Ekoran dari artikel kami sebelum ini, ada yang bertanya tentang adakah solat berjemaah boleh mengurangkan cas dalam badan?

Gambar dari Utusan

Ianya amat menakjubkan jika benar. Sudut hikmah yang ada di sebalik amalan seorang Muslim seperti solat sudahpun dikupas dalam sebuah kajian yang diterbitkan hasil kajian oleh penyelidik-penyelidik di Universiti Malaya. [1]. Kajian tersebut secara ringkasnya menyimpulkan bahawa solat menghasilkan ketenangan yang boleh diukur secara pasti melalui bacaan isyarat elektrik dari otak menggunakan mesin EEG (electro-encephalograph). Akan tetapi, bagaimana pula dengan “keseimbangan” cas pada badan seorang yang melaksanakan solat secara berjemaah?

 

Kelebihan Solat berjemaah dan meluruskan saf: Bagi seorang Muslim, satu perkara yang pasti!

Sebelum kita terus ke jawapan dan huraian, solat secara jemaah adalah satu anjuran dalam Islam yang tidak boleh diringan-ringankan. Tanpa perlu merujuk kajian saintifik, begitu banyak dalil naqli berkenaan kelebihan solat berjemaah. Sebagai contoh, cuba amati anjuran seorang ulama’ tersohor di Nusantara (meninggal sekitar tahun 1847) yang menyatakan seperti berikut:

“….dan demikian lagi setengah daripada orang memeliharakan sembahyang dan mendirikan baginya ia mengekalkan dan menyungguhkan atas mengerjakan dia dengan berjemaah kerana bahawasanya orang yang sembahyang berjemaah itu lebih atas sembahyang seorang dirinya dengan dua puluh tujuh darjat seperti barangyang datang pada hadith…”

 

Saya macam rasa penulis akan kata “tapi…..”. Kan?

 

Ya. Tapi malangnya kebanyakan penulisan berkenaan kaitan kajian saintifik yang menghubungkan pelupusan cas dan solat jemaah tiada rujukan yang jelas berkenaan sumbernya, dan butiran penyelidikannya belum penulis jumpai. Kebanyakannya akan me-naqal-kan “Kajian seorang professor dari Amerika Syarikat menyatakan…..”. Pengisytiharan rujukan seperti ini adalah suatu perkara yang amat ganjil bagi masyarakat moden kita yang mementingkan kepastian sumber yang diambil. Kerana kita tidak mungkin akan mengambil keputusan bagi sebarang ahkam dalam kehidupan jika ianya ditulis seperti ini: “Seorang ulama’ dari Pattani mengatakan hukumnya haram”.

Setidak-tidaknya, kita akan tulis elok-elok seperti ini: “Syeikh Ahmad Zarruq menyatakan didalam Syarah Hikam-nya, dalam membincangkan permasalahan ini…“. Dengan ini, ianya memudahkan proses tahqiq (pengesahan) bagi pernyataannya.

Hanya sebuah artikel dari sebuah portal ternama yang menyebut nama Prof John Herbert berkenaan “kajian” ini. Malangnya lagi, penulis gagal menjumpai sebarang kajian yang mengaitkan solat jemaah dan penyeimbangan cas dalam badan. Bahkan, tiada langsung kajian setakat ini bagi permasalahan ini jika tiada namanya sekalipun. Dari carian biodata Prof John Herbert (jika dia-lah yang dimaksudkan oleh artikel-artikel sebelum ini) dari Ohio State University, tampaknya beliau tiada sebarang jurnal atau penulisan yang menyatakan sedemikian.

Jadi, dari mana sumber yang menulis tentang solat jemaah tu?

Ianya dipetik dari kitab Munyatul Musolli, karangan Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fatani. Anda boleh membaca salinan cetakan umum di sini untuk kepastian, atau merujuk kitabnya yang masih terjual di banyak kedai. Kesarjanaan beliau tidak dapat disangkal lagi, menerusi pelbagai kajian oleh pelbagai penyelidik, contohnya dalam penerbitan moden, namanya masih yang disebut dalam tulisan berjudul “Individual imaginings: The religio-nationalist pilgrimages of Haji Sulong Abdulkadir al-Fatani” oleh James Ockey yang diterbitkan di Cambridge University Press [2].

Nah, sekurang-kurangnya itulah cara kita mengesahkan maklumat, bukan?

 

Tapi… bukan kalau kita rapatkan bahu kan jadi “segar” dan “mood baik” ke?

Mungkin juga. Tetapi, kenapa “kesegaran” atau “mood” anda bergantung pada cas yang ada di badan pula? Setakat ini, penulis juga belum menemukan sebarang sumber berkenaan kaitan “kesegaran” atau “mood” dengan kandungan cas di badan. Eloklah kita bertawaqquf (menunggu/berdiam diri dahulu) di sini sehingga ada penerbitan dan kajian yang mendalam yang boleh mengesahkan pernyataan ini.

Berkenaan meluruskan saf dan merapatkan bahu, terdapat perbahasan yang terperinci di kalangan fuqaha’ mengenai hadith-hadith yang berkaitan dengannya. Eloklah kita bertanya pada Syeikh masing-masing yang ahli. Penulis ingin mengelakkan sebarang perdebatan berkenaan hukum fiqh berkaitan dengannya di sini, kerana di sini bukanlah lapangannya.

Soalnya, perlu kah cas badan di-imbangkan?

Kaedah nyahcas badan manusia telah kami jelaskan disini. Secara ringkasnya, perbuatan atau “pe’el”  menyahcas diri sendiri berlaku apabila dua jasad yang membawa cas bersentuhan, yang mana jasad yang mengandungi lebih banyak cas positif akan mengalir ke jasad yang lebih banyak cas negatif. Perkara ini berlaku dari segi pergerakan elektron yang bebas dari permukaan jasad tersebut, yang kadangkala menghasilkan renjatan yang kurang selesa. Dan di stesen petrol, sebaiknya anda menyahcas diri anda dengan menyentuh kereta anda sebelum mengisi petrol, kerana renjatan tersebut berkemungkinan menghasilkan percikan yang boleh menyebabkan kebakaran di kawasan yang mempunyai banyak gas petrol.

Image result for burn in petrol station malaysia

Kebakaran di stesen petrol. Gambar dari The Sun Daily.

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, rasionalisasi disebalik hikmah atau kelebihan solat jemaah sebaiknya ditumpu dari aspek syarie, dan sebarang kelebihan yang berbentuk jasmani (seperti kesan pada kesihatan dan sebagainya) adalah hadiah dari Allah SWT. Ini adalah kerana sama ada anda dapat merasai kelebihan tersebut atau tidak, solat secara berjemaah tetap menjadi keutamaan bagi seorang Muslim.

Keseimbangan cas melalui solat berjemaah mungkin masih boleh dikaji, dan jika ianya benar, maka sayugialah ianya diterbitkan dan dipuji.

Apa pun, jom ke masjid!

 

Penulis: Vizier87

Jika anda rasa maklumat ini bermanfaat, sila like page FB kami iaitu Root of Science.

 

Rujukan:

[1] Doufesh, H., Faisal, T., Lim, K. S., & Ibrahim, F. (2012). EEG spectral analysis on Muslim prayers. Applied psychophysiology and biofeedback37(1), 11-18.

[2] Ockey, J. (2011). Individual imaginings: The religio-nationalist pilgrimages of Haji Sulong Abdulkadir al-Fatani. Journal of Southeast Asian Studies42(1), 89-119.

Shares