel pertahanan badan dapat membezakan samada sel tersebut dari badan ataupun dari luar.

Secara mudahnya,

  • Jika anda mempunyai antigen jenis A, anda mempunyai darah A
  • Jika anda mempunyai antigen jenis B, anda mempunyai darah B
  • Jika anda mempunyai kombinasi antigen A dan B, maka darah anda adalah darah AB
  • Jika anda tidak mempunyai sebarang antigen dari A dan B, maka anda mempunyai darah jenis O

Tetapi ada lagi satu antigen yang penting perlu kita tahu iaitu Antigen H. Sebenarnya perubahan pada Antigen A, B dan AB adalah perubahan pada jenis gula yang melekat di bahagian antigen H. Jika anda tidak mempunyai sebarang gula yang melekat pada hujung bahagian antigen H, maka anda dikatakan mempunyai darah jenis O.

Jenis Antigen pada darah (Sumber: downhousesoftware.wordpress.com)

Dan perlu diketahui, jenis antigen ini bukan sahaja berada pada permukaan sel darah. Ia juga berada pada permukaan usus dan sel-sel dalam badan anda. Ini membuatkan sel-sel ini mampu berinteraksi dengan kuman dan juga sel imun badan kita sendiri

Mempunyai Darah jenis O, boleh membantu dalam penyakit demam malaria

Salah satu perkara yang berbahaya apabila seseorang itu menghadapi demam malaria adalah sel darah merah akan bergumpal satu sama lain menjadi satu bentuk seolah-olah bunga ros jika dilihat dibawah mikroskop. Ia berlaku apabila sel darah merah yang dijangkiti malaria melekat pada sel darah merah yang normal dan proses ini dibantu jika seseoran itu mempunyai antigen A dan B (iaitu berdarah A, B ataupun AB)

Oleh itu, mereka yang mempunyai kumpulan darah A, B dan AB akan lebih mudah membentuk gumpalan darah yang lebih besar berbanding mereka yang berdarah O.

Dan jika gumpalan tersebut terlalu besar ia boleh menyumbati salur darah dan menyebabkan kawasan selepas itu kekurangan oksigen. Bayangkan jika ia berlaku dikawasan otak, sudah tentu ia boleh menyebabkan penyakit angin ahmar (strok).

Selain daripada itu, gumpalan darah yang besar ini juga menyebabkan sel tersebut susah untuk dimusnahkan oleh sel pertahanan badan menyebabkan pesakit tersebut menjadi lebih teruk

Ini membawa kesimpulan bahawa mereka yang berdarah A, B dan AB mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami demam malaria yang lebih teruk berbanding dari mereka yang berdarah O

Mempunyai darah jenis O, akan menyebabkan anda mendapat penyakit kolera yang teruk

Bagi mereka yang berdarah O, mungkin anda dapat melawan Demam Malaria dengan baik. Tetapi anda akan menjadi teruk bila terkena jangkitan kolera.

Ketika wabak kolera berlaku di Peru pada awal tahun 90an, mereka yang berdarah O mempunyai 8 kali ganda kebarangkalian untuk dimasukkan ke hospital disebabkan kolera berbanding kumpulan darah yang lain.

Dan kajian juga mendapati darah jenis O adalah kumpulan darah yang paling sedikit ditemui pada penduduk di kawasan sungai Ganges, India. Dimana kawasan tersebut selalunya berlaku wabak kolera.

Walaupun saintis masih lagi tidak mengetahui bagaimana darah O menyebabkan kolera menjadi lebih teruk, tetapi satu perkara yang dipercayai adalah antigen A dan B mungkin membantu dalam mengelakkan toksin kolera melekat pada sel-sel badan.

Tetapi perlindungan ini bukan berlaku pada sel darah. Tetapi ianya berlaku pada sel-sel di dalam usus. Ini kerana seperti yang saya katakan pada awal tadi, antigen ini juga berada pada sel-sel badan yang lain dan dalam kes kolera ini, antigen A dan B pada bahagian usus yang melindungi sel dikawasan tersebut

Dibahagian usus inilah toksin kolera melekat pada sel-sel yang melapisi saluran usus dan menyebabkan air dipam masuk ke dalam usus. Pesakit akan mengalami cirit birit yang teruk hingga boleh menyebabkan kematian disebabkan dehidrasi.

Oleh itu, mempunyai darah jenis A, B dan AB mampu melindungi anda daripada jangkitan kolera yang teruk berbanding Darah O

Jenis darah juga meningkatkan risiko untuk terkena sakit jantung dan angin ahmar

Akhir sekali, jenis darah juga boleh menentukan risiko untuk anda menghadapi serangan sakit jantung ataupun angin ahmar

Untuk bahagian ini, terdapat satu lagi antigen dalam darah anda yang perlu diketahui. Ia bukan pada permukaan sel darah merah, tetapi ia bebas berada di dalam bendalir darah. Ia dikenali sebagai ‘faktor von Willebrand’

Faktor von Willebrand ini berfungsi untuk pembekuan darah. Sebagai contoh jika anda luka, faktor ini akan memainkan peranannya untuk membekukan darah dan menghentikan pendarahan dikawasan tersebut.

Tetapi jika faktor ini terlampau banyak ia boleh menyebabkan pembekuan darah berlaku secara tiba-tiba tanpa perlu adanya luka. Pembekuan darah ini boleh menghasilkan gumpalan darah yang akan menyumbat salur darah. Perkara ini boleh menyebabkan serangan sakit jantung dan juga angin ahmar.

Kelebihan badan kita, terdapat satu sistem badan yang mengawal penghasilan faktor ini dan menghapuskannya jika faktor ini berlebihan

Akan tetapi, bagi mereka yang mempunyai darah jenis A, B dan AB mempunyai proses yang lambat untuk menghapuskan faktor ini. Oleh disebabkan itu, 25% daripada mereka yang berdarah A, B dan AB ini selalunya mempunyai faktor von Willebrand yang lebih banyak dari orang biasa.

Ini mungkin menjelaskan kenapa kadar serangan sakit jantung dan angin ahmar selalunya lebih tinggi pada mereka yang berdarah A,B dan AB berbanding mereka yang berdarah O.

Akan tetapi, perlu diingatkan juga bahawa permakanan dan juga gaya hidup merupakan salah satu faktor yang lebih utama untuk terkena penyakit jantung dan angin ahmar berbanding jenis darah

Kesimpulan

Setiap jenis darah mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Ada jenis darah yang melindungi dari terkena sesuatu penyakit tetapi mendedahkan ia dengan penyakit yang lebih teruk. Jenis darah yang lain pula mempunyai kesan yang sebaliknya