Antara Bauksit dan Thorium, kerakusan manusia dan pengurusan alam sekitar

Mungkin admin agak terlewat untuk mengulas isu ini, kerana isu bauksit sudah pun lama berlalu, dan jalan raya di sekitar Kuantan sudah pun kembali bersih. Walaupun gunung-gunung merah masih boleh dilihat, tetapi kualiti hidup pastinya jauh lebih baik berbanding hampir setahun lalu. Tetapi dalam kita leka, kita digemparkan dengan kes 3 kanak-kanak maut ketika bermain dalam kolam air yang terbentuk akibat perlombongan bauksit ini sekali gus mencerminkan bahawa kita tidak seharusnya membiarkan perlombongan yang tidak terancang ini berterusan. Justeru mari kita ulang kaji impaknya kepada alam sekitar dan manusia dan juga polemik yang timbul dengan isu alam sekitar seperti operasi loji Lynas.

Dari mana datangnya bauksit ini?

Di Kuantan, terdapat sebuah jenis batuan yang jarang didapati di Semenanjung Malaysia, iaitu basalt. Kewujudan basalt hanya ditemui di sini dan Segamat. Basalt ini merupakan lava (seperti di hawaii) yang mengalir ketika usia Pleistocene (sekitar 1.6 juta tahun lalu) dan mengandungi kandungan aluminium yang agak tinggi. Pada asalnya, basalt berwarna hitam (seperti di Pantai Batu Hitam, Kuantan) sebelum tindakan luluhawa akibat cuaca tropika menjadikannya tanah. Ketika unsur lain dihanyutkan air, Aluminium dan besi tidak mudah terangkut dan ditinggalkan di kawasan tanah berkenaan menyebabkan kepekatannya semakin tinggi sehingga mencapai tahap yang sesuai untuk dilombong. Aluminium ini membentuk mineral bauksit manakala besi membentuk besi oksida yang memberikan warna merah pekat kepada tanah berkenaan.

Adakah bauksit beracun kepada manusia?

Bauksit secara amnya tidaklah berbahaya seperti mineral logam berat lain iaitu cinnabar (merkuri), dan galena (plumbum). Malah, kita ketahui bahawa kawasan basalt yang kaya bauksit di Kuantan sudah lama didiami manusia tanpa kesan kesihatan serius malah kita bercucuk tanam di kawasan ini. Tetapi isu perlombongan ini dilakukan di kawasan padat dengan penduduk, di mana debu-debu berterbangan menyebabkan isu kesihatan melibatkan pernafasan. Sebagai perbandingan, perlombongan Bauksit sudah lama dijalankan di Teluk Ramunia, Johor tetapi kita tidak mendengar isu seperti ini berterusan kerana perlombongan tersebut dijalankan di kawasan yang berkepadatan penduduk rendah.

Jika perlombongan bauksit boleh dihentikan, mengapa Lynas masih berjalan?

Masyarakat suka membandingkan isu bauksit ini dengan isu Lynas, adalah tidak adil untuk membandingkan kedua-dua kes ini yang tatacara operasinya amat jauh berbeza. Jika kita melihat kes bauksit yang melibatkan kerakusan menarah bumi dan menyelimuti kawasan sekitar dengan debu merah, penelitian terhadap alam sekitar tidak diambil endah. Lynas, pada masa yang sama pula, memproses bahan nadir bumi (rare earth elements) yang turut mampu mengundang bahaya jika tidak diuruskan dengan baik. Malah, sisa pemprosesan ini mengandungi Thorium – sebuah unsur radioaktif – tetapi dalam kuantiti yang amat kecil. Walau bagaimanapun, operasi Lynas berjalan mematuhi peraturan alam sekitar yang amat ketat bagi menjaga kualiti alam. Walaupun secara amnya Thorium mungkin lebih berbahaya daripada bauksit ini, tetapi cara pengendaliannya dapat membendung impak unsur ini. Malah, persepsi masyarakat terhadap unsur-unsur nadir ini perlu diubah kerana unsur ini amatlah penting dalam pembuatan alat elektronik dan bukannya sebuah ancaman radioaktif seperti bom nuklear. Negara kita juga mempunyai simpanan sumber unsur nadir bumi dalam bentuk pasir monazit yang boleh menjana ekonomi jika dimanfaatkan.

Jadi, adakah perlombongan bauksit tidak boleh berjalan langsung?

Kembali kepada isu bauksit, tidak salah jika kita memanfaatkan hasil bumi yang dikurniakan kepada kita. Tetapi perlu dilaksanakan dengan teliti dengan mengambil kira impak kepada alam sekitar dan masyarakat. Pencemaran bunyi, kesihatan dan sebagainya perlu diambil kira dan Kajian Dampak Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment) perlu dilakukan. Penduduk sekitar juga perlu menerima manfaat hasil daripada perlombongan ini bagi memastikan keharmonian terjamin. Selain daripada pengurusan impak semasa perlombongan, impak selepas perlombongan juga perlu diuruskan. Kes kematian kanak-kanak tersebut berlaku akibat kegagalan menguruskan tanah lombong selepas perlombongan terhenti. Sebagai perbandingan, di Kuala Lumpur yang kebanyakan kawasannya merupakan bekas lombong bijih timah. Apabila pembangunan pesat berlaku, kawasan bekas lombong ini digantikan dengan bangunan pencakar langit dan tasik-tasik lombong dibangunkan sebagai kawasan rekreasi seperti diĀ The Mines dengan langkah keselamatan untuk mengelakkan kecelakaan di tasik lombong yang dalam.

Selain daripada Kuala Lumpur, Sungai Lembing juga sesuai dijadikan model pemulihan selepas projek perlombongan tamat. Jika beberapa tahun dahulu, sisa tahi lombong / amang (tailings) dilonggokkan di tepi sungai yang mengalir sehingga ke Kuantan, kini Sungai Lembing berubah wajah menjadi tumpuan pelancongan. Lombong itu sendiri menjadi tarikan pelancong. Namun, impak longgokan amang ini masih perlu diberi perhatian kerana mengandungi logam-logam berat yang mampu menjejaskan kesihatan penduduk dalam jangka masa panjang.

Kesimpulan

Sektor perlombongan bauksit tidak seharusnya dipandang serong kerana sumber ini juga menjana pendapatan negara. Tetapi, perlombongan tersebut perlu dijalankan dengan mengambil kira pelbagai aspek khususnya impak terhadap alam sekitar dan masyarakat dan bukannya mengikut nafsu rakus manusia sahaja. Kita perlu mengambil iktibar terhadap kecelakaan yang berlaku dan jadikan sebagai pengajaran di masa hadapan.

Cuma peringatan kepada para pembaca – kolam lombong bukan kolam renang! Kolam lombong adalah amat dalam! Sebagai perbandingan, gambar di sebelah bawah kiri menunjukkan betapa besarĀ pit lombong ini sebelum diisi air (kanan). Sila awasi terutamanya kanak-kanak yang gemar mandi dalam kolam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.