Bumi Mendatar vs Bumi Sfera – Bahagian 3

Sejarah dua teori berbeza

Bumi Mendatar vs Bumi Sfera – Bahagian 3

Kerana masih ada yang keliru, maka admin tulis kembali tentang perdebatan ini. Jika posting lalu lebih menyentuh tentang hujah untuk melawan teori bumi datar ini secara direct, posting ini lebih menyentuh aspek sejarah bagi memberi sedikit pencerahan tentang perdebatan ini. Bagi yang ingin merujuk kepada bahagian-bahagian terdahulu, boleh melayari link di bawah:

Bahagian 1 – https://www.facebook.com/Rootofscience1/posts/1239817639415785

Bahagian 2 – https://www.facebook.com/Rootofscience1/posts/1241945365869679

Sebenarnya apabila golongan yang mendakwa bumi ini mendatar kembali mendapat momentum dengan wujudnya media sosial bagi menyebarkan dakyah mereka. Jadi sudah menjadi seolah olah ‘battleground’ untuk berhujah dengan golongan ini. Namun, satu perkara penting dalam berhujah dengan mereka adalah kecenderungan mereka untuk menganggap bukti seperti gambar satelit adalah ‘hoax’ dan konspirasi yahudi semata-mata. Jangan terkejut jika menjumpai mereka yang menyatakan bahawa misi angkasawan negara ke ISS itu pun penipuan! Berilah sebanyak mana pun bukti, jika mind set mereka ingin menolak dan tidak membuka minda, maka kita sedang membazirkan air liur sahaja.

Permulaan teori kesferaan bumi

Teori ini mula disebut dalam tamadun Yunani oleh beberapa ahli falsafah seperti Eratosthenes dan Ptolemy. Antara hujah yang dikemukakan adalah walaupun laut yang terbentang luas itu kelihatan rata, kapal yang mendekati pelabuhan dilihat muncul dari bawah horizon menandakan bahawa permukaan bumi ini sedikit melengkung. Selain itu, antara hujah lain ialah kedudukan matahari pada waktu sama di bandar lain (eg: Syene dan Alexandria) adalah berbeza, dan hal ini dijelaskan dengan kedudukan bandar yang berbeza pada satu permukaan sfera. Hasil kerja dari tamadun Yunani ini menjadi asas kepada perkembangan ilmuwan Islam.

Adakah tamadun Islam menolak kesferaan bumi selama ini?

Sebenarnya, antara punca kegemilangan ilmuwan Islam dalam bidang astronomi dan geografi ketika zaman Abbasiyah adalah kerana dunia Islam ketika itu sudah pun memegang falsafah bumi itu sfera. Hal ini berbeza dengan suasana di Eropah di zaman gelap yang masih terkongkong dengan gereja hingga membawa kepada hukuman untuk Galileo. Sebaliknya, al-Biruni pula sudah mengira radius bumi dengan menggunakan peralatan terhad ketika itu. Malah, pengiraan beliau hanya berbeza 16.8 km sahaja berbanding purata yang dikira menggunakan peralatan canggih hari ini!

Al-Khawarizmi pula sudah menerbitkan beberapa penulisan yang berkait rapat dengan falsafah kesferaan bumi di bawah pemerintahan khalifah al-Ma’mun. Antaranya ialah Kitāb Ṣūrat al-Arḍ yang menerangkan geografi menggunakan koordinat latitud dan longitud yang dikira berdasarkan kesferaan bumi. Falsafah ini juga digunakan dalam menyelesaikan isu arah qiblat. Selain itu, banyak lagi ilmuwan Islam ketika zaman kegemilangan seperti al-Marwazi, al-Battani dan sebagainya yang menulis tentang kesferaan bumi ini. Adakah dengan ‘kajian’ anda selama sejam di Google menidakkan penemuan tokoh-tokoh Islam ini?

Di dalam al-quran ada menyebut dalam surah an-Naziat 79:30;

وَالْأَرْضَ بَعْدَ ذَٰلِكَ دَحَاهَا

“dan bumi sesudah itu dihamparkan-Nya”

dan dalam ayat ini, perkataan “dahaahaa” itu diterima ramai ulama juga sebagai bentuk telur burung unta. Dalam konteks ini, bumi bukanlah sfera sempurna, sebaliknya membujur sedikit di garis khatulistiwa.

Penerimaan teori bumi sfera

Seperti yang dimaklumkan pada perenggan yang sebelumnya, tamadun Islam ketika zaman kegemilangannya sudah pun menerima teori kesferaan bumi dengan pembuktian oleh cendekiawan Islam. Berbeza di Eropah yang ketika itu berada dalam zaman gelap, tamadun Islam menikmati kemajuan teknologi yang pesat. Di Eropah ketika itu, pertembungan berlaku apabila pihak gereja berkeras bahawa bumi itu mendatar atas alasan agama. Harus diingat bahawa ketika itu, teori bumi datar moden yang disebarkan pada hari ini masih belum muncul – teori ini hanya muncul pada hujung abad ke-19. Antara mangsa hukuman oleh pihak gereja ialah Galilieo Galilei

Pembuktian bumi itu sfera

Pembuktian bumi ini sfera melalui jalan laut dilakukan oleh kerajaan Sepanyol dan Portugal ketika era Renaissance baru bermula. Tidak dapat dinafikan, tanpa penemuan tamadun Islam, usaha tamadun Eropah ini tidak mungkin berjaya. Pelayaran Cristopher Columbus yang menemukan benua Amerika sebenarnya dibuat atas niat untuk mengelilingi dunia. Justeru apabila menemui benua Amerika, beliau menyangka itu adalah India. Lalu lahirkan terma ‘red Indian’ untuk orang asli di Amerika. Akhirnya Ferdinand Magellan berjaya mengelilingi dunia. Tanpa disangka, orang Melayu iaitu Awang Sulung (Enrique of Malacca) juga menjadi kru di atas pelayaran tersebut. Sia-sia lah usaha kemajuan tamadun terdahulu termasuklah pelayar dari Melaka ini jika susah payah mereka dinafikan oleh manusia yang duduk di atas sofa sambil menghadap telefon.

Walau bagaimanapun, berkat kemajuan teknologi pada hari ini seperti satelit dan teknologi penderiaan jauh, bumi berbentuk sfera ini bukan lagi teori sahaja, sebaliknya menjadi fakta. Angkasawan di angkasa lepas pun sudah melihat bentuk bumi dengan mata kasar mereka sendiri. Oleh sebab itu, bagi menegakkan benang basah mereka, pengikut teori bumi datar ini sanggup mengatakan ekspedisi ke angkasa lepas ini semua tipu helah Barat. Kesian Sheikh Muszaphar Shukor penat-penat jalani latihan.

Kesimpulan

Penjelasan teori bumi sfera ini bukanlah sesuatu yang baru. Malah dalam Islam sendiri sudah bergelumang dalam mencari jawapan ini lebih seribu tahun dahulu. Mereka yang menulis tentang teori ini bukanlah calang-calang orangnya seperti al-Khawarizmi dan al-Biruni. International Flat Earth Society pula hanya muncul pada 1956 membawa dakyah teori bumi datar moden. Dalam hujah mereka, bulan dan matahari hanya 52km! – jarak KL ke Seremban (memang tak masuk akal). Walaupun hujah mereka kelihatan mengarut, tetapi harus diingat bahawa golongan fanatik ini selalunya menutup minda mereka serapatnya. Justeru, adalah tugas kita untuk mendidik generasi muda hari ini tentang fakta sains ini walaupun kelihatan remeh sebelum mereka turut terpengaruh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.