Sejak beberapa hari lepas tular kisah berkenaan Child Birth Educator atau nama glamernya doula yang dikatakan terlibat dan mempengaruhi seorang ibu untuk melahirkan anak dirumah(homebirth). Boleh tahan ramai juga rakyat marhaen yang tidak tahu mahupun kenal doula tu apa(bukan kuih). Mari kita rungkaikan satu persatu.

Perkataan doula sebenarnya berasal daripada bahasa Yunani purba yang membawa maksud “hamba wanita/female slave”. Disebut sekali nafas(du-la). Macam shark doo doo tu. Bukan dollah. Bukan dodol. Bukan daulah.

Amalan ini sebenarnya bukan baru malah turut diamalkan seawal kewujudan maksud doula tersebut. Masyarakat Yunani ketika itu mengalami banyak kejadian dimana ibu meninggal dunia ketika bersalin. Mereka mendapati bila terdapat seorang lagi insan yang membantu dalam menenangkan, melayan segala ragam dan makan sumpah maki hamun si ibu yang tengah kesakitan ketika bersalin, kadar tersebut semakin berkurang(tapi tidak serendah zaman sekarang). Golongan yang sering dipertanggungjawabkan untuk peranan tersebut adalah golongan hamba/orang suruhan.

Peranan mereka pula adalah sebagai PENEMAN/PENDAMPING yang TIDAK mempunyai kemahiran atau kelayakan perubatan sebelum, ketika atau selepas kelahiran seorang ibu mengandung dan keluarga ibu tersebut, disamping memberikan sokongan emosi dan bantuan fizikal. So dalam erti kata lain, orang paling layak jadi doula ni adalah SUAMI kepada ibu yang melahirkan tersebut. Jangan buat je reti tapi tolong ibu serba serbi malas. Haa.

Diluar negara, ramai doula ini juga turut mempunyai latarbelakang perubatan. Malangnya di Malaysia pula ramai yang sebaliknya. Tidak mempunyai kemahiran atau kelayakan asas dalam bidang perubatan apetah lagi tentang kelahiran. Kelas yang mereka pergi juga adalah terlalu ringkas dan basic(21jam) untuk diangap sebagai panduan berkenaan ilmu kelahiran.

Sebagai kesimpulan, doula ini BUKAN bidan. BUKAN juga seseorang yang mempunyai kemahiran/kelayakan dalam menyambut kelahiran. Mereka tiada lesen untuk berbuat sedemikian.

Peranan dan populariti doula melonjak selepas tahun 1930an ataupun selepas kemelesatan ekonomi US dan yang dikenali sebagai ‘The Great Depression’. Ianya adalah jurang ekonomi antara mereka yang kaya dan miskin semakin ketara dan sekaligus memaksa golongan wanita yang sebelum ini secara traditionalnya merupakan housewives(surirumah) terpaksa membantu suami mereka untuk mencari rezeki. Dalam kesibukan seharian bekerja, ibu-ibu mengandung semakin tidak menjaga diri ketika mengandung anak mereka. Sebab itulah mereka mengupah dodol maaf doula-doula tersebut untuk membantu mereka(bukan ketika bersalin sahaja). Namun begitu peranan mereka yang paling popular adalah menurut segala kemahuan si ibu mengandung terutamanya ketika dan selepas bersalin pada zaman 1980an.

Peranan doula dapat disimpulkan kepada objektif utama berasas criteria DONA(Doulas of North America):

1) Mengenal pasti pengalaman ibu bersalin adalah pengalaman bermakna seumur hidup.

2) Untuk memahami fisiologi kelahiran(bukan mengajar!) dan memahami keperluan emosi ibu ketika bersalin.

3) Membantu si ibu dan suami untuk persediaan kelahiran

4) Berada disamping ibu yang hendak bersalin diseluruh proses tersebut(pegang tangan, lap muka, urut belakang, tolong cebok kalau meneran sampai terberak)

5) Menyediakan sokongan emosi, sokongan fizikal dan apa-apa bantuan untuk si ibu ketika bersalin.

6) Membantu dalam komunikasi antara ibu, suami dan ahli perubatan(tapi bukan acah-acah pandai belajar 4 tahun ilmu lepas tu ingat diri lebih pakar daripada yang doktor pakar bertauliah berpuluh tahun pengalaman)

7) Berperanan sebagai penjaga dan mempertahankan memori kelahiran si ibu.

———————————————————————————————————————————————————————

Jelas sekali daripada senarai diatas, TIADA SATU PUN peranan doula adalah untuk:

1) Menyambut kelahiran, sama ada dihospital atau dirumah sebab mereka tidak bertauliah.

2) Terlibat dalam proses dan keputusan perubatan sebab mereka tidak dilatih, tidak mahir dan tidak mempunyai kelayakan untuk berbuat sedemikian.

3) Memberi nasihat perubatan tidak kira secara umum atau untuk ibu mengandung kerana mereka tidak dilatih, tidak mahir dan tidak mempunyai kelayakan untuk berbuat sedemikian.

4) Menasihat ibu dari segi pemakanan, diet, penyusuan ibu untuk bayi sebab mereka tidak dilatih, tidak mahir dan tidak mempunyai kelayakan untuk berbuat sedemikian.

5) Melakukan aktiviti atau teknik kelahiran sperti bidan kerana mereka tidak dilatih, tidak mahir dan tidak mempunyai kelayakan untuk berbuat sedemikian.

6) Melakukan proses yang melibatkan perubatan secara klinikal seperti mengambil vital signs(tekanan darah berapa dsb) kerana mereka tidak dilatih, tidak mahir dan tidak mempunyai kelayakan untuk berbuat sedemikian.

7) Apetah lagi untuk mencabar ahli perubatan bertauliah yang sememangnya memang pakar dalam bidang kelahiran. Sebab apa? Sebab mereka tidak dilatih, tidak mahir dan tidak mempunyai kelayakan untuk berbuat sedemikian.

Rujukan:

Bowers B. B. Mothers’ experiences of labor support: Exploration of qualitative research. Journal of Obstetric, Gynecologic, and Neonatal Nursing. 2002;31(6):742–752

Dawley K. The campaign to eliminate the midwife. The American Journal of Nursing. 2000;100(10):50–56

Doulas of North America [DONA]. (n.d.). What is a doula? [Brochure]. Seattle, WA: DONA International.

Gilliland A. L. Beyond holding hands: The modern role of the professional doula. Journal of Obstetric, Gynecologic, and Neonatal Nursing. 2002;31(6):762–769

Hodnett E. D. Pain and women’s satisfaction with the experience of childbirth: A systematic review. 2002. American Journal of Obstetrics and Gynecology, 186(5 Suppl Nature), S160–S172

Pascali-Bonaro D. Childbirth education and doula care during times of stress, trauma, and grieving. Journal of Perinatal Education. 2003;12(4):1–7

Gambar dibawah ini BUKAN doula.