Skip to content

MITOS-MITOS DALAM USAHA BERHENTI MEROKOK?

Menurut Pertubuhan Kanser Amerika, di dalam sebatang rokok mempunyai 7000 lebih bahan kimia. 70 lebih daripada bahan kimia tersebut adalah menjadi penyebab kepada kanser.

Tetapi hanya satu sahaja bahan yg menyebabkan ketagihan. Bahan kimia tersebut dinamakan sebagai NIKOTIN

APA ITU NIKOTIN?

Nikotin merupakan salah satu bahan kimia utama di dalam tembakau. Ia merupakan kompaun yang mendatangkan kesan yang cepat ke atas badan disebabkan ia cepat diserap oleh paru-paru. Darah yang mengalir daripada paru-paru akan terus dipam ke dalam jantung kemudian ke otak.

Salah satu fungsi nikotin adalah memberi kita ‘hadiah’ dalam bentuk perasaan gembira, seronok dan juga ghairah. Ini akan membuatkan sesorang itu dapat lebih fokus dalam melakukan sesuatu perkerjaan dan lebih kuat ingatannya.

BAGAIMANA OTAK BERFUNGSI?

Otak kita mempunyai satu sistem yang dikenali sebagai ‘Reward Pathway’. Reward pathway merupakan salah satu litar di dalam otak yang berfungsi untuk memberikan perasaan puas dan gembira pada manusia. Bukan itu sahaja, kelakuan kita juga akan bergantung kepada keadaan ‘Reward Pathway’ tersebut

Sebagai contoh, ada seseorang yang asyik makan coklat dan dia merasa gembira setiap kali makan coklat. Kita akan dapat lihat tindak tanduknya selalu akan mencari coklat. Jika dia tidak dapat coklat tersebut dia akan merasa murung, sedih dan tidak dapat menumpukan perhatian kepada kerjanya. Jika dia dapat coklatnya, dia akan berasa gembira, lebih fokus dan mampu membuat kerja dengan baik

Begitu juga kepada perokok.

Cuba tanya kepada perokok tegar, apakah yang mereka rasa setelah merokok? Sudah tentu mereka akan rasa gembira.

Tanya lagi sekali. Apakah perasaan mereka jika tidak dibenarkan merokok untuk seharian? Sudah tentu mereka akan kemurungan, sedih, tidak dapat fokus dan tidak dapat buat kerja. Tanya lagi. Apakah perasaan mereka apabila dapat merokok selepas seharian tidak dibenarkan merokok? Sudah tentu hembusan mereka akan merasa sangatlah gembira selepas beberapa hembusan yang pertama.

Kerana otak mereka sudah dipenuhi dengan nikotin yang akan menyebabkan reward pathway memberi perasaan gembira kepada si perokok.

Inilah namanya ketagihan

BAGAIMANA KETAGIHAN NIKOTIN BERLAKU?

Apabila seseorang menghisap rokok, nikotin yang disedut akan diserap masuk ke dalam paru-paru dan dipam oleh jantung terus ke otak. Di otak pula, nikotin akan bertindak pada ‘nicotinic receptor’ dan akan menyebabkan rembesan bahan yang dinamakan dopamine dalam ‘reward pathway’. Dopamine di dalam ‘reward pathway’ ini akan memberikan perasaan seronok dan gembira pada perokok.

Malangnya semakin banyak nikotin yang disedut, semakin banyak ‘nicotinic receptor’ yang terhasil pada laluan tersebut. Ini menyebabkan semakin banyak dose nikotin yang diperlukan untuk memenuhi tapak-tapak receptor tersebut supaya perasaan puas yang sama dapat dihasilkan.

Hasilnya, seseorang itu akan sentiasa menambah bilangan rokok yang dihisapnya.

Waktu mula-mula merokok mungkin 2-3 batang sehari. Makin lama makin meningkat  bilangan roko yang dihisap hingga mencecah satu kotak sehari.

KETAGIHAN NIKOTIN AKAN MEMBAWA KEPADA KETAGIHAN DADAH LAIN

Akan sampai suatu tahap dimana nikotin tidak mampu memberi perasaan puas yang dikehendaki oleh seseorang penghisap rokok.

Tanyalah kepada penagih dadah. Majoritinya sudah tentu akan cakap dia bermula dengan merokok.

Kerana disinilah punca penagihan dadah berlaku. Ketika mana nikotin dalam rokok tidak mampu memberi rasa puas seperti yang otak kita ingini, maka otak kita sendiri akan menyuruh untuk mencari sesuatu yang dapat memberi kepuasan yang lebih kepada badan kita.

Penghisap rokok itu akan mula mencuba jenis dadah untuk mencapai tahap kepuasan yang diingini. Akhirnya, perokok bertukar arah mencuba bahan-bahan terlarang bagi memenuhi kehendak ‘reward pathway’nya.

Sebab itu ROKOK merupakan permulaan kepada penagihan dadah. Oleh itu, sepatutnya seseorang itu perlu mengelakkan diri daripada mula merokok. Sesiapa yang sudah lama merokok itu, cubalah untuk berhenti merokok.

KERAGUAN DAN MITOS KETIKA HENDAK BERHENTI MEROKOK

Terdapat banyak keraguan dan mitos-mitos yang berlaku jika kita hendak berhenti merokok. Tetapi ketahuilah bahawa keburukan merokok adalah lebih besar daripada berhenti merokok kerana rokok boleh menyebabkan kanser paru-paru, tekanan darah tinggi, strok dan juga mati pucuk

1) Berat badan bertambah apabila berhenti merokok

Memang tidak dinafikan bahawa ramai daripada perokok yang berhenti merokok akan bertambah berat badan

Ia bukanlah kesalahan berhenti merokok itu sendiri. Ini merupakan salah satu tindak balas badan untuk memenuhi ‘Reward Pathway’ tersebut kerana sebelum ini ia telah dibanjiri dengan dopamine..

Maka perasaan puas dan gembira bila merokok perlu ditukarkan kepada cara yang lain. Dan selalunya bekas perokok akan menjadikan ‘tabiat makan banyak’ sebagai tabiat baru untuk menggantikan rokok dan perbuatan ini tidak diiringi dengan peningkatan aktiviti fizikal. Ini menyebabkan berat badan mereka bertambah

Ramai daripada bekas perokok menyalahkan perbuatan berhenti merokok sebagai penyebab naiknya berat badan mereka. Malah, ada yang mula merokok balik supaya berat badannya berkurangan.

Diingatkan lagi sekali. Ia bukan salah berhenti merokok. Ia adalah tindak balas badan untuk memenuhi kehendak ‘reward pathway’ tersebut yang sudah lama dibanjiri dengan dopamine.

Oleh itu, cara permakanan yang betul mestilah diamalkan.

Sedikit nasihat berkenaan permakanan.

Kurangkan gula ringkas terutamanya minuman berkarbonat, minuman 3 dalam satu, minuman yang mempunyai susu pekat manis. Sederhanakan pengambilan nasi, bihun, mee, tosai, rotai canai dan yang berasaskan tepung. Ini kerana semua ini akan diuraikan menjadi gula. Banyakkan mengambil sayur-sayuran dan makanan yang mempunyai gula kompleks seperti oat.

Perlu diingatkan bahawa gula yang berlebihan di dalam badan akan ditukarkan kepada lemak. Mengurangkan pengambilan gula juga sebenarnya dapat mengurangkan penghasilan lemak.

Banyakkan makanan yang mempunyai serat yang tinggi seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Ini akan membantu anda kenyang tanpa mengambil nasi ataupun jenis makanan lain yang berkarbohidrat.

Selain daripada itu, aktiviti fizikal juga diperlukan untuk membakar lemak hasil daripada apa yang kita makan.

2) Sakit Jantung setelah berhenti merokok

Saya pernah jumpa pesakit yang tidak mahu berhenti merokok disebabkan ada daripada kawannya terkena serangan sakit jantung sejurus selepas berhenti merokok.

Perlu diketahui bahawa merokok itu sendiri adalah salah satu faktor penyebab sakit jantung

Bukan setakat itu, statistik menunjukkan kadar pesakit jantung semakin meningkat bagi pesakit yang baru berumur 30 an. Maksudnya disini semakin ramai orang muda yang terkena sakit jantung.

Seperti yang kita tahu selalunya mereka yang mempunyai sakit jantung ini berumur 50 lebih dan mempunyai penyakit lain seperti kencing manis dan darah tinggi. Jadi kenapa trend sakit jantung ini semakin meningkat di kalangan orang muda

Jawapannya adalah sebab mereka MEROKOK.

Satu kajian telah dibuat menjurus kepada orang muda yang merokok. Kajian itu mendapati orang muda yang merokok lebih daripada 20 batang sehari akan mempunyai risiko 8 kali ganda untuk mendapat serangan sakit jantung berbanding mereka yang tidak merokok.

Oleh itu, berhenti merokok bukanlah penyebab kepada serangan sakit jantung. Tetapi puncanya adalah rokok itu sendiri

3) Nak berhenti merokok terus ataupun kurangkan pergambilan sedikit demi sedikit

Ramai mengatakan terus berhenti merokok adalah cara yang tidak berkesan jika benar-benar hendak berhenti merokok kerana mereka akan mula merokok balik lepas beberapa hari. Mereka juga mengatakan bahawa mengurangkan bilangan rokok yang dihisap hari demi hari adalah lebih berkesan.

Tetapi kajian telah menemui sebaliknya. Mereka yang terus berhenti merokok mempunyai peratusan yang tinggi untuk berterusan tidak merokok jika dibandingkan dengan mereka yang cuba mengurangkan pengambilan rokok sedikit demi sedikit dengan tujuan untuk berhenti merokok.

Satu kajian telah dibuat di England daripada tahun 2009 ke 2011 melibatkan 697 orang perserta. Ia dibahagikan kepada 2 kumpulan. Kumpulan pertama adalah yang terus berhenti merokok dan kumpulan kedua adalah yang cuba berhenti merokok dengan mengurangkan pengambilan rokok sedikit demi sedikit. Di dalam kajian itu mendapati, terus berhenti merokok mempunyai peratusan yang lebih tinggi untuk berjaya berhenti merokok sepenuhnya

4) Saya batuk-batuk lepas berhenti merokok

Selain daripada berat badan yang meningkat, orang yang cuba berhenti merokok juga akan mengadu batuk-batuk ketika dalam proses berhenti merokok.

Perlu diketahui bahawa asap rokok akan merosakkan saluran pernafasan dan membuatkan ia sentiasa kering. Ketika mana sesorang itu berhenti merokok, saluran pernafasannya akan cuba diperbaiki oleh badan dan kadang-kadang mengalami proses KERADANGAN(INLAMMATION).

Ini menyebabkan kahak terhasil daripada saluran pernafasan. Kahak ini akan menyebabkan tekak terasa gatal dan pesakit tersebut akan batuk untuk mengeluarkan kahak tersebut

Selain daripada itu penghasilan kahak ini juga berfungsi untuk mengeluarkan bahan kimia rokok daripada paru-paru. . Oleh itu jangan risau, badan anda sedang membersihkan paru-paru dengan efisien.

5) Bagaimana hendak berhenti merokok?

Ada 2 pilihan. Sama ada anda cuba berhenti sendiri dan keduanya anda cuba dapatkan bantuan daripada doktor perubatan.

Kementerian Kesihatan Sendiri telah mengadakan program ‘Klinik Berhenti Merokok’ untuk seluruh warganegara Malaysia.

Di Klinik ini kami akan memberi kaunseling berkenaan beberapa perkara sebagai contoh apa yang saya telah terangkan di atas. Selain daripada itu, kami juga akan sentiasa membuat pemeriksaan pada pelanggan terutamanya daripada segi berat badan, tekanan darah dan juga keadaan mental seseorang pelanggan.

Selain daripada itu, kami juga menyediakan intervensi perubatan yang akan membantu mereka yang ingin berhenti merokok.

Oleh itu, jangan malu dan jangan segan. Marilah datang ke Klinik Berhenti merokok kami

Sumber:

1) Cigarette Smoking, Nicotine, and Body Weight. J Audrain-McGovern and NL Benowitz. Clin Pharmacol Ther. 2011 Jul; 90(1): 164–168.Published online 2011 Jun 1. doi: 10.1038/clpt.2011.105

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3195407/

2) Nicotine Addiction. Neal L. Benowitz, M.D.N Engl J Med. Author manuscript; available in PMC 2010 Aug 25. Published in final edited form as:N Engl J Med. 2010 Jun 17; 362(24): 2295–2303.doi: 10.1056/NEJMra0809890

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2928221/

3) Lindson-Hawley N, Banting M, West R, Michie S, Shinkins B, Aveyard P. Gradual Versus Abrupt Smoking Cessation: A Randomized, Controlled Noninferiority Trial. Ann Intern Med. 2016;164:585-592. doi: 10.7326/M14-2805

http://annals.org/aim/article/2501853/gradual-versus-abrupt-smoking-cessation-randomized-controlled-noninferiority-trial

4) American Cancer Society web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seven + twenty =