263Shares

12 remaja pemain bola berserta jurulatihnya yang telah terperangkap selama 18 hari di Gua Tham Luang Nang Non di Thailand telah selamat dikeluarkan daripada gua tersebut selasa yang lepas. Tetapi kes ini tidak habis begitu sahaja kerana keadaan pesakit masih lagi tidak sembuh secara sepenuhnya.

Remaja-remaja tersebut sedang dipantau di Hospital Chiang Rai mengikut sumber di sana. Mereka masih dirawat untuk beberapa penyakit yang minor, baru diperkenalkan dengan makanan dan juga terpaksa memakai cermin mata gelap untuk melindungi penglihatan mereka daripada cahaya yang berlebihan kerana telah lama berada di dalam kegelapan.

Sebagai tambahan, perawat kesihatan disana menyatakan bahawa mereka telah terdedah dengan pelbagai jenis jangkitan termasuk jangkitan yang disebabkan kelawar, jangkitan kulat dan juga jangkitan leptospirosis (Kencing tikus) yang boleh disebarkan melalui air. Kini, 2 orang daripada remaja tersebut masih dirawat untuk jangkitan paru-paru.

Doktor memberitahu wartawan Reuters,”Apa yang kami risaukan sekali adalah jangkitan kuman. Terdapat pelbagai jangkitan yang boleh berlaku disebabkan kelawar dan juga air yang kotor. Kesemua apa yang berada dalam gua tersebut adalah terlalu kotor”.

Penyakit yang boleh dijangkiti dalam Gua

Remaja-remaja tersebut menolak wujudnya sebarang haiwan liar dalam gua tersebut dan ia memberikan petanda yang bagus. Akan tetapi kita masih tidak boleh menolak wujudnya risiko untuk dijangkiti penyakit tersebut.

Kelawar boleh membawa beberapa jenis penyakit yang boleh menjangkiti manusia dan menyebabkan kematian. Penyakit-penyakit tersebut adalah seperti Rabies (Anjing Gila) dan juga Nipah Virus.

Kemudian, Spora kulat yang wujud dalam tanah juga boleh menyebabkan penyakit seperti ‘Histoplasmosis’. Jangkitan ini boleh menyebabkan hati bengkak, kalenjar limpa bengkak dan juga kematian jika tidak dirawat. Spora tersebut selalunya berada di dalam tahi kelawar dan juga burung. Ia boleh bertahan berminggu hingga berbulan lamanya. Mereka yang mengganggu tanah tersebut mungkin akan terhidu spora yang boleh menyebabkan penyakit itu berlaku.

Bakteria lain yang boleh menjangkiti remaja-remaja tersebut adalah bakteria leptorspira yang menyebabkan penyakit leptospirosis. Di Malaysia, penyakit ini dikenali sebagai kencing tikus. Ia boleh menyebabkan jangkitan yang teruk hingga menyebabkan kerosakan organ seperti buah pinggang dan hati. Malah ia juga boleh menyebabkan meningitis (Jangkitan selaput otak). Jangkitan ini disebarkan melalui air kencing haiwan. Oleh itu, ia mungkin boleh menjangkiti remaja tersebut ketika melintasi laluan berair di dalam gua.

Doktor telah pun melakukan pemantauan pada keadaan mental dan fizikal pesakit. Pemeriksaan awal menunjukkan pesakit dalam keadaan psikologi yang sihat. Laporan menyatakan bahawa ketika di dalam gua tersebut, jurulatihnya mengajar cara untuk bermeditasi untuk menunggu sehingga bantuan sampai.

Kes kumpulan bola sepak remaja ini telah mendapat tumpuan dunia hingga menyebabkan ramai daripada orang luar negara datang ke Thailand untuk membantu remaja tersebut.

Featured image dari : Inspiremore.com