SIRI ASAS KAPAL TERBANG 2: KENAPA TAK SESAK NAFAS BILA TERBANG TINGGI-TINGGI?

Pernah dengar mengenai ‘ghost plane’?

Pernah dengar kisah pada tahun 2005, yang mana Penerbangan 522 oleh syarikat penerbangan Helios Airways, terhempas dan mengorbankan kesemua 121 penumpang dan anak kapal?
Kesemua penumpang dan anak kapal disiasat telah mengalami keadaan ‘hypoxia’ yang mana tahap oksigen ke otak berada pada paras yang rendah hingga menyebabkan sesak nafas.

Ianya disebabkan ketinggian kabin (cabin altitude) berada pada paras yang terlalu tinggi, menyebabkan tekanan oksigen menjadi rendah. Sekaligus sukar untuk digunakan untuk pernafasan.
Secara amnya,pesawat komersil masa kini akan mempunyai sistem tekanan udaranya sendiri.
Sistem ini akan memastikan tekanan oksigen berada pada tahap yang sesuai untuk digunakan oleh manusia.

Bahagian yang berwarna merah jambu adalah pressure bulkheads, forward and aft bulkhead. Di tengah2nya (antara dua bulkheads) adalah ruang yang mana tekanan udaranya dikawal.

CABIN PRESSURIZATION SYSTEMS

Untuk memastikan tekanan oksigen yang sesuai, pesawat direkabentuk dengan beberapa ciri yang tertentu. Ianya dilengkapkan dengan Sistem Tekanan Udara Kabin (cabin pressurization system).

Selalunya sistem ini akan menggunakan komputer untuk mengawal masuk-keluarnya udara ke dalam kabin. Inilah yang akan menentukan tekanan udara pada kabin pesawat.

Contohnya, untuk pesawat jenis Boeing 737-800, komputer yang digunakan adalah Cabin Pressure Controller (CPC). Untuk pesawat Boeing 777-200 pula, ianya menggunakan Air Supply & Cabin Pressure Controller (ASCPC).

Panel kawalan tekanan. Kalau perasan anda boleh lihat suis auto dan manual di situ. Juga terdapat meter cabin rate of climb dan cabin altitude.

CIRI-CIRI KABIN PESAWAT, KONSEP PENGAWALAN TEKANAN, DAN INJAP ALIRKELUAR (OUTFLOW VALVE).

Pertamanya, untuk memastikan tekanan udara dapat dikawal di dalam kabin, maka kabin pesawat direka dengan ciri yang mana ianya bertindak sebagai sebuah kebuk tekanan atau pressure vessel.

Kabin ini mampu menampung tekanan dan menjadikannya selamat untuk tekanan udara dikawal.
Jika anda melihat badan sesebuah pesawat komersil yang membawa penumpang, ketahuilah di dalamnya terdapat ruang yang besar yang bertindak seolah sebuah ‘pressure vessel’. Di ruangan inilah anak kapal dan penumpang pesawat diletakkan.

Konsepnya mudah, udara akan dibekalkan ke dalam pesawat daripada sistem pendingin hawanya di bahagian bawah fiuslaj (fuselage).

Kabin (yang tersimpan di dalam ‘pressure vessel’) akan menerima udara ini, Semakin banyak udara yang diterimanya, semakin tinggi tekanan udara kabin.

Satu komponen, injap alirkeluar (sangat tipikal di kebanyakan pesawat moden) atau ‘outflow valve’ akan membuka dan menutupnya sesuai arahan komputer.

Begini, bayangkan anda meniup sebuah belon, dan anda membiarkan ada udara di dalamnya. Kemudian anda memegang pada pembukaan tempat meniup belon tersebut, sambil mengawalnya. Kini belon tersebut berada pada keadaan ‘pressurized’, kerana ada udara yang sedang dimampatkan di dalamnya. Dan tindakan anda merapat atau membiarkan bukaan meniup itulah tindakan sebuah ‘outflow valve’ pada pesawat.

Contoh outflow valve. Selalunya di bahagian belakang pesawat, berdekatan ekor.

HAD TEKANAN PADA PESAWAT(PRESSURIZATION LIMIT)

Beberapa ciri yang akan dikawal komputer ialah:

1) Kadar pendakian pesawat (rate of climb) – kerana jika terlalu cepat pendakiannya (baca:terlalu cepat tekanan udara ditinggi atau direndahkan) boleh menyebab kecederaan atau mudarat kepada penumpang (Inilah kadang-kadang yang menyebabkan sakit pada telinga anda kerana perbezaan tekanan telinga dan tekanan udara kabin).

2) Ketinggian tekanan kabin (cabin altitude) – tekanan udara di dalam kabin perlulah a)cukup tinggi (altitude rendah) untuk oksigen dalam udara boleh digunakan untuk bernafas, dan b) tidak terlalu tinggi sehingga menyebabkan perbezaan yang membahayakan antara tekanan dalam dan luar kabin.

APA YANG TERJADI PADA PESAWAT HELIOS PENERBANGAN 522?

Pada penerbangan 522, apa yang terjadi ialah sesuatu yang amat memilukan. Di mana, jurutera bertugas telah terlupa meletakkan pesawat pada keadaan kawalan tekanan kabin secara automatik. Ini bermakna, pesawat tersebut terbang dengan sistem tekanan udara manual! Dan anak kapal juga tidak dapat menyedari kesilapan itu sambil mereka meneruskan penerbangan. Menyebabkan pesawat terbang dengan tinggi tanpa tekanan oksigen yang cukup. Kesemua penumpang dan kru telah disahkan pengsan sewaktu di dalam pesawat lagi (sebelum terhempas).

Beberapa pesawat ketenteraan telah dikerahkan untuk memintas penerbangan 522. Mereka mendapati seorang daripada anak kapal (seorang pramugara) cuba untuk mengawal pesawat. Namun kerana kekurangan latihan, beliau tidak mampu menyelamatkan pesawat.

https://www.facebook.com/1614901712083942/videos/vb.1614901712083942/1927292847511492/?type=3&theater

KESIMPULAN

Biarpun dipandang remeh, namun tidak syak lagi sistem tekanan udara kabin ini sangatlah penting.
Ianya membantu anda menerima oksigen untuk digunakan untuk bernafas.
Di saat anda menghirup udara dengan baik sewaktu mengembara, hargailah usaha mereka yang membuat anda selesa, dan selamat.

Penulis: Shazlee

Jika anda rasa maklumat ini bermanfaat, sila like page kami Root of Science.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.