Mungkin ramai antara kita yang pernah menonton pelbagai jenis drama televisyen mahupun filem layar perak yang menghidangkan penonton akan prosedur CPR. Kerapkali rancangan sebegini menayang babak berdebar-debar tatkala jantung berhenti diikuti dengan jeritan seorang atau para doktor untuk semua petugas kesihatan lain supaya berdiri jauh dari pesakit. Beberapa saat kemudian, renjatan elektrik diberikan kepada pesakit yang tidak sedar tersebut.

Kelihatan wajah-wajah resah memerhati paparan nadi pesakit tersebut. Garis lurus. Bunyi beep senada berpanjangan. Doktor tadi tidak berputus asa. Sekali lagi cubaan beserta kompresi dada sebelum renjatan kedua diberikan. Dialog dalam babak ini sentiasa sama “Come on, _______! I’m not giving up on you!”.

Selepas renjatan kedua (atau ketiga) – tatkala semua orang hampir berputus asa – ketika muzik latar tidak kedengaran, tiba-tiba bunyi beep senada tadi bertukar menjadi bunyi mengikut nadi dan paparan skrin garis lurus bertukar menjadi nadi yang normal.

Pesakit yang nyawa-nyawa ikan tadi terjaga lalu bernafas. Sikit pun tiada sakit padai dadanya yang ditekan separuh nyawa tadi dan semua orang menjerit kegembiraan. Tak puas dengan semua babak seperti ini, kita pernah juga disajikan dengan watak Danial Craig sebagai James Bond menyambungkan pelekat renjatan automatik (AED) ke atas dadanya sendiri dan melakukan semua proses resusitasi tanpa bantuan sesiapa.

Alangkah takjubnya. Malang sekali, hampir setiap kali kita melihat doktor di hospital melompat ke katil menekan dada dan memberi renjatan sebegini, kesimpulan akhirnya jaih sekali daripada babak-babak sebegini.

Apa Itu CPR dan Kenapa Lakukannya?

Cardiopulmonary resuscitation adalah satu prosedur kecemasan yang dilakukan sekiranya seseorang didapati tidak bernafas atau tiada aktiviti denyutan jantung. Prosedur ini melibatkan seseorang yang terlatih memberi tekanan yang pantas dan berterusan di kawasan dada mangsa dengan/tanpa memberi bantuan pernafasan berkala.

Cardiopulmonary resuscitation itu sendiri bukan suatu bentuk ubat untuk apa-apa jenis penyakit. Ia adalah satu prosedur yang sangat berguna untuk menstabilkan seseorang pesakit yang sangat kritikal sebelum boleh dipindah atau dinilai oleh pasukan doktor yang lebih berpengalaman atau tempat yang lebih sesuai bagi menyelsaikan masalah sebenar yang menyebabkan jantung pesakit tadi menjadi tidak stabil.

Tujuan melakukan tekan dada adalah sebagai usaha untuk mendapatkan cara meneruskan fungsi pam jantung. Fungsi ini amat penting untuk memastikan fungsi otak tidak terjejas kerana otak memerlukan bekalan oksigen yang berterusan. Organ-organ penting lain dalam badan seperti hati, buah pinggang, usus dll. Juga memerlukan bekalan oksigen untuk berfungsi.

Adakah CPR berkesan?

Sekiranya CPR dibuat di luar kawasan hospital, kadar keberkesanannya agak sukar ditafsir kerana terdapat banyak kes yang tidak direkodkan dengan betul selepas prosedur berlaku. Kebanyakan ahli akademik bersetuju dengan peratusan sekitar 5-15% pesakit yang berjaya distabilkan dan dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.

Manakala statistik hospital pula menunjukkan kadar keberkesanan 40% serta-merta selepas CPR. Namun begitu hanya lebih kurang 15% daripada semua pesakit menerima CPR kekal hidup sebulan selepas CPR dan 10% daripada kesemuanya pulang tanpa sebarang kesan jangka panjang.

Berikut adalah antara faktor-faktor yang mempengaruhi keberkesanan CPR:

  • Tempoh masa jantung terhenti dan CPR dimulakan.
  • CPR berterusan tanpa gangguan.
  • Umur pesakit, sebab jantung terhenti dan sejarah kesihatan pesakit.

Harus juga diingat yang tidak semua jenis CPR memerlukan doktor untuk memberi renjatan elektrik. Hanya lebih kurang 10% masalah ritma jantung melibatkan penggunaan defibrilator.

Mengapa Terus Juga Lakukan CPR?

Kerana ramai antara pesakit ini adalah golongan umur muda atau produktif tanpa apa-apa sejarah masalah kesihatan. Kami sebagai petugas kesihatan sangat ingin untuk membantu pesakit ini dan menghargai nyawa mereka. Namun, anda semua harus juga faham yang sekiranya CPR telah dilakukan lebih 20 minit atau lebih daripada 2 kali, terdapat risiko yang sangat tinggi untuk pesakit mengalami kesan kerosakan otak kekal. Atas sebab itu, petugas kesihatan diajar tentang masa yang sesuai untuk berhenti melakukan CPR.

Harus juga diingat, seperti yang saya terangkan di atas, CPR adalah prosedur sementara menstabilkan sebab sebenar jantung seseorang berhenti. Sekiranya seseorang pesakit memang mempunyai masalah seperti kegagalan jantung, kerosakan paru-paru kronik, barah tahap akhir, angin ahmar yang menghadkan limitasi fizikal/mental dll maka CPR tidak akan membantu seseorang pesakit, malah hanya menangguhkan sesuatu yang akan berlaku sebenarnya.

Maka terdapat juga situasi doktor yang akan memberikan arahan “Bukan Untuk CPR” atas sebab-sebab tersebut yakni CPR akan membawa lebih trauma kepada pesakit berbanding kebaikannya.

Sekiranya seseorang memang telah sakit dan diberitahu diagnosis yang memungkinkan kematian, jangan paksa petugas kesihatan untuk lakukan CPR. Hormatilah pesakit itu. Fahamilah, ada banyak juga rawatan yang boleh diberikan untuk menjamin keselesaan pesakit ketika nazak. Tidak melakukan CPR bukan bermaksud anda atau kami berputus asa dan menyebabkan kematian pesakit-pesakit sebegini.

Apa Lagi Yang Perlu Anda Tahu?

Sekiranya anda ada apa-apa masalah kesihatan, pastikan keluarga terdekat anda memahami masalah kesihatan tersebut. Ini bagi memudahkan kami petugas kesihatan menerangkan kepada keluarga sekiranya jantung tiba-tiba berhenti kerana tidak semestinya anda wajar diberi rawatan CPR.

Sebagai keluarga juga, hormati keputusan pesakit mahupun doktor kerana kami melihat kewajaran untuk melakukan CPR daripada semua segi. Sekiranya anda sihat dan umur sudah menjelang 70an, mula berbincang dengan keluarga tentang apa yang anda ingin atau tidak inginkan.

Ini akan membantu keluarga dan juga petugas kesihatan sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku dan kami juga akan sedaya-upaya membantu dan cuba untuk menghormati keinginan mereka dalam masa yang sama.

 

Sumber featured image: healthscienceconsulting.com