Mengapa Banjir Semakin Kerap Berlaku?

Banjir bukanlah sesuatu perkara yang asing bagi kita. Tinggal di kawasan beriklim tropika, Malaysia menerima taburan hujan tahunan yang tinggi, iaitu antara 1200mm (di kawasan kering) sehingga melebihi 4000mm di kawasan seperti Bukit Larut, Perak. Monsun Timur Laut yang berlaku antara November hingga Mac setiap tahun pula membawa taburan hujan bulanan sehingga 600mm sekali gus membawa ancaman banjir di kawasan rendah. Di kawasan bandar pula, banjir kilat sering berlaku selepas hujan lebat menyebabkan kerosakan harta benda dan juga mengakibatkan kesulitan seperti kesesakan lalu lintas.

Walau bagaimanapun, terdapat sebuah trend membimbangkan yang agak jelas berkaitan dengan fenomena banjir ini. Frekuensinya semakin kerap dan impaknya semakin buruk dengan kemuncaknya pada 2014 di pantai timur sehingga memaksa lebih 250 000 orang berpindah. Banjir kilat juga semakin kerap berlaku di kawasan bandar dengan contoh terbaru di Pulau Pinang pada bulan lalu seperti gambar di bawah.

penangfloodpt2_photo_2016-10-29_20-42-44-transformed

Jadi, mengapa banjir semakin kerap berlaku?

1. Pembangunan tidak terancang

Penempatan baharu dibuka tanpa penilaian yang menyeluruh terhadap alam sekitar baik di bandar mahupun di kawasan terpencil. Pembangunan yang tidak terancang menyebabkan pokok ditebang bagi membuka kawasan baru manakala kawasan laluan air dikambus untuk memberi laluan kepada bangunan-bangunan baru. Justeru, apabila hujan lebat berlaku, tanpa saliran yang mampu menampung aliran air ini maka berlaku lah banjir kilat. Air naik mendadak tanpa diduga dan akhirnya kereta rosak di tengah jalan.

Cameron Highlands merupakan contoh yang baik di mana pembangunan pesat tidak terkawal membawa kepada siri banjir lumpur yang berulang. Hutan asal ditebang dan lereng bukit dibersihkan menyebabkan hakisan pada permukaan tanah. Hakisan ini menyebabkan sungai dan empangan di Cameron Highlands menjadi cetek. Apabila hujan lebat, empangan terpaksa melepaskan air yang memberi impak kepada penduduk di kawasan hilir dari empangan. Contohnya, pada 2014 di kawasan Lembah Bertam, Cameron Highlands (gambar)

gambar-sekitar-banjir-lumpur-terburuk-di-cameron-highlands-13

2. Sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik

Isu ini lebih banyak berlaku di kawasan bandar walaupun tidak dinafikan banjir kilat akibat masalah sistem perparitan juga boleh berlaku di luar bandar. Sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik termasuklah mendapan sedimen seperti pasir dan juga sampah sarap yang secara tidak lansung mencetekkan parit. Malah, dalam sesetengah kes, aliran air tidak dapat berlaku akibat saliran tersumbat. Contoh kes yang sering kali dikaitkan dengan masalah perparitan ialah seperti banjir kilat di bandar Kajang

29banjirkajang-transformed_4

3. Pembalakan

Terdapat beberapa cara kemusnahan tumbuhan dan hutan mampu menyebabkan banjir. Kawasan yang dilitupi tumbuhan seperti hutan hujan mampu bertindak sebagai ‘span’ atau buffer yang mampu menampung air hujan. Akar pokok menguatkan tanah dan menghalang hakisan akibat aliran air. Jika pembalakan terus berlaku, permukaan tanah akan terdedah kepada hakisan. Hal ini menyebabkan sedimen daripada hakisan tersebut mendap ke dalam sungai sekali gus menjadikan sungai cetek dan tidak mampu menampung aliran ketika hujan lebat.

Admin cuba untuk tidak melibatkan isu politik di sini tetapi perlu diakui bahawa situasi ini sedang berlaku di negeri Kelantan. Agak memeranjatkan kerana pihak yang bertanggungjawab seolah-olah tidak belajar daripada bah kuning yang berlaku beberapa tahun lalu. Kejadian pada 2014 itu bukan sahaja disebabkan oleh jumlah hujan yang tinggi dalam masa yang singkat tetapi boleh dikesan kepada pembalakan yang giat berlaku. Rajah di bawah menunjukkan imej satelit daripada Google Timelapse yang diperoleh daripada data Landsat yang bezanya hanya 10 tahun tetapi menampakkan perubahan drastik di lembangan Sungai Lebir dan Sungai Galas akibat pembalakan.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan pembalakan juga berlaku di negeri-negeri lain seperti di Pahang, Sarawak dan Sabah. Cuma apa yang menjadi kebimbangan admin di sini ialah kemungkinan berulangnya tragedi bah kuning tersebut.

4. Perubahan Iklim

Walaupun terdapat pihak yang menidakkan perkara ini, kita perlu terima bahawa perubahan iklim sedang berlaku akibat pemanasan global. Justeru, kita perlu menjangkakan cuaca yang lebih tidak menentu untuk tahun-tahun yang akan datang. Impak yang lebih jelas ialah peningkatan aras laut akibat pencairan glasier di kutub yang menyebabkan penempatan di pesisir pantai yang rendah terdedah kepada banjir setiap kali air pasang. Impak yang lebih kompleks pula berkait rapat dengan fenomena El Nino dan La Nina yang menyebabkan cuaca kemarau dan juga monsun yang lebih ekstrem.

Kesimpulan

Terdapat berbagai lagi punca yang boleh dipersalahkan menyebabkan banjir. Walau bagaimanapun, perlu diberi perhatian bahawa kebanyakan faktor yang digariskan adalah berpunca daripada tangan manusia itu sendiri. Justeru, kita perlu lah memainkan peranan kita untuk menghalang potensi berlakunya bencana di masa akan datang. Jika kita tidak mempunyai kuasa di skala besar, usaha kecil seperti membersihkan sistem perparitan di sekeliling kita juga sedikit sebanyak boleh membantu mengurangkan risiko banjir. Selain itu, fenomena monsun timur laut yang dijangka berlaku setiap hujung tahun menyebabkan kita perlu sentiasa bersiap siaga menghadapi segala kemungkinan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.