4223Shares

 

Mungkin sebahagian dari kita pernah kena renjatan elektrik semasa membeli-belah di pasaraya seperti gambaran di atas.

“Kenapa?”

Adakah anda seperti awan yang mendung, yang berarak, bawa tangis, bawa resah? Dan cukup masa, tiba-tiba awan tersebut terus menghamburkan kilatan yang membelah bumi?

Image result for lightning strike gif

Jawapan mudahnya: Nyahcas elektrostatik.

“Nyahcas?”

Nyah kau! Nyah di sini bermaksud pelupusan. Maka nyahcas adalah “pelupusan cas”.

Untuk membantu kita memahami isu ini, kita perlu memahami konsep nyahcas elektrostatik. Jasad yang bercas positif dikatakan ada pada jirim yang kekurangan elektron (yang bercas negatif). Jasad yang bercas negatif pula dikatakan terdiri dari jirim yang kelebihan elektron. Di sini, penentu kuantiti cas bagi suatu jirim adalah elektron semata, kerana dengan pergerakan elektron-lah terhasilnya arus, samada arus nyahcas, atau arus elektrik yang biasa. Elektrostatik disini bermaksud cas yang ada pada objek dan berada dalam keadaan “diam”.

“Bagaima-” Sabar. Sabar.

Nyahcas berlaku apabila dua objek yang mempunyai cas purata yang berbeza berada pada jarak yang dekat, atau bersentuh [1]. Ini berlaku kerana bagi dua objek yang berbeza cas, iaitu cas positif dan negatif, cas-cas tersebut akan cuba “mengimbangi” antara satu sama lain. Dalam memahami arus elektrik, arus akan mengalir apabila terdapat perbezaan keupayaan, atau terminal anod dan katod, seperti pada sebiji bateri yang mempunyai cas yang berbeza.

Walaupun berbeza dengan arus elektrik, dalam perihal nyahcas elektrostatik, perkara yang hampir sama berlaku. Pergerakan elektron secara mengejut antara dua jasad menghasilkan apa yang kita katakan sebagai “renjatan” atau nyahcas elektrostatik. Berbeza dengan aliran arus elektrik yang tidak mengalami proses perubahan cas purata, bagi proses nyahcas elektrostatik, cas purata pada kedua-dua jasad yang berinteraksi tersebut berubah.

Bahkan voltan yang boleh terhasil dari nyahcas badan kita boleh mencapai sehingga 15,000V! [3] Akan tetapi, kebiasaannya arus yang terhasil adalah kecil, maka ianya tidak merbahaya pada kebiasaannya untuk kes pemegang troli di atas.

“Kenapa ada cas pada badan?”

Ini adalah disebabkan pergeseran kita dengan objek di keliling kita yang menyebabkan perpindahan cas pada badan. Badan manusia adalah seolah-olah sebiji kapasitor yang besar, yang berupaya menyimpan cas. Tanpa disedari, badan kita telah menjadi “tangki” cas tersebut. Cas tersebut akan lebih mudah terkumpul dengan pemakaian fabrik yang sintetik seperti polyester atau karpet yang diperbuat daripadanya juga. Malahan terdapat kajian yang khusus mengukur tahap cas pada karpet kita! [2]

Image result for carpet static free

Karpet menjadi sumber pengumpulan cas elektrik. Gambar dari ESD systems.

“Bahaya ke?”

Bergantung. Bagi kes hidup seharian, renjatan yang dirasai dari objek seharian jarang menyebabkan kecederaan.

Anda juga mungkin pernah melihat stesen minyak yang mempunyai amaran seperti ini:

Image result for esd warning petrol station

Gambar dari ESD Journal

Untuk keselamatan anda, eloklah “nyahcas” diri sendiri dengan menyentuh kereta anda atau objek lain. Perkara ini telah pun disahkan dalam sebuah penyelidikan berkaitan dengan mitos penyebab kebakaran di stesen petrol, yang pada mulanya tanggapan orang disebabkan telefon bimbit. Rupanya nyahcas elektrostatik! [4]

Sebagai tambahan, berhati-hati ketika memegang komponen elektronik kecil pada bahagian dalamnya, dikhuatiri komponen akan mengalami kerosakan disebabkan oleh “renjatan” anda! Baca artikel berkenaan bila arus merbahaya dari kami untuk keterangan lanjut.

Image result for esd effects on electronics

Kesan nyahcas elektrostatik. Gambar dari Source Research, inc.

Bagaimana untuk membuatkan diri saya “kurang bercas”? Perlu ke?

Anda boleh mandi. Hehe. Gurau sahaja.

Antara yang selalu disarankan adalah menyentuh objek logam yang bersambung pada bumi apabila berada di kawasan yang menganjurkannya, seperti di stesen petrol. Ini adalah saranan yang paling berkesan .

Bagi pekerja kilang elektronik pula, mereka memandang isu nyahcas elektrostatik dengan lebih serius. Badan mereka sentiasa “dibumikan”.

Image result for esd grounding factory worker

Pekerja kilang “membumikan” badan sentiasa untuk nyahcas

Untuk kita dalam kehidupan seharian tidaklah perlu jika tidak berada dalam keadaan demikian.

Kesimpulan

Pengajaran di sini yang kita perlu ambil adalah, renjatan nyahcas elektrostatik bukanlah fenomena yang aneh. Akan tetapi berjaga-jaga dengan kesannya, terutamanya apabila berada di stesen petrol atau bahan mudah bakar. Komponen elektronik juga boleh mengalami kerosakan jika anda memegangnya tanpa segan silu dan tidak memakai sarung tangan.

Ingat, keselamatan adalah keutamaan.

 

Penulis: Vizier87

Jika anda rasa maklumat ini bermanfaat, sila like page FB kami iaitu Root of Science.

 

Rujukan:

[1] Okoniewska, E., Stuchly, M. A., & Okoniewski, M. (2004). Interactions of electrostatic discharge with the human body. IEEE Transactions on microwave theory and techniques52(8), 2030-2039.

[2] Chakravarti, K., & Pontrelli, G. J. (1976). The measurement of carpet static. Textile Research Journal46(2), 129-134.

[3] http://www.electrostatics.net/articles/static_shocks.htm

[4] Burgess, A. (2007). Real and phantom risks at the petrol station: The curious case of mobile phones, fires and body static. Health, risk & society9(1), 53-66.