TAK RAMAI RAKYAT MALAYSIA AMALKAN KITAR SEMULA?

Banyak bekas makanan dan minuman yang kita gunakan setiap hari. Terlalu banyak sebenarnya. Lebih-lebih lagi di musim perayaan apabila ramai di antara kita yang saling berkunjungan. Tentu sekali kita banyak menghidangkan makanan dan minuman yang datang daripada bekas seperti botol plastik, kertas dan tin. Air kordial. Air mineral. Jus. Air berkarbonat. Ikan sardin di dalam tin. Kacang di dalam tin. Macam-macamlah!

Pernah tak kita terfikir untuk kitar semula semua sisa bekas tersebut?

Ada orang kata, orang Malaysia tak ramai yang amalkan kitar semula. Betul ke?

Mari kita bincangkan sedikit perkara ini.

15% sahaja yang dikitar-semula

Untuk memulakan perbincangan, mari kita lihat berapa ramai orang Malaysia yang amalkan kitar semula. Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, hanya 15% daripada sisa buangan di Malaysia yang dikitar-semula [1]. Sumber berita tersebut adalah pada tahun 2016, di mana kerajaan telahpun memperkenalkan pengasingan sisa di rumah.

Apa yang pentingnya dengan kitar semula?

Secara mudahnya, untuk kebaikan kita sendiri.

Bagaimana?

Begini.

Semua maklum bahawa sisa buangan daripada rumah kita dihantar ke tapak perlupusan sisa. Sebagai contoh, di Selangor, terdapat tujuh pusat utama untuk perlupusan sisa buangan. Sebuah kajian telah menjangkakan pada tahun 2020 kelak, sisa buangan di Kuala Lumpur dan Selangor akan melebihi tiga juta tan. Bilangan pusat perlupusan sampah sebanyak tujuh itu hanya dapat menampung separuh daripada jumlah jangkaan sisa buangan tersebut [2].

Hanya ada beberapa cara untuk menampung/memproses sisa buangan ini. Antaranya penambahan tapak pelupusan sisa buangan. Ternyata ini adalah pilihan yang akan berhadapan pelbagai halangan seperti peraturan yang memerlukan tapak tersebut dibina jauh daripada penduduk, dan juga bantahan pelbagai pihak terutamanya penduduk yang terkesan.

Sebuah lagi pilihan adalah kitar semula. Benar, masih ada banyak halangan untuk penduduk mengamalkan perkara ini terutamanya di tempat-tempat yang kekurangan kemudahan. Namun, kita harus sedar akan kepentingan kitar semula dan wajib bermula sedikit-sedikit, mengikut kemampuan kita.

Tak semestinya hantar kepada pusat kitar semula. Banyak lagi yang boleh, seperti menjual kepada organisasi yang memerlukan sisa tersebut, menggunakan sisa tersebut untuk perkara bermanfaat yang lain seperti kraftangan, dan sebagainya. Di Indonesia, ada yang buat perahu dari bahan kitar semula tau! Berita “Perahu dari Botol Sampah” di detik.com di sini.

Sedikit,sedikit usaha, mana yang mampu sebagai permulaan. Orang Melayu kata, sedikit, sedikit, lama-lama jadi bukit, bukan?

Kemudahan

Memang tidak dapat dinafikan, amalan kitar semula juga bergantung kepada kemudahan yang ada. Terdapat kajian yang telah dijalankan dengan fokus kepada isi rumah di Shah Alam [3] yang menunjukkan ada beberapa kumpulan isi rumah yang aktif mengamalkan kitar semula. Antara faktornya, menurut kajian tersebut, adalah kemudahan kitar semula yang ada di bandar tersebut.

Terdapat banyak juga inisiatif yang telah dilakukan kerajaan dan pihak swasta untuk memantapkan lagi kemudahan kitar semula di Malaysia. Terutamanya di Lembah Kelang, terdapat banyak pusat kitar semula, baik yang disediakan oleh kerajaan tempatan, mahupun swasta.

Bagi yang tidak pasti samada di tempat mereka ada kemudahan ini, anda hanya perlu lakukan sahaja carian di internet. Hampir semua pihak berkuasa tempatan di Selangor ada menyenaraikan pusat kitar semula yang dikelola oleh mereka. Terdapat juga banyak pusat kitar semula swasta yang malah menawarkan untuk membeli sisa buangan anda seperti kotak, botol plastik, dan sebagainya!

Harga Bahan Kitar Semula. Sekadar contoh, kadar ini mungkin berbeza dengan kadar semasa. Gambar daripada “http://www.relaksminda.com/2014/05/pusat-barang-kitar-semula-punca-masalah.html”

Pusat Kitar Semula Komuniti Presint 9 Putrajaya. Gambar daripada “http://aksarafendi.blogspot.my/2013/07/pusat-kitar-semula-komuniti-presint-9.html”

Bagi yang belum berhasrat untuk melakukan carian internet tentang kitar semula, boleh tengok-tengok di Lampiran Jabatan Alam Sekitar ini (yang mungkin bukan yang terbaru, namun, mencukupi untuk mendapatkan gambaran kemudahan yang ada di sekitar anda). Link ke lampiran tersebut di dalam format pdf di sini. Peranti anda mungkin memuat turun fail pdf tersebut.

Sikap

Walau bagaimanapun, yang paling penting adalah sikap. Menurut sebuah kajian [4], peratusan rakyat Malaysia yang sedar akan kepentingan kitar semula adalah 99%. Manakala rakyat yang menyatakan hasrat untuk mengamalkan kitar semula adalah 69%. Nampak banyak, bukan? 69%. Namun, ini Cuma peratusan hasrat. Bukan perlaksanaan lagi. Peratusan perlaksanaan tiada dinyatakan di dalam kajian tersebut, tapi, kenyataan menteri (hanya 15% sisa buangan dikitar-semula, [1]), telah jelas menampakkan perlaksanaan kitar semula di kalangan rakyat kita.

Hasrat dan niat sememangnya murni. Tapi, sepatah kata orang putih, “Action speaks louder than words”. Hanya perlaksanaan yang dapat meningkatkan peratusan amalan kitar semula di Malaysia.

Anda bagaimana? Anda mengamalkan kitar semula? Di mana anda kitar semula? Dan apa yang anda rasa boleh diperbaiki di dalam sistem kitar semula yang kita ada?

Yang belum bermula, tiada istilah sudah terlambat. Mulakan dengan mana-mana yang mudah untuk anda.

Segalanya bermula daripada anda!

Pepatah Melayu telah lama ada; Nak seribu daya, tak nak seribu dalih.

Kupasan akan datang akan melihat lebih mendalam tentang “Step-by-Step” bagaimana untuk mengamalkan kitar semula.

 

Rujukan

[1] “Only 15 per cent of Malaysians recycle: Minister” http://www.eco-business.com/news/only-15-per-cent-of-malaysians-recycle-minister/

[2] Sharifah Norkhadijah Syed Ismail1,2 and Latifah Abd. Manaf, 2013. The challenge of future landfill: A case study of Malaysia. Journal of Toxicology and Environmental Health Sciences. 5 (6): 86 – 96.

[3] Carol Boon-Chui Teo, 2016. Recycling Behaviour of Malaysian Urban Households and Upcycling Prospects. Journal of International Business, Economics and Entrepreneurship. 1 (1): 9 – 15.

[4] Kaji Selidik oleh Solid Waste Management & Public Cleaning Corporation’s (PPSPPA) Recycling & Public Awareness Division, 2012.

Gambar hiasan utama daripada Blog Unik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.