EPISOD 1: BAGAIMANA SAYA DIDIAGNOS MENGHIDAP KANSER PAYUDARA – Puan Eliyana

Harap dengan coretan ini pembaca tidak menyalahkan mana-mana pihak. Inilah takdir saya yang saya terima dengan terbuka.

Saya menyusu penuh anak pertama sehingga mengandung anak kedua dan bersambung menyusukan anak kedua sehingga hampir berusia 2 tahun. Ketika hampir tempoh bercerai susu saya dipanggil untuk menyertai Kursus Biro Tatanegara ke luar negara. Seminggu tidak menyusukan anak, susu saya bengkak sedikit. Apabila tamat kursus dan pulang ke rumah anak pun tidak lagi mahu menyusu.

Keliru dan tak pasti bengkak telah hilang, saya meminta beberapa rakan doktor untuk memeriksa payudara. Rata-rata menasihatkan saya membuat pemeriksaan di klinik. Saya tampil ke klinik menceritakan sejarah menyusu anak dan cerai susu. Ketulan berukuran 4 cm yang bergerak itu di periksa menggunakan mesin ultrasound. Mammogram tidak sesuai buat wanita muda.

Berdasarkan keputusan ultrasound walaupun tidak konklusif, kebarangkalian bukan kanser adalah tinggi. Tambahan saya tiada risiko kanser. Walaupun begitu, saya tidak betah duduk diam memikir apa di dalam badan, lalu saya menyerah diri untuk memberikan sampel tisu payudara bagi tujuan ujian histopatologi.

Dalam tempoh menunggu keputusan ujian saya sering dimomokkan dengan pelbagai mitos. Katanya sebaiknya jangan diusik atau dicucuk ketulan itu. Bimbang mengganas. Bisa jarum katanya. Saya tak peduli, walaupun kata-kata itu menakutkan saya.

Memang apabila ditebuk untuk mengambil sampel tisu payudara, ruang kosong itu akan diganti dengan sel baru untuk menyudahkan proses pemulihan. Tetapi bagi ruang kosong yang selnya terdapat campuran sel normal dan sel kanser, sel kanser yang lebih cepat membahagi akan memenuhi ruang kosong itu. Tetapi tempoh sehingga menyebabkan mudarat itu tidak kesampaian kerana biasanya pembedahan akan diatur secepat mungkin setelah kanser disahkan. Bukan berbulan-bulan sehingga sel kanser nampak di permukaan kulit.

Pada saya, prosedur pemeriksaan dan rawatan (kalau perlu) mungkin sakit. Tetapi tidak diperiksa juga tetap sakit. Dan bertambah lagi apabila kita sakit tapi tak tahu mengapa dan setiap hari hidup bersangka-sangka. Boleh jadi sebenarnya ketulan itu bukan kanser.

Saya faham ketakutannya, ada pesakit yang sanggup menahan sakit kerana suami tak izin ke hospital. Sedangkan yang menanggung sakit itu kita, dan badan itu diamanahkan pada kita. Maka kitalah yang perlu menjaga dan merawatnya.

Lebih sedih lagi ada pesakit yang ketulannya masih kecil. Mungkin bukan kanser atau kanser tahap awal yang insyaAllah peratusan kejayaan rawatan lebih tinggi dan peratusan kanser berulang rendah. Namun mereka tidak tampil menerima rawatan kerana mendengar cakap orang yang bukan pun penghidap kanser, ahli keluarga pesakit apatah lagi para doktor atau pakar perubatan. Hati saya remuk setiap kali bertemu pesakit yang asalnya masih di peringkat awal tapi tidak tampil dirawat kerana ditawarkan rawatan alternatif yang jauh lebih mahal dan sejarah peratusan kegagalan tidak pernah dikongsi atau lebih tepat ditutup.

Setelah seminggu menunggu, keputusannya adalah kanser payudara.

APA PERASAAN SAYA?

Pada waktu itu, air mata menitik. Antara terkejut dan syukur. Syukur kerana Allah ingat pada saya. Pada saya apa yang Allah duga atas dunia ini kalau itu boleh menghapuskan dosa, itulah yang lebih saya rela daripada menghadap murkaNya di akhirat nanti.

Diberitakan pada suami keputusan tersebut. Dia tergamam lalu mengucapkan inna lillahi wainna ilaihi rajiun. Saya terus menangis sehingga pulang ke rumah. Malamnya saya mula reda. Mula memikirkan apa yang perlu saya lakukan dan harapkan. Saya tidak tahu doa apa yang harus saya lafazkan melainkan doa Nabi Ayyub kerana saya tidak tahu apa yang terbaik buat saya. Semua saya serahkan kepada Pencipta. Saya tak fikir untuk sembuh tetapi dalam masa yang sama takut terlantar sakit dan membebankan orang sekeliling. Saya berdoa agar Allah dorong hati saya pada apa yang Allah suka.

Tidak sudah di situ, ujian ct skan dilakukan untuk mengetahui tahap kanser saya. MasyaAllah terkejut kami semua apabila keputusannya sel kanser telah merebak ke tulang. Hanya pada Allah saya berserah kerana kepenatan memikir apa yang perlu dilakukan.

Keesokannya apabila menyambung tilawah, saya singgah di ayat

“Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku;

(Asy-Syu’araa’ 26:80)

Tidak bahagiakah hati saya apabila merasa mukjizat al Quran?

Tiba masa membuat pilihan rawatan. Saya tidak terdetik untuk mengelak pembedahan dan kemoterapi kerana mata saya telah melihat ramai pesakit yang sembuh ataupun hidup biasa selepas menjalani kemoterapi. Tidak kurang juga yang meninggal akibat kanser. Juga banyak juga saya dengar testimoni kegagalan rawatan alternatif daripada pesakit yang berkunjung ke hospital selepas kegagalan tersebut. Hati saya bulat menempuh rawatan yang dicadang dan disusun oleh doktor. Mereka bukan sahaja menimbang keadaan saya, malah keputusan suami, kewangan dan sokongan lain lantas membuatkan saya semakin bersungguh menempuh rawatan. Kalau saya tidak dirawat oleh mereka, gaji mereka tetap sama, bukan mendapat komisen atas pesakit yang berkunjung. Namun mereka memikirkan hal saya, sehingga kerap bertanya khabar dan memberi semangat setiap kali bermula rawatan.

Saya masih ingat bagaimana bersungguh pakar bedah menemui saya sebelum pembedahan berlangsung hanya untuk melihat keadaan saya. Tumpah air mata saya apabila beliau menggenggam erat tangan saya seraya menganjurkan saya bersyahadah sebelum pembedahan bermula.

Perjalanan saya menempuh kanser penuh dengan suka bukan duka semata. Pelbagai sokongan yang saya terima.

Di kesempatan lain saya kongsikan tentang pembedahan dan kemoterapi yang saya lalui juga bagaimana keadaan saya sepanjang bergelar pesakit kanser payudara tahap empat yang kansernya merebak ke tulang kemudian statik dan kemudian kanser mula beraksi sehingga saya melalui pembedahan kali kedua membuang ketulan di tempat yang sama sebelum pembedahan tulang belakang dan kemoterapi kali kedua.

#########################################################################

Puan Eliyana merupakan seorang pensyarah di sebuah universiti awam, ibu kepada dua cahaya mata yang amat cerdas dan kini sedang melanjutkan pengajian PhD dalam bidang biologi molekul.

5 Replies to “EPISOD 1: BAGAIMANA SAYA DIDIAGNOS MENGHIDAP KANSER PAYUDARA – Puan Eliyana”

  1. Kanser akibat kurang vitB17
    umpama scurvy sebab kurang vitC.
    B17 banyak terdapat pd biji aprikot.
    Kanser biak sebab glukos.
    1925 saintis dan dr dah tau.
    Big Pharma tutup sebab nak kaut untung.

    1. Innalillahi wa inna ilaihi rajiun.
      Penulis telah meninggal dunia pd 24/12/17 setelah bertarung selama 4tahun. Allah lebih menyayangi beliau. Beliau pergi dlm keadaan yg tenang di sisi keluarga di hospital.. Apa yg saya pelajari dr beliau adalah, sediakanlah org2 yg tersyg bagaimana kita hendak meninggalkan mereka. Mungkin itu hikmah disebalik nikmat sakit ini..

      1. Saya baru teringin nk berjumpa dengannya.. Saya terinspirasi dengan kata-katanya.. “Agar Allah dorong hati saya pada apa yang Allah suka”

    2. Salam Puan Ain,
      Boleh hubungi saya ikhtiar rawatan alternatif inshaAllah.Tidak myakitkan.Semua penyakit ada ubatnya kecuali mati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.