Anda terjaga tatkala baru melelapkan mata. Anda berjaya membuka mata. Anda dapat melihat persekitaran anda. Namun, apabila anda cuba bergerak, tangan dan kaki anda tidak berfungsi. Anda mula kaget, cuba untuk menjerit namun suara anda juga tidak keluar. Debaran mula terasa, mata anda bergerak liar memerhatikan sekeliling. Anda masih cuba bangun namun tiada satu otot dalam badan yang bergerak melainkan mata anda. Nafas mulai sesak, peluh sejuk membasahi badan. Antara dua perkara terjadi, anda terus panik, hilang sedar sehingga bangun keesokannya; atau anda akhirnya berjaya bergerak seperti biasa setelah beberapa lama.

Apabila anda menceritakan pengalaman ini kepada kawan-kawan atau ahli keluarga, reaksi mereka nampak agak risau lalu mereka katakan anda telah dihempap jin ketika semua itu berlaku. Kini anda makin risau, “kenapa ada jin nak hempap aku?” Anda mula bertanya. Jangan khuatir, keadaan ini dipanggil sleep paralysis. Akaun paling awal tentang gambaran peristiwa ini terdapat dalam teks perubatan Cina seawal 300 tahun sebelum Masihi. Kurun berlalu, terdapat juga teks-teks yang menggambarkan keadaan yang sama dalam tamadun Yunani, Roman, baik timur mahupun barat.

Yang menariknya, hampir kesemua pesakit yang memberi gambaran ini gusar tentang perkara yang sama. Mereka risaukan ada kuasa supernatural yang menekan mereka ketika tidur. Sekitar tahun 1500-1800 A.D., keadaan ini dikaitkan dengan amalan ilmu hitam “witchcraft” di negara-negara Barat.  Ramai doctor seawal tahun 1664, mula menggunakan perkataan “nightmare” untuk membincangkan perkara ini dan setelah zaman beransur moden, lebih banyak perkara yang dapat kita fahami tentang fenomena ini. Dalam istilah perubatan, fenomena ini dipanggil paralisis tidur atau “sleep paralysis” dalam Bahasa Inggeris.

Tidur terbahagi kepada dua peringkat. Peringkat “Non-Rapid Eye Movement (NREM)” yakni mata tidak bergerak rancak dan peringkat “Rapid Eye Movement (REM)” yakni pergerakan mata rancak. Ketika seseorang tidur dan melalui peringkat NREM, keseluruhan badan berehat, tidak bergerak dan otak berfungsi pada tahap minima. Dalam peringkat REM, badan masih tidak bergerak (kecuali mata dan otot pernafasan) namun fungsi otak mula aktif. Ketika inilah biasanya seseorang mengalami mimpi. Paralisis tidur berlaku apabila seseorang terjaga dalam keadaan otak masih berfungsi dalam peringkat REM tidur. Sebab seseorang boleh terjaga dalam keadaan ini adalah kurang jelas namun terdapat beberapa faktor yang menambah kemungkinan keadaan ini berlaku.

Antaranya

  • Tidak cukup tidur atau masalah kekurangan tidur (insomnia).
  • Jadual tidur yang kucar-kacir. (lazimnya disebabkan oleh pertukaran zon masa “jetlag” atau pertukaran shif kerja)
  • Narcolepsy – sejenis masalah kesihatan yang melibatkan otak tidak dapat mengawal kebolehan untuk terus berjaga lalu mengakibatkan seseorang tertidur pada masa-masa yang tidak sesuai.
  • Tidur terlentang.

Untuk kebanyakan kes, paralisis tidur hanya berlaku sekali seumur hidup. Berita baik untuk anda, keadaan ini tidak membahayakan kesihatan dan tidak juga berkait dengan apa-apa diagnosis yang lebih merisaukan. Sekiranya anda mengalami keadaan ini beberapa kali, adalah amat penting bagi anda melakukan bebrapa perkara, seperti:

  • Dapatkan tidur yang cukup.
  • Susun jadual tidur yang lebih rapi. Masuk tidur pada masa yang sama setiap malam.
  • Dapatkan suasana tidur yang kondusif.
  • Elakkan makanan berat, minuman kaffein, alcohol, atau rokok sebelum tidur.
  • Kekalkan gaya hidup sihat dengan senaman yang mencukupi pada waktu siang.

Sekiranya semua perkara di atas telah dicuba namun anda masih terganggu dengan keadaan yang sama, anda dinasihatkan berjumpa doktor dan berbincang tentang masalah anda. Lebih maklumat diperlukan, samada perkara berkaitan emosi dan psikologi yang perlu diberikan perhatian ataupun sekiranya anda perlu lebih ujian untuk memeriksa cara tidur anda dan peringkat-peringkat yang anda lalui ketika tidur.