Penggunaan media sosial pada masa kini telahpun meningkat secara dramatik. Transisi dari hubungan sosial secara konvensional ke dalam bentuk digital bukan lagi fenomena yang baru. Urusan komunikasi sesama insan dari dunia fizikal ke alam siber boleh jadi positif mahupun NEGATIF (erm…..). Jadi, sesiapa sahaja di seluruh dunia yang mempunyai akses ke Internet turut berpotensi untuk berkomunikasi dan menarik penonton pada skala global. Namun, melalui komunikasi siber ini juga, terhasillah pembuli siber. Fokus utama artikel pada kali ini membincangkan dua perkara iaitu (1) bagaimana teknologi maklumat mampu menghasil pembuli siber dan (2) apakah faktor-faktor yang menjadikan seseorang terlibat dalam kancah sosial yang baru ini.

Sumber imej: The Conversation

Pada tahun 2007, media massa pernah mensensasikan isu seorang pelajar perempuan bernama Megan, berusia 13 tahun yang telah dibuli dalam media sosial oleh seorang budak lelaki bernama Josh. Mereka berkenalan secara maya dan persahabatan mereka berakhir dengan Josh menggelar Megan sebagai pelacur dan budak liar. Mesej terakhir Josh pada Megan adalah “kau seorang yang hina, semua orang membenci kau dan dunia ini pasti aman jika kau tiada”. Keesokan harinya, Megan mengambil nyawanya sendiri. (Well, kita pun ada potensi untuk melakukan perkara yang sama apabila diserang secara membuta tuli oleh “seseorang” di atas talian) Namun, diharapkan iman kita mampu menyelamatkan kita dari mensia-siakan kehidupan anugerah Ilahi ini.

Plot cerita Megan yang sebenar adalah sangat mengejutkan. Josh bukannya seorang remaja lelaki tetapi seorang wanita dewasa yang bernama Lori. Dia telah berkahwin, mempunyai anak, tidak mempunyai rekod jenayah, dan menjalankan perniagaan pengiklanan. Dia mengaku kepada polis bahawa dia bercadang untuk “mengganggu Megan” kerana Megan telah jatuh hati pada anak perempuannya yang bernama Sarah. Keadaan ini menunjukkan bahawa sebenarnya bukanlah remaja yang menjadi pembuli siber, akan tetapi didorong oleh kemahuan orang dewasa.

Walaupun kes buli siber semakin meningkat di kalangan remaja, namun ia sebenarnya fenomena orang dewasa yang sangat luas di tempat kerja. Sebagai contoh kedua, hampir separuh (46.2%) doktor pelatih telah mengalami pengalaman yang negatif di tempat kerja gara-gara si pembuli siber. Situasi buruk ini boleh mempengaruhi prestasi kerja mereka. Malah, dapatan yang paling menarik sekali ialah dianggarkan purata pembuli siber berusia 41 tahun. Woops!

Sumber imej: Netsafe

Satu lagi cerita pembuli siber di tempat kerja pernah berlaku kepada Ralph Espinoza. Beliau seorang yang lemah lembut tetapi tidak mempunyai jari di tangan kanannya. Pada tahun 2006, dua orang rakan sekerjanya membuat blog peribadi (anonymous) untuk menerbitkan komen yang berniat jahat terhadap Espinoza. Mereka menuduh Espinoza sebagai “penyamun satu tangan”, dan melabelkan tangan kanannya sebagai “pencakar”, Mereka membuat tawaran palsu untuk memberikan ganjaran buat sesiapa yang berjaya memperolehi gambar tangannya itu. Kempen buli siber itu menular dengan sangat cepat dikalangan orang ramai tidak kira sama ada rakan sekerja atau orang asing di luar tempat kerja. Keganasan atas talian ini berterusan selama lebih setahun dan menyebabkan Espinoza terpaksa mengambil cuti untuk berubat. Walaupun pembuli siber menjalankan kempennya di luar tempat kerja, mahkamah mengurniakan AS$ 820,000 kepada Espinoza kerana majikannya tidak mengawasi pekerja mereka dan tidak bertindak untuk menghalang pembuli-pembuli siber tersebut.

Sumber imej: Victoria Advocate

Apakah Pembuli Siber?

Tiada definasi jelas yang boleh membezakan antara pembuli siber, pengendap siber, dan pengganggu siber. Pembuli siber biasanya merujuk kepada tingkah laku bermusuhan yang sengaja dibuat bertujuan untuk membahayakan orang lain di Internet. Ini dimanfaatkan lagi dengan ketidakseimbangan kuasa antara pembuli dan mangsa. Tingkahlaku pembuli siber termasuklah seperti menghantar ancaman melalui e-mel atau mesej dan menyebarkan khabar angin serta gangguan, membakar perasaan dan MEMFITNAH.

Pengganggu siber juga boleh ditakrifkan sebagai perilaku jahat di Internet secara berulang atau sekali-sekala untuk perhatian mangsa, supaya rasa kecewa, terganggu atau terancam. Pengendap siber secara amnya merujuk kepada satu siri tingkah laku mengganggu orang lain secara berulang dan dilakukan melalui Internet (bukan di kawasan kejiranan rumah anda). Sebagai contoh, si penganggu akan mengumpulkan maklumat peribadi atau komunikasi langsung orang lain bertujuan untuk menyampaikan ancaman tersirat atau tersurat dan seterusnya menimbulkan rasa takut kepada mangsa dalam talian. Walau bagaimanapun, tidak seperti pembuli siber dan pengganggu siber, pengendap siber mungkin seorang bekas kekasih yang suka mengintip atas talian tetapi tidak melakukan sebarang kerosakan atau onar kepada mangsa (biasanya mangsa selalunya tidak tahu bahawa dia diskodeng).

Mengapakah Pembuli Siber Kebiasaanya Orang Dewasa?

Berdasarkan satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Information System Research pada tahun 2016, Lowry et. al menggunakan teori pembelajaran sosial dengan beberapa modifikasi untuk menjelaskan isu pembuli siber ini. Pertama, mereka mendapati bahawa tiada perkaitan terus antara usia dan pembuli siber. Begitu juga dengan bilangan jam ‘online’ di media sosial tidak dapat dikaitkan dengan pembuli siber. Tanpa perlu menyenaraikan kesemua parameter yang dikaji, jika sekiranya terdapat kemudahan untuk mencipta akaun palsu (anonymous), kos akses ke Internet yang murah, boleh mendatangkan keuntungan peribadi dan boleh merendahkan nilai moral seseorang, maka potensi seseorang untuk menjadi pembuli siber boleh berlaku. Kebiasaannya orang dewasalah yang menjadi pembuli siber kerana remaja dan kanak-kanak jarang membuli di atas talian demi keuntungan peribadi, ditambah lagi dengan akses ke Internet adalah sangat terhad buat mereka.

Sumber imej: Vival Glam Magazine

Kajian yang sama juga mendapati bahawa jantina wanita berkadar songsang dengan peningkatan pembuli siber. Begitu juga dengan taraf pendidikan, kadar pendapatan dan status pekerjaan juga tidak menyebabkan seseorang menjadi pembuli siber. Namun demikian, keadaan akan menjadi lebih buruk apabila seseorang boleh menggunakan media sosial secara “anonymous”, serta mempunyai masa yang banyak di atas talian untuk melakukan kerosakan atas talian dengan membuli. Keadaan ini bukan hanya memberi impak dan gangguan kecil kepada si mangsa (alah, online je pun), namun ia boleh mendatangkan keburukan dari segi reputasi, pengurangan produktiviti kerja, trauma psikologi, tingkah laku jenayah yang menjadi-jadi, kehilangan pekerjaan dan tindakan undang-undang seperti kes Espinoza yang telah diceritakan. Sekiranya ada yang bertanya adakah si pembuli siber mempunyai masalah mental, maka jawapannya kita serahkan pada pakar yang berkenaan.

Rujukan:

Gannett AK (2013) At Work: Cyberbullies graduate to workplace. USA Today

Acohido B (2013) Cyberbullying extends to workplace, bedroom. USA Today

Farley S, Coyne I, Sprigg C, Axtell C, Subramanian G (2015) Exploring the impact of workplace cyberbullying on trainee doctors. Medical Education 49(4):436-443.

Limber SP (2012) Cyberbullying: Bullying in the Digital Age, (Wiley-Blackwell, Malden, MA).

Smith PK, Mahdavi J, Carvalho M, Fisher S, Russell S, Tippett N (2008) Cyberbullying: Its nature and impact in secondary school pupils. J. Child Psychology and Psychiatry 49(4):376-385.

Li Q (2006) Cyberbullying in schools: A research of gender differences. School Psych. Intl. 27(2):157-170.

Piotrowski C (2012) From workplace bullying to cyberbullying: The enigma of e-harassment in modern
organizations. Org. Development J. 30(4):44-53.

McFarlane L, Bocij P (2003) An exploration of predatory behaviour in cyberspace: Towards a typology of
cyberstalkers First Monday (accessed March 10, 2014).

Lowry, P. B., Zhang, J., Wang, C., & Siponen, M. (2016). Why do adults engage in cyberbullying on social media? An integration of online disinhibition and deindividuation effects with the social structure and social learning model. Information Systems Research27(4), 962-986.

Bocij P (2004) Cyberstalking: Harassment in the Internet Age and How to Protect Your Family, (Praeger
Publishers, Westport, CT).

Meloy JR (2001) The Psychology of Stalking: Clinical and Forensic Perspectives, (Academic Press, San
Diego, CA)

Robert D, Doyle J (2003) Study on cyberstalking: Understanding investigative hurdles. FBI Law
Enforcement Bulletin 72(3):10-17.

 

Shares