Tiba lagi hari yang dinanti-nantikan – Pilihanraya Umum Malaysia!

Selain kemeriahan kibaran bendera, keriuhan sorak sorai dan balik kampung, sejak PRU13 jemari biru menjadi satu lagi warna yang menghiasi landskap pilihanraya kita.

Image result for indelible ink

Apakah sebenarnya dakwat kekal tersebut? Berlainankah dengan dakwat biasa? Apa istimewanya?

DAKWAT KEKAL

Dakwat kekal atau ‘indelible ink’, ‘electoral ink’, ‘phosphorus ink’ adalah dakwat yang ISTIMEWA digunakan untuk pilihanraya. Bukan saja di Malaysia. Banyak lagi negara-negara yang menggunakannya: India, Venezuela, Peru, Filipina dan lain-lain negara yang sistem pengenalan diri penduduknya agak ketinggalan.

Dakwat ini adalah separa kekal, tidak akan hilang apabila dicuci sekurang-kurangnya dua atau tiga hari.

Image result for indelible ink

Imej: Astro Awani

Berbanding dakwat pen (dakwat botol pen Fountain contohnya) yang menggunakan pewarna biru berasaskan kompaun triarylmethane, dakwat kekal lebih istimewa menggunakan ‘silver nitrate’ (Argentum nitrate / perak nitrat).

Ya. Kita bakal mencelupkan jari ke larutan PERAK! Mahal bukan harga dua keping undian kita?

KENAPA SILVER NITRATE?

Larutan dakwat kekal mengandungi komposisi lain juga, tetapi silver nitrat dalam bentuk larutan memberikan warna biru gelap (kehitaman). Larutan ini mengandungi ion Ag+ (ion argentum /silver). Apabila terkena kulit ia mudah diserap kedalam lapisan tisu mati dan tisu kulit. Ion ini akan bertindak dengan cahaya untuk menghasilkan partikel mikroskopi logam perak yang terperangkap dalam kulit. Ini akan menyebabkan warna gelap yang terhasil di kulit (partikel mikroskopi ini sangat kecil, ia menyerap cahaya dan menyebabkannya kelihatan gelap. Tidak seperti logam perak yang bersinar terang kerana kebolehannya untuk membalikkan cahaya).

Image result

Sel-sel kulit dan permukaan kulit juga mengandungi pelbagai protein, garam, dan pelbagai elemen yang mengandungi kumpulan chloride, thiol, sulphide dan selenide. Silver nitrate adalah pengoksida yang aktif. Ia mampu berinteraksi dengan kumpulan ini mungkin membentuk contohnya silver sulphide yang berwarna gelap dan tidak larut, silver chloride yang juga akan mengalami penurunan menjadi partikel perak dengan tindakbalas cahaya.

Image result for indelible ink malaysia election jpg

Jadi, warna hitam / biru gelap tersebut tidak dapat dicuci dengan air, cuka, sabun dan sebagainya kerana ia terperangkap dalam sel kulit, bukan hanya dipermukaan sahaja. Namun, jangan risau sangat, ia tidak akan memberikan sebarang ketoksikan kerana kepekatannya sangat kecil. Ia juga terperangkap di kulit dan tidak dibawa kedalam sistem tubuh yang lain.

TAHUKAH ANDA?

Larutan silver nitrate pernah digunakan sebagai antiseptic dan antimikrob suatu ketika dahulu. Namun penggunaannya dihentikan kerana faktor harga dan kecenderungan untuk meninggalkan warna pada kulit.

Logam perak juga dipercayai mempunyai faktor terapeutik untuk menyembuhkan penyakit di zaman silam. Sehingga kini, masih ada sesetengah golongan mengambil larutan perak (dalam bentuk colloidal silver) untuk ‘rawatan’ pelbagai penyakit. Keadaan agyria yang disebabkan oleh deposit logam perak pada kulit adalah kesan sampingan yang menarik jika diambil berlebihan. Ia akan menyebabkan manusia tersebut berkulit kebiruan!

Image result for argyria jpeg

Imej Paul Karason yang mengalami argyria akibat pengambilan colloidal silver 

Mari Bersama menunaikan tanggungjawab kita pada negara. Mengundilah baik-baik. Undian anda sangat berharga untuk menentukan masa depan kita dan anak-anak kita.

Selamat mengundi!

RUJUKAN

Geissinger HD (2011). “The use of silver nitrate as a stain for scanning electron microscopy of arterial intima and paraffin sections of kidney”. Journal of Microscopy95 (3): 471–481.

Trop M, Novak M, Rodl S, Hellbom B, Kroell W, Goessler W. Silver-coated dressing acticoat caused raised liver enzymes and argyria-like symptoms in burn patient. Journal of Trauma and Acute Care Surgery. 2006 Mar 1;60(3):648-52.

Gulbranson SH, Hud JA, Hansen RC. Argyria following the use of dietary supplements containing colloidal silver protein. Cutis. 2000 Nov;66(5):373-4.

Shares