Sektor Minyak dan Gas di Malaysia

Umum mengetahui bahawa Malaysia merupakan negara yang mempunyai kekayaan hasil petroleum. Namun, perkembangan industri minyak dan gas di negara ini kurang diambil peduli kecuali apabila harga minyak petrol di stesen pam naik atau pun ketika kerajaan terpaksa mengambil langkah-langkah mengurangkan perbelanjaan ketika hasil dari industri ini merudum akibat kejatuhan harga minyak. Justeru, artikel ini ditulis untuk memberi penerangan secara umum mengenai industri minyak dan gas di negara kita.

Geologi

Secara umumnya, hasil minyak dan gas di Malaysia digali di kawasan luar pesisir pantai walaupun telaga minyak terawal digali di atas darat di Miri, Sarawak pada tahun 1910. Antara kawasan lembangan hidrokarbon utama di Malaysia ialah Lembangan Melayu / Malay Basin (luar pesisir pantai Terengganu), Lembangan Penyu (luar pesisir pantai Pahang), Lembangan Sarawak dan Lembangan Sabah. Lembangan Melayu dan Lembangan Sarawak merupakan lembangan yang paling banyak menyumbang kepada pengeluaran di Malaysia.

picture1

Lembangan Melayu terbentuk pada usia Tertier (<40 juta tahun dahulu) pada persekitaran sungai dan tasik yang kemudiannya beransur menjadi laut. Lembangan ini menghasilkan minyak dan juga gas. Minyak yang dihasilkan di lapangan ini, juga dirujuk sebagai Tapis Blend (daripada lapangan Tapis) merupakan minyak petroleum yang bergred tinggi kerana kandungan sulfur yang sangat rendah (~0.04%) dengan API graviti yang tinggi (41-43°). Hal ini menjadikan Tapis Blend ini lebih mahal daripada jenis lain yang didagangkan seperti Brent.

picture2
Di Sarawak, Lembangan Sarawak pula dibahagi kepada beberapa wilayah hidrokarbon dengan wilayah utama seperti West Baram Delta, Balingian dan Central Luconia. Wilayah Central Luconia terkenal dengan penghasilan gas daripada kawasan pelantar karbonat. Wilayah Baram Delta dibahagi antara Malaysia dan Brunei dengan Malaysia menguasai sebelah barat wilayah.

Penerokaan dan Pengeluaran di Malaysia

Seperti yang telah diterangkan, penerokaan terawal dibuat di Miri pada tahun 1910 dengan pusat pemprosesan petroleum pertama di Lutong. Walau bagaimanapun penerokaan berkenaan terhad kepada kawasan daratan atas kekangan teknologi dan logistik. Walau bagaimanapun perkembangan teknologi didorong oleh peningkatan  Lapangan minyak luar pesisir pertama di Malaysia adalah pada tahun 1968 di Sarawak (West Lutong) dengan telaga pertama di luar pesisir pantai Terengganu pada tahun 1978 (Pulai). Rajah di bawah menunjukkan pengeluaran minyak dan gas di Malaysia.

oil

gas

Syarikat terawal yang meneroka minyak dan gas di Malaysia ialah Royal Dutch Shell dengan penerokaan di Miri. Sejak itu, pelbagai syarikat dari luar seperti Esso, Mobil dan Conoco Phillips. Petronas mula ditubuhkan pada tahun 1974 untuk membuat cari gali di luar pesisir pantai Malaysia sebelum berkembang ke negara-negara lain. Pusat pemprosesan minyak dan gas di Malaysia adalah di Port Dickson, Melaka, Kertih (Terengganu), Bintulu, Miri dan terbaru di Pengerang, Johor.

Turun naik harga minyak di Malaysia

Walaupun negara kita mengeluarkan minyak, namun kita masih bergantung kepada harga dagangan pasaran antarabangsa yang sangat terdedah turun naiknya kerana Malaysia juga mengimport minyak. Sebagai contoh, pada tahun 2008, harga minyak naik melambung akibat permintaan tinggi dengan konflik di negara arab (pengeluar utama) menimbulkan kerisauan bekalan minyak sehingga $140 se-tong. Hal ini adalah di luar kawalan kerajaan mahupun Petronas sekali gus menyebabkan harga runcit petrol juga naik kerana kerajaan sudah tidak mampu menanggung subsidi.

Walaupun pada tahun lalu harga minyak jatuh mendadak sehingga menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan, harga minyak kembali meningkat sejak beberapa minggu lalu. Hal ini bersesuaian dengan trend harga minyak mentah dunia yang turut naik. Antara faktor kenaikan harga minyak ini adalah kerana negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi bersetuju menghadkan pengeluaran minyak serta kemunculan konflik di kawasan pengeluaran minyak. Ketegangan di Iraq berikut referendum pihak Kurdistan dan juga rantau arab yang secara amnya masih belum stabil turut menyumbang kepada peningkatan ini.

Jadi, ramai tertanya di kala harga minyak dunia masih belum stabil, mengapa harga minyak di Malaysia naik 15 sen bagi bulan November? Sebenarnya harga minyak yang digunakan di Malaysia adalah berdasarkan MOPS (Mean of Platts Singapore) dan bukannya NYMEX (New York). Harga MOPS adalah lebih mahal berbanding NYMEX kerana harga yang didagangkan ialah untuk refined oil. Sebagai perbandingan, harga WTI NYMEX pada 15/11/2017 ialah  55.04 dollar manakala MOPS untuk ron97 unleaded pada 15/11/2017 ialah 66.789 dollar.  Walau bagaimanapun, dagangan harga minyak berkenaan adalah dalam USD, justeru walaupun harga minyak masih bergelut untuk pulih, kejatuhan ringgit sejak belakangan ini turut memberi impak kepada harga pasaran di Malaysia.

Pengiraan harga minyak di malaysia:

MOPS + Kos Operasi + Alpha + Keuntungan Syarikat + Keuntungan Stesen Minyak = Harga Sebenar Petrol
MOPS + 9.58 sen + 5 sen + 5 sen + 12.19 sen = harga pasaran sebenar petrol di Malaysia

Kos operasi, Alpha, keuntungan syarikat dan stesen minyak adalah ditetapkan kerajaan pada nilai tersebut.

MOPS = 66.789 USD/barrel = 0.5601 USD/litre = 2.335 ringgit/litre (Nota: 1barrel = 119.24 liter, 1USD = 4.17MYR)

2.335 + 0.0958 + 0.05 + 0.05 + 0.1219 = RM 2.653 – harga ini adalah bersesuaian dengan harga RM 2.66 yang baru diberitahu sebentar tadi (mengambil kira kebarangkalian naik turun harga minyak dan tukaran wang dalam minggu ini)

Kesimpulan

Tidak dapat dinafikan bahawa ekonomi Malaysia sangat bergantung kepada industri minyak dan gas. Daripada para pekerja di sektor berkenaan, pendapatan kerajaan menerusi royalti dan cukai sehingga harga roti canai di kedai mamak yang turut naik gara-gara harga minyak. Oleh itu, diharap artikel ini mampu membantu pembaca memahami situasi sektor minyak dan gas di Malaysia. Jika ada sebarang soalan, boleh diajukan kepada barisan admin kami.

 

 

4 thoughts on “Sektor Minyak dan Gas di Malaysia

  1. Satu artikel yang mudah difahami dan bermanfaat. Jika boleh di perincikan lagi tentang penghasilan minyak negara berbanding permintaan domestik, adakah negara kita ‘net exporter’ atau ‘net importer’. Seandainya penghasilan minyak negara disalurkan kepasaran domestik, mengapakah faktor ini tidak diambil kira didalam formula pengiraan harga minyak.
    Terima kasih

  2. Assalamualaikum admin, maaf saya bertanya kepada admin. Jika harga minyak dikira berdasarkan meps, dan faktor yang mempengaruhi harga minyak termasuklah krisis arab saudi-yemen. Benarkah pemahaman saya, jika saya katakan faktor depreciation value of ringgit juga mempengaruhi harga minyak semasa dalam negara malaysia?
    Atau faktor ringgit bukan faktor pemangkin kenaikan harga minyak, adakah co-relation antara harga ringgit yang mengukuh dgn harga minyak yang meningkat? Jika ya, mengapa begitu?

    1. Soalan yang bagus. Memandangkan urusan jual beli minyak di pasaran antarabangsa adalah dalam USD, sebarang depreciation terhadap nilai ringgit akan mengurangkan kuasa membeli kita, menjadikan harga runcit minyak dalam MYR lebih mahal. Masalah utama negara kita adalah kebergantungan kepada komoditi minyak dan gas ini sebagai hasil utama negara, justeru apabila harga minyak jatuh teruk beberapa tahun belakangan, negara kehilangan sumber pendapatan utama. Hal ini secara tidak langsung juga menyebabkan nilai ringgit jatuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.