582Shares

Permainan laser adalah permainan yang sangat disukai oleh kanak-kanak. Kerana cahaya tersebut boleh dipancarkan pada jarak yang jauh. Malah ada juga kanak-kanak yang mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi hingga menyuluh matanya dengan laser tersebut.

Pada ketika itu, sudah tentu ibubapa akan melarang perbuatan tersebut kerana dikatakan ia boleh menyebabkan mata menjadi buta. Tetapi masih tiada lagi penerangan berkenaan perkara tersebut.

Kes Buta bermain laser yang berlaku di luar negara

Seorang kanak-kanak berumur 10 tahun mengalami buta kekal apabila dia menyuluh laser yang berwarna hijau terus ke matanya.

Mengikut laporan kes yang dikeluarkan oleh ‘New England Journal of Medicine’, kecederaan itu berlaku pada bahagian macula, iaitu bahagian di retina yang mempunyai ketumpatan reseptor untuk mengesan cahaya yang paling tinggi. Macula ini berfungsi sebagai titik fokus pandangan seseorang. Jika seseorang itu memandang botol, maka imej botol itu yang akan terbentuk di macula. Tetapi apabila macula rosak, seseorang itu tidak akan nampak botol tersebut, tetapi akan nampak kawasan sekeliling botol itu.

Kanak-kanak tesebut dibawa ke bahagian ophthalmology di Thessaly University kerana pada ketika itu kanak-kanak tersebut mengadu pandangannya menjadi kabur. Pemeriksaan mendapati bahawa terdapat lubang pada bahagian retinanya. Secara spesifik dibahagian macula.

Lubang pada bahagian macula disebabkan pancaran laser

Ujian pemandangan pada mata sebelah kanannya yang normal mendapati pemandangannya seperti orang biasa. Tetapi mata sebelah kirinya pula tidak mampu melihat walaupun objek tersebut dekat.

“Penglihatan pesakit masih tidak berubah selepas 18 bulan proses pemantauan”, menurut laporan tersebut

Malangnya, sel reseptor dibahagian retina adalah sel yang telah melakukan pembezaan supaya dapat melakukan tugas yang spesifik iaitu menerima maklumat dalam bentuk cahaya. Sel ini tidak boleh membahagi untuk menggantikan sel yang telah rosak. Ini menyebabkan pesakit akan mengalami masalah penglihatan seluruh hidupnya dan masih tiada lagi rawatan yang boleh memulihkan sel dibahagian retina.

Dr Sofia Androidi, iaitu salah seorang penulis dalam laporan tersebut menyatakan, kanak-kanak tersebut mungkin telah mengalami masalah penglihatan tersebut beberapa bulan ataupun tahun tetapi tidak memberitahu kepada ibubapanya. Dia juga memberi tahu pihak CNN di mana kanak-kanak itu mengaku bahawa dia telah memancarkan laser permainannya beberapa kali ke dalam mata. Permainan laser itu sebelum ini di beli oleh bapanya.

Bagaimana laser merosakkan mata?

Sama seperti apabila seseorang melihat matahari, tenaga cahaya yang berlebihan boleh membunuh sel retina di dalam mata. Terdapat 2 cara bagaimana perkara ini berlaku:

  1. Sel retina tersebut menyerap frekuensi tinggi daripada sel cahaya itu dan menyebabkan ia mengembang dan pecah.
  2. Haba yang terhasil daripada laser tersebut membakar sel retina sama seperti menggunakan kanta untuk membakar kertas di tengah hari yang panas.

Disebabkan bahaya tersebut, di US dilarang untuk menjual laser yang melebihi 1 miliwatt. Akan tetapi ramai penjual diinternet yang menjual barang-barang ini dengan sesuka hati menyebabkan ramai lagi yang boleh memiliki laser yang berbahaya ini.

Jika anda mempunyai permainan laser, sila pastikan bacaan watt nya. Dan cuba elakkan untuk menyuluhnya dibahagian mata sebab ia boleh menyebabkan anda buta. Kepada ibubapa pula, pastikan anak-anak anda tidak bermain dengan permainan yang berbahaya ini.