Gambar oleh Cris Saur di Unsplash

 

Anda tertekan ataupun kemurungan? Dengan pelbagai kempen kesedaran tentang kesihatan mental yang tersebar secara meluas pada akhir-akhir ini, masyarakat sudah semakin cakna dengan isu ini, lebih-lebih lagi tentang masalah kemurungan. Namun, jika dilihat sekali imbas, simptom kemurungan seakan sama dengan stres.

 

Kekeliruan ini mungkin akan menyebabkan sesetengah orang mendapat salah faham, lalu menambahkan lagi stigma terhadap isu ini dalam masyarakat. Lebih teruk lagi, isu kemurungan boleh dijadikan bahan lawak akibat daripada kecelaruan ini. Perlu diingatkan, isu kesihatan mental adalah isu yang serius dan patut diambil berat oleh semua pihak.

 

Apa itu Stres?

 

Stres, atau tekanan psikologi, ditakrifkan sebagai tindakbalas seseorang itu kepada sesuatu kejadian yang dianggap mengganggu keseimbangan dalam dirinya. Keseimbangan ini bukanlah bermaksud cara seseorang itu berdiri atau berjalan, tetapi merujuk kepada bagaimana dia mengimbangi perasaan positif dan negatif dalam diri.

 

Stres yang dialami boleh dikategorikan kepada positif dan negatif, atau eustress dan distress. Apabila ia positif (eustress), stres itu bertukar menjadi motivasi kepada kita untuk mendapatkan balik keseimbangan yang disebut. Antara nama lain bagi stres berbentuk positif adalah:

  • Bermotivasi
  • Bertenaga
  • Teruja
  • Bersemangat

 

Apabila seseorang itu mengalami stres secara positif, dia akan lebih yakin untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Jika terdapat kerja yang perlu diselesaikan dengan segera, dia akan membuatnya dengan cepat tanpa mengeluh. Setiap individu mempunyai tahap stres yang berbeza, mengikut keupayaannya untuk menyelesaikan ketidakseimbangan yang dialami. Sebagai contoh, si A boleh melihat larian maraton 42km sebagai cabaran positif kepada diri. Manakala si B menganggap larian maraton yang sama memberi tekanan yang berat terhadap dirinya. Si B mengalami apa yang disebut sebagai distress.

 

Gambar oleh Mubariz Mehdizadeh di Unsplash

 

Berbeza pula dengan eustress, distress memberi impak negatif kepada seseorang. Sisi negatif ini yang selalu dikaitkan dengan istilah tertekan atau stres yang selalu difahami oleh masyarakat umum. Satu ciri yang peling ketara adalah kurangnya motivasi dalam melakukan kerja seharian. Selain itu, antara ciri-ciri negatif lain yang dikaitkan dengan stres adalah:

  • Tidak bersemangat
  • Mengelak untuk membuat sesuatu yang mencabar
  • Kurang tenaga/cepat berasa penat
  • Berasa bosan/tidak memuaskan hati
  • Lemah daya ingatan
  • Lesu, apabila mengalami tekanan yang berpanjangan (burnout)

 

Kesan daripada stres negatif ini kepada seseorang sangat luas dan boleh membahayakan individu tersebut, sehingga ia dimasukkan dalam salah satu bahaya dalam pekerjaan (occupational hazard). Malah, stres yang berpanjangan boleh membawa kepada penyakit yang lain, contohnya kemurungan.

 

Kemurungan, Penyakit yang Senyap

 

Kemurungan merupakan salah satu sakit mental yang semakin mendapat perhatian masyarakat umum. Ini mungkin disebabkan hasil yang paling teruk kesan daripada penyakit ini, iaitu perbuatan membunuh diri. Perlakuan sebegini sangat mudah untuk menarik perhatian orang ramai, lebih-lebih lagi apabila si pelaku itu adalah tokoh yang masyhur.

 

Kemurungan disifatkan sebagai keadaan apabila seseorang itu mengalami antaranya:

  • Perasaan sedih/kosong
  • Kurang/tidak bersemangat dalam melakukan sesuatu aktiviti
  • Merasakan diri tidak berguna
  • Merasakan diri cepat letih

 

Kemurungan, seperti distress, memberi kesan buruk terhadap penghidapnya. Individu tersebut akan berasa sukar untuk melakukan tugasan di tempat kerja, sukar untuk fokus, semakin mudah untuk lupa dan ada kalanya cepat marah.

 

Apa Bezanya?

 

Jika dilihat secara kasar, simptom kemurungan ini seakan sama seperti ciri negatif stres di atas. Namun, terdapat satu cara yang mudah untuk membezakan dua keadaan ini. Caranya adalah dengan menenangkan diri buat seketika daripada penyebab keadaan itu. Kebiasaannya simptom buruk stres akan hilang apabila seseorang itu mengambil masa untuk merehatkan diri. Berbeza dengan kemurungan, simptomnya akan masih memberi kesan walaupun seseorang itu mengambil tempoh untuk menenangkan diri.

Gambar oleh Hailey Kean di Unsplash

 

Stres Berpanjangan Boleh Membawa kepada Kemurungan

 

Tekanan yang berlebihan boleh mendorong seseorang itu untuk mengalami kemurungan. Oleh itu, pengurusan stres merupakan salah satu faktor penting dalam kehidupan yang sihat. Jika anda atau kenalan anda merasakan bahawa terdapat tanda-tanda kemurungan pada diri, sila berjumpa dengan doktor untuk mendapat rawatan.

 

 


Rujukan

 

  • American Psychiatric Association. (2013). Diagnostic and statistical manual of mental disorders (5th ed.). Washington, DC
  • Ministry of Health. (2007). Management of Major Depressive Disorder. Retrieved from http://www.moh.gov.my/penerbitan/CPG2017/3897.pdf
  • Schneiderman, N., Ironson, G., & Siegel, S. D. (2005). Stress and health: psychological, behavioral, and biological determinants.  Rev. Clin. Psychol.1, 607-628.
  • Selye, H. (1976). Stress without distress. In Psychopathology of human adaptation. Springer, Boston, MA.
Shares