Mari kita semua belajar sejenak. Fikirkan tentang contoh barah. Bagaimana barah bermula? Bukankah semua sel yang mengakibatkan barah itu sel dalam badan kita sendiri? Mengapa ia mula merosakkan? Seharusnya setiap sel dalam badan melalui proses tumbesaran, pembahagian dan kemusnahan. Apabila sampai masa kemusnahan, sel badan melalui proses apoptosis yakni kematian sel yang diprogramkan sendiri. Kajian menunjukkan sel barah mempunyai masalah sebelum proses apoptosis lalu berkembang tanpa kawalan dan mengakibatkan ketumbuhan seterusnya membawa kepada barah.

Tapi bagaimana barah terus berkembang? Sel-sel ini mula mengeluarkan reseptor untuk mengelak daripada dikenalpasti oleh sistem imun badan supaya mereka dapat terus membiak. Dengan kata lain, terdapat cara untuk sel-sel ini terus berkembang dengan menyorokkan diri masing-masing walhal terdapat bahagian badan yang berfungsi untuk menghapuskan mereka. Tambah menakutkan, sel-sel ini kemudian mencari cara untuk mula keluar dari kawasan asal pembesaran lalu berkembang di bahagian badan yang lain untuk terus mengakibatkan kerosakan yang berpanjangan.

Menakjubkan, bukan? Atas dasar ini juga, banyak ubat anti-kanser terkini mula membincangkan tentang terapi target sebagai tambahan kepada kemoterapi dan radioterapi. Terapi target mengenalpasti sel-sel yang mempunyai mutasi berdasarkan reseptor sel barah dan memusnahkan sel-sel tersebut. Kemoterapi dan radioterapi juga berfungsi dengan harapan untuk menghentikan semua sel ini daripada terus berkembang supaya organ asal tadi dapat berfungsi semula seperti sedia-kala.

Kita lihat pula dalam konteks sebuah empayar atau tamadun. Sejarah menunjukkan banyak tamadun lama dari Yunani, Roman ke tamadun Islam semua tumbang atas masalah yang datang dari dalam. Pasti terdapat kepincangan politik, perebutan kuasa antara keluarga, kelemahan struktur organisasi dan sebagainya. Apabila kerajaan atau tamadun itu telah lemah dari dalam akibat masalah-masalah sebegini, maka faktor luaran seperti serangan daripada kerajaan luar, wabak penyakit dan lain-lainnya tidak dapat ditangani maka runtuhlah tamadun tadi.

Dalam cerita-cerita sejarah lama, penuh dengan watak-watak yang bersangka mereka sedang membantu tamadun mereka walhal mereka adalah punca masalah sebenarnya. Manusia-manusia sebegini harus dikenalpasti kerana mereka adalah barah sebenar dalam suatu komuniti atau organisasi. Sebagaimana sel-sel darah yang memiliki reseptor, watak-watak perosak ini ada topeng mereka melakukan sesuatu atas nama lain seperti agama, maruah, kebijaksanaan dan lain-lain lagi.

Terbaru, kita digemparkan dengan perkongsian bahan rujukan yang menunjukkan betapa vaksin tidak selamat. Yang berkongsi pun bukan calang-calang orang. Masalahnya, bidang pengkhususan beliau dan topik yang diketengahkan tidak selari. Beliau tidak betul-betul memahami. Buku yang disaji juga bukan daripada seorang doktor epidemiologi mahupun yang mengkaji berkenaan ubat vaksin. Bahan-bahan kajian satu-persatu yang dikongsi juga tidak menggambarkan perbandingan klinikal yang sebenar. Kajian yang diterbitkan dalam buku dan dalam jurnal-jurnal saintifik ada beza yang besar. Dalam jurnal saintifik, setiap kajian akan diteliti sepenuhnya oleh “peer reviewer” yang akan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan sesuatu kajian yang perlu disertakan dalam terbitan kajian tersebut. Sekiranya kajian diterbitkan dalam buku, langkah ini terlepas dan kajian tersebut sekarang memiliki sejenis “bias” (berat sebelah) yang amat serius yakni “publication bias”. Kami tidak dapat mengetahui sekiranya semua kajian diletakkan dalam buku itu untuk menambahkan keuntungan jualan. Kerana itu, semua kajian harus merujuk pada jurnal saintifik. Sebab itu juga anda tidak akan jumpa jurnal saintifik dijual secara terbuka di rak buku kedai-kedai berhampiran anda.

Kalau link YouTube yang diguna sebagai bahan rujukan, itu bukan menguatkan lagi hujah malah berkali ganda lagi melemahkan hujah manusia tadi. Kembali kepada topik sel barah yang membunuh dan watak yang meruntuhkan empayar tadi. Bagaimana mahu mengenal watak-watak ini? Ada caranya. Mereka sering kata ingin menyebarkan ilmu walhal mereka bukan ahlinya. Bila ini yang berlaku, ilmu yang disebarkan itu adalah doktrin dan doktrin ini boleh jadi merosakkan. Mereka bukan orang jahat. Ya, betul. Sel barah pun asalnya sel badan sendiri, bukan? Tapi kalau cendekiawan pun dilabel salah, majlis fatwa pun salah, para doktor pun salah dan habis ahli topik asalnya semua salah, jadi mungkin yang salah sebenarnya adalah yang asalnya menyebarkan doktrin tadi.

Ingat, kalau anda nampak semua salah, mungkin masa telah tiba untuk anda cari cermin dan mula bertanya “Siapa yang salah?”. Saya nasihatkan anda jangan tunggu untuk bayangan diri anda tadi untuk memberi jawapan tadi kepada anda. Jangan tunggu sehingga kesilapan anda menjadi barah yang meruntuhkan empayar manusia.

Shares