Skip to content

Geohazard – Bahaya di sekeliling kita

  • by
41478499204_tanahruntuhgeorgetow

Kes tanah runtuh dan jatuhan batuan bukanlah sesuatu yang asing. Namun, sejak kebelakangan ini, frekuensi kes-kes ini semakin meningkat khususnya ketika musim tengkujuh dan sebagai contoh, tanah runtuh yang berlaku di Teluk Bahang, Pulau Pinang baru-baru ini [1] seperti gambar di bawah. Pembangunan di kawasan tanah tinggi yang semakin pesat mendedahkan kita kepada bahaya bencana alam ini yang berkait rapat dengan faktor geologi dan membawa kepada apa yang dikenali sebagai geobahaya atau geohazard.

Apa itu Geohazard?

Secara literalnya, geohazard merupakan bahaya yang terhasil oleh aktiviti bumi [2]. Walau bagaimanapun terdapat sedikit kekeliruan dalam penterjemahannya kepada Bahasa Melayu kerana para penyelidik menggunakan dua terma berbeza iaitu geobahaya dan geobencana [3] tetapi apa yang penting di sini adalah mereka sependapat bahawa ancaman dan bencana akibat proses bumi merupakan satu aspek yang perlu diberi perhatian di Malaysia. Antara contoh bahaya yang terhasil adalah seperti gempa bumi, tsunami, gunung berapi, tanah runtuh dan sebagainya. Namun, kedudukan Malaysia di kawasan yang stabil daripada sebarang aktiviti tektonik secara amnya mengurangkan kemungkinan ancaman gempa bumi dan gunung berapi walaupun terdapat beberapa kes terpencil seperti gempa di Sabah pada tahun 2015. Justeru, ancaman geohazard di Malaysia ini lebih tertumpu kepada kes-kes tanah runtuh dan juga jatuhan batuan. Banjir juga merupakan sebahagian daripada geohazard yang berlaku.

n_01hillside

Gambar di atas menunjukkan perumahan di Cheras yang dibuat hampir dengan cerun batuan. Hazard yang wujud di sini ialah jatuhan batuan yang berpotensi menghempap kereta yang diletakkan di kaki cerun. Cerun berkenaan sudah pun dipasang jaring untuk menahan sebarang objek yang jatuh sebagai langkah pencegahan.

Apakah contoh kes yang berkait rapat dengan geohazard di Malaysia?

Kes yang terkenal di Malaysia ialah runtuhnya apartment Highland Towers pada Disember 1993 yang menyebabkan kematian 48 orang. Jadi, apakah kaitannya dengan geohazard? Sebenarnya, penyebab runtuhnya apartment berkenaan bukannya disebabkan oleh kegagalan struktur bangunan sahaja, tetapi pergerakan tanah (tanah runtuh) di dasar bangunan berkenaan melemahkan struktur asasnya dan membawa kepada kegagalan. Pergerakan tanah ini berlaku kerana terdapat aliran air bawah tanah yang melemahkan jasad bumi di kawasan berkenaan [4].

highlandtower_incident-1993

Kes lain yang popular ialah runtuhan batuan di lebuhraya NKVE di Bukit Lanjan pada tahun 2003. Walaupun runtuhan berkenaan berlaku pada skala besar di kawasan yang berisiko (lebuhraya), tiada kematian direkodkan. Runtuhan batuan tersebut disebabkan oleh retakan pada jasad batuan tersebut.

Di manakah kawasan yang berisiko tinggi menerima kesan geohazard?

Seperti yang disebut terlebih dahulu, geohazard di Malaysia lebih tertumpu kepada ancaman tanah runtuh walaupun ancaman lain tidak seharusnya dipandang sepi. Justeru, kawasan yang berisiko tinggi ini kebiasannya terdiri daripada bentuk muka bumi yang mencabar dalam aspek kejuruteraan iaitu di kawasan perbukitan dengan cerun-cerun curam yang berpotensi besar untuk gagal. Sebagai contoh, Cameron Highlands (Pahang), Kundasang (Sabah) dan juga Bukit Antarabangsa ( yang ini admin pelik kenapa orang berebut nak bina rumah di sini – mahal pulak tu – sedangkan sudah banyak kali kes runtuhan yang melibatkan kehilangan nyawa).

bukit-antarabangsa-landslide-7-728

Banjir sebagai geohazard pula memberi ancaman kepada penduduk di kawasan altitud rendah. Banjir kebiasaannya disebabkan oleh alam (hujan) tetapi akibatnya boleh menjadi lebih teruk dengan pengaruh aktiviti manusia. Pembangunan yang tidak dilakukan dengan perancangan teliti membawa kepada banjir kilat seperti di Kuala Lumpur dan juga Pulau Pinang. Pembalakan yang tidak terkawal di kawasan tadahan air membawa kepada hakisan tanah dan sekaligus menyebabkan banjir besar di Kelantan pada hujung 2014 [5].

Bagaimanakah kita menangani ancaman geohazard?

Pembangunan di kawasan-kawasan berisiko kebiasaannya memerlukan kajian risiko terlebih dahulu untuk mengenal pasti ancaman yang wujud. Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah mengeluarkan beberapa panduan untuk membuat pemetaan ancaman geohazard ini. Construction Suitability Map (CSM) juga diperlukan untuk menentukan kesesuaian sesebuah kawasan itu dibangunkan dengan mengambil kira faktor persekitaran. Sekiranya ancaman seperti jatuhan batuan dan runtuhan wujud, langkah-langkah pencegahan dan penstabilan perlu diambil untuk mengelakkan kecelakaan di masa hadapan.

Kesimpulan

Ketika tuan-tuan dan puan-puan ingin membeli hartanah, selidik dahulu kawasan di sekitarnya. Kebanyakan kes yang melibatkan geohazard ini melibatkan kawasan yang telah diketahui risikonya tetapi kebiasaannya tidak disebut oleh pemaju untuk menjamin kepercayaan pembeli. Jangan apabila kecelakaan sudah terjadi barulah kita menyesal tak sudah. Diharap artikel ini mampu memberi input berguna kepada para pembaca sekalian untuk lebih peka berkenaan bahaya yang wujud di sekeliling anda

[1] Teluk bahang landslide roads be closed week-121839 – Astro Awani

[2] http://www.macmillandictionary.com/dictionary/british/geohazard

[3] Hamzah, H., Sarah, A., Tajul A.J., & Khairul, A. 2015. Tanah runtuh di Malaysia: “geobencana” atau “geobahaya”. Jurnal Teknologi. 77 (1): 229-235

[4] http://www.gnpgeo.com.my/download/publication/kl_05.pdf

[5] Pembalakan Haram Punca Banjir di Kelantan – Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

8 − 7 =