2494Shares

 

Mungkin sebahagian dari kita mengalami dulu dengan telefon bimbit model lama

Tahukah anda, kita membazir USD 22 juta (atau RM86 juta) setiap tahun untuk mengecas bateri telefon bimbit melebihi dari keperluan dan kapasitinya? [1]

 

“Kenapa teruk sangat ye?”

Antaranya, apabila membeli peranti yang mempunyai bateri yang boleh dicas semula, kebiasaannya sebuah telefon bimbit, kebanyakan pengguna akan di “ajar” untuk mengecas telefon bimbit tersebut selama 8 jam buat kali pertama. Ini juga tidak termasuk aktiviti mengecas yang berlaku pada kehidupan seharian kita selepas pengecasan kali pertama. (First time charge)

 

Jadi… perlu ke?

Jawapan ringkas: Tak. Tapi ada pengecualiannya.

Ini adalah sebuah budaya yang mempunyai asal usulnya yang tersendiri.

 

Apa asal usulnya?

Antara bateri boleh cas yang luas penggunaannya sebelum ini, adalah bateri Nikel Kadmium (Nickel Cadmium, atau NICd) dan Nikel-Logam-Hidrida (Nickel metal Hydride, atau NiMH). Bateri-bateri ini dikatakan mempunyai “kesan ingatan” (memory effect) apabila dicas sejurus dikeluarkan dari kilang. Ianya seolah-olah bateri tersebut “menghafal” sebanyak mana cas yang boleh disimpannya semasa zaman mudanya. Bagaikan melentur buluh dari rebung.

Image result for lithium ion battery shutterstock

Ini berlainan pula dengan penggunaan telefon bimbit yang rata-ratanya menggunakan bateri Lithium-Ion, yang secara umumnya tiada “kesan ingatan” seperti bateri NiMH dan NiCd, walaupun ada penyelidikan yang melaporkan bahawa kesan ingatan ini juga berlaku pada sesetengah jenis bateri Lithium-Ion [2].

Jadi, perlu ke cas sampai 8 jam ni?

Tidak perlu kita berpegang pada “mitos orang bandar” ini. Yang seeloknya, baca dahulu panduan penggunaan telefon bimbit (atau laptop atau peralatan bolehcas lain) anda. Jika tiada saranan untuk melakukan yang demikian, maka maksudnya tidaklah perlu kita melakukannya. Secara umumnya, bagi kebanyakan peranti moden yang menggunakan Li-Ion, tidak perlu dicas hingga 8 jam. Cukuplah cas sehingga ia penuh, kemudian cabut. Ulang apabila telefon bimbit anda menunjukkan amaran bateri pada muatan rendah.

Yang pastinya, bateri anda akan mempunyai kapasiti berkurangan dengan masa. Antara sebabnya adalah pergerakan ion Litium dalam bateri tersebut yang bertindakbalas dengan unsur sekitar terminal katodnya membentuk lapisan separa penebat pada terminal anod, yang akhirnya menyebabkan bateri tersebut hilang keupayaannya [3-4].

 

Kesimpulan?

Setiap kali membeli peranti yang boleh dicas, eloklah baca dahulu panduannya. Selamat mengguna. Dan jauhi dari sikap membazir elektrik!

 

Penulis: Vizier87

Jika anda rasa maklumat ini bermanfaat, sila like page FB kami iaitu Root of Science.

 

[1] Ferreira, D., Dey, A., & Kostakos, V. (2011). Understanding human-smartphone concerns: a study of battery life. Pervasive computing, 19-33.

[2] Sasaki, T., Ukyo, Y., & Novák, P. (2013). Memory effect in a lithium-ion battery. Nature materials12(6), 569-575.

[3] https://gizmodo.com/scientists-solved-the-mystery-of-why-rechargeable-batte-1583247838

[4] Lin, F., Markus, I. M., Nordlund, D., Weng, T. C., Asta, M. D., Xin, H. L., & Doeff, M. M. (2014). Surface reconstruction and chemical evolution of stoichiometric layered cathode materials for lithium-ion batteries. Nature communications5, 3529.