DEMAM TARIK atau FEBRILE SEIZURE. Sawan yang selalu di alami oleh kanak-kanak

“Sayang!!!, tolong. Anak kita tengah kejang”, kata seorang suami kepada isterinya.

Sawan pada kanak-kanak sering berlaku ketika mana mereka demam. Orang melayu kata ‘demam tarik’ ataupun istilah perubatannya dipanggil sebagai FEBRILE SEIZURE. Febrile bermaksud demam dan Seizure bermaksud sawan.

Orang kita panggil sebagai demam tarik kerana sawan itu berlaku ketika kanak-kanak itu sedang demam dan pergerakkannya seolah menarik sesuatu benda.

Kanak-kanak lelaki mempunyai risiko yang lebih berbanding kanak-kanak perempuan.

Penyebab ‘demam tarik’

Seperti yang mana kita tahu, kebanyakkan demam pada kanak-kanak adalah disebabkan jangkitan virus. Tetapi belum dapat dipastikan lagi virus-virus ini menjadi penyebab utama kepada sawan tersebut. Buat masa sekarang para pengkaji tidak dapat memastikan lagi bagaimana sawan ini bermula dan bagaimana suhu yang tinggi menyebabkan sawan.

Ada juga yang memberi hipotesis bahawa otak kanak-kanak masih belum matang menyebabkan penghantaran maklumat di dalam otak menjadi bercelaru ketika suhu meningkat

Peringkat umur yang selalu kena ‘demam tarik’

Peringkat umur kanak-kanak yang selalu kena demam tarik adalah daripada umur 3 bulan sampai 6 tahun.

Jika seorang kanak-kanak itu kena demam tarik tetapi umurnya kurang daripada 3 bulan ataupun lebih daripada 6 tahun, maka penyebab lain yang lebih serius seperti jangkitan kuman pada selaput otak iaitu ‘meningitis’ perlu diambil kira.

Jenis-jenis ‘demam tarik’

Demam tarik ataupun Febrile seizure boleh dibahagikan kepada dua. Iaitu
1) Simple Febrile Seizure( Demam tarik yang tidak kompleks)

  • Ia berlaku kurang daripada 15 minit
  • Sawan hanya berlaku sekali sahaja ketika demam tersebut
  • Sawan yang berlaku adalah ‘Generalized tonic-clonic seizure’ iaitu sawan yang melibatkan tangan dan kaki. Kanak- kanak ini selalunya tidak boleh memberi respon ketika sawan sedang berlaku

2) Complex Febrile Seizure(Demam tarik yang kompleks)

  • Sawan berlaku lebih daripada 15 minit
  • Sawan berlaku lebih daripada sekali ketika demam tersebut
  • Selepas sawan, ia boleh meninggalkan kesan seperti ‘Todd’s paralysis’ iaitu kanak-kanak akan mengalami kelumpuhan ataupun lemah buat beberapa jam.
  • Sawan yang berlaku mungkin jenis ‘Focal seizure’ iaitu sawan yang melibat satu-satu bahagian otak sahaja. Sebagai contoh kanak-kanak tidak dapat mengawal kedipan mata, tangan sebelah kanan sahaja yang tiba-tiba tertarik-tarik dan beberapa ciri lain. Pada ketika ini, kanak-kanak masih boleh memberi respon kepada ibubapa

Perlukah pesakit seperti ini dimasukkan dalam hospital?

Tidak semua kanak-kanak yang mengalami demam tarik perlu masuk ke dalam hospital. Selalunya mereka dimasukkan atas sebab-sebab tertentu seperti:

  1. Kemasukan dalam wad untuk menyiasat sama ada demam itu demam tarik yang biasa ataupun disebabkan jangkitan kuman pada selaput otak
  2. Ibubapa yang risau sawan yang mungkin akan berlaku lagi
  3. Pesakit yang tinggal jauh daripada hospital

Tidak semua pesakit perlu dimasukkan ke dalam wad hospital

Ia juga bergantung kepada pihak hospital itu sendiri. Jika di hospital pedalaman, pesakit yang kena demam tarik akan terus dimasukkan ke dalam hospital kerana tempat tinggal yang jauh.

Hospital di kawasan bandar pula, ada yang memasukkan pesakit ini ke dalam wad jika baru pertama kali mengalami ‘demam tarik’. Ia bertujuan untuk mengurangkan kerisauan ibubapa.

Tetapi ada kes dimana katil di hospital penuh, maka doktor yang bertugas terpaksa berbincang dengan ibubapa berkenaan penyakit tersebut secara keseluruhan dan bagaimana untuk menguruskan jika sawan itu berlaku balik. Jika ibubapa yakin untuk menjaga anak mereka dirumah, maka mereka akan dibenarkan balik dengan syarat rumah mereka dekat dengan hospital.

Rawatan

Selalunya perawat kesihatan hanya akan memberi ubat demam untuk mengurangkan demam pada kanak-kanak sahaja. Ini disebabkan demam tarik selalunya disebabkan jangkitan virus dan jangkitan virus tidak memerlukan antibiotik.
Jika anak mempunyai mempunyai simptom jangkitan bakteria seperti sakit tekak, tekak yang sangat merah, tonsil bengkak, tonsil yang bernanah dan beberapa tanda lagi, barulah antibiotik akan diberi kepada pesakit.

Ibubapa perlu tahu bahawa pemberian ubat demam tidak akan mengelakkan anak anda daripada terkena ‘demam tarik’. Ini kerana ada kajian menunjukkan bahawa walaupun demam kanak-kanak dikawal dengan baik, kadar kanak-kanak tersebut untuk terkena sawan adalah sama dengan kumpulan yang tidak diberikan ubat demam.



Pemberian ubat paracetamol tidaklah mengurangkan kadar ‘demam tarik’. Tetapi ia boleh memberi keselesaan kepada kanak-kanak yang demam

Tetapi ubat demam masih perlu diberikan sebab ia boleh menurunkan suhu dan memberi keselesan kepada kanak-kanak tersebut

Lumbar puncture ataupun pengambilan air tulang belakang.

Pengambilan air tulang belakang adalah penting untuk mengetahui penyebab kanak-kanak mengalami demam tarik. Daripada pengambilan air tulang belakang, kita boleh mengetahui sama ada ia disebabkan jangkitan bakteria ataupun virus dan ini akan membantu doktor bagi memberi rawatan yang tepat kepada pesakit

Gambar menunjukkan prosedur pengambilan air tulang belakang

Akan tetapi, pengambilan air tulang belakang hanya akan diambil apabila kanak-kanak mempunyai tanda seperti berikut:

  1. Simptom-simptom jangkitan kuman pada selaput otak ataupun jangkitan otak seperti tidak aktif, muntah-muntah, leher yang keras dan beberapa simptom yang lain.
  2. Pesakit tidak aktif seperti biasa 6 jam selepas daripada terkena sawan
  3. Antibiotik yang diberikan tidak berkesan

Pesakit sangat disyorkan untuk diambil air tulang belakang jika:

  1. Umur kurang daripada 12 bulan
  2. Di hospital yang tidak mempunyai pakar kanak-kanak
  3. Demam tarik jenis ‘complex febrile seizure’

Faktor risiko untuk ‘demam tarik’ yang berulangan

Pesakit juga mempunyai risiko untuk mengalami demam tarik yang berulangan jika:
1) Sejarah keluarga yang mengalami demam tarik
2) Umur kurang daripada 18 bulan ketika mana mengalami demam tarik pertama kali
3) Demam kurang daripada 40 darjah celcius ketika mana mengalami sawan
4) Sawan berlaku ketika mana demam baru sahaja bermula iaitu kurang daripada satu jam

Pesakit juga berkemungkinan untuk mengalami sawan yang kerap iaitu ‘Epilepsy’ jika:
1) Perkembangan kanak-kanak yang terencat
2) Mengalami demam tarik jenis ‘Complex Febrile Seizure’
3) Mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai penyakit ‘Epilepsy’

Akhir sekali, Kajian menunjukkan majoriti kanak-kanak yang mengalami Febrile seizure mempunyai perkembangan mental dan motor yang baik. Oleh itu, ibubapa boleh menarik nafas lega kerana sawan jenis ini tidak menjadikan anak anda terencat perkembangan.

Jika bermanfaat, jangan lupa like page kami Root of Science.

Jangan lupa juga follow FB dan twitter penulis artikel ini:

Perkara penting bila berhadapan dgn anak yang sedang sawan:1) Jangan panik2) Kira waktu berapa lama dia sawan3)…

Posted by Latif Saad on Ahad, 14 Mei 2017

Sumber rujukan
1. Strengell T, Uhari M, Tarkka R, Uusimaa J, Alen R, Lautala P, Rantala H. Antipyretic agents for preventing recurrences of febrile seizures: randomized controlled trial. Arch Pediatr Adolesc Med. 2009 Sep;163(9):799-804. doi: 10.1001/archpediatrics.2009.137.
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/19736332

2. Paediatric protocol 3rd edition

3. Medscape: Paediatric febrile seizure.

1 thought on “DEMAM TARIK atau FEBRILE SEIZURE. Sawan yang selalu di alami oleh kanak-kanak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.