Apa itu Plagiarisme?

Plagiarisme atau penciplakan secara umumnya dikategorikan sebagai mencuri hasil kerja orang lain dan, samada sengaja atau tidak, dan menggunakannya sebagai idea atau hasil kerja sendiri. Definasi ini merangkumi semua bahan, samada dalam bentuk manuskrip, bercetak atau elektronik.

Di dalam akademia, plagiarisme memang banyak berlaku bukan kerana pelajar-pelajar sengaja mencuri idea atau bahan, tetapi kerana kurang pendedahan tentang apa yang boleh dan tak boleh dilakukan. Di peringkat pasca-ijazah, ada kursus atau bengkel ditawarkan bagi memberi pencerahan kepada pelajar-pelajar. Namun bukan semua pelajar di peringkat pra-ijazah didedahkan tentang aspek ini.

Ini menyebabkan pelajar-pelajar yang telah diberitahu mengenai bahaya plagiarisme masih melakukannya, kerana mereka tidak faham bagaimana mahu mengelakkannya. Apabila membuat laporan tugasan, pelajar-pelajar ini akan mengguna pakai rujukan dari sesuatu sumber tanpa memberi kredit kepada penulis atau penerbit asal. Dan apabila disemak, pelajar ini boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana cuba plagiat hasil kerja orang lain, walaupun mereka sebenarnya hanya terlupa meletakkan sumber rujukan!

Contoh Plagiarisme

Kita ambil contoh di dalam artikel Root of Science yang lepas bertajuk Oh Awan oleh Dr. Hanafi Azami, beliau menulis:

Salji

…Apabila kristal-kristal ini berlanggar, ianya akan beku bersama, kemudian terbentuknya snowflakes yang lebih berat dan jatuh ke bawah. Sekiranya suhunya tinggi dari suhu beku, snowflakes ini akan cair menjadi hujan…

Pelajar yang menulis laporan berkenaan pembentukan salji akan menggunakan ayat di atas, samada secara bulat-bulat atau disebut semula dalam ayat sendiri (paraphrasing). Tetapi tanpa rujukan atau sebutan kepada penulis asal, pembaca akan beranggapan idea itu berasal dari pelajar tersebut, dan bukannya Dr. Hanafi.

Kenapa ini berlaku?

Ia boleh disebabkan oleh kelekaan atau tidak peka kepada kepentingan menulis sumber. Ia juga boleh disebabkan oleh kesilapan kerana kurang pendedahan dan pengalaman dalam menulis penulisan akademik (terutamanya di tahun satu).

Ia juga mungkin disebabkan oleh kebiasaan menjawab soalan esei di peringkat sekolah, yang mana 80-90% sumber bahan adalah dari buku teks. Di sini, pelajar tidak banyak didedahkan praktis menulis sumber kerana semuanya datang dari sumber yang sama: BUKU TEKS! Anehnya pula, penulis buku teks masih tak dikenali oleh mereka!

Ini belum menyentuh isu mereka yang sengaja plagiat kerja orang lain, dalam erti kata mencuri dan menipu, bagi menyelesaikan tugasan atau tesis masing-masing. Kalau mereka terang-terangan berniat sedemikian, mereka akan cuba untuk menyorokkan bukti dengan olahan ayat dan perenggan yang disebatikan dengan ayat sendiri.

Kaedah ini menyukarkan pembaca dan penilai untuk memastikan kesahihan dan ketulenan hasil kerja pelajar terbabit. Ditambah dengan bebanan membaca tesis sepanjang sekurang-kurangnya 60 muka surat seorang, seramai 15-20 orang setiap semester, dalam masa 2-3 minggu sebelum tarikh akhir masuk markah.

Maka bagi membendung masalah plagiarisme ini, maka pihak universiti menggunakan perisian anti-plagiarisme bagi membantu pensyarah menilai ketulenan hasil kerja pelajar mereka. Antara perisian yang popular digunakan ialah Turnitin.

Teknologi Anti-Plagiarisme di Dalam Akademia

Turnitin (turn-it-in) adalah satu perisian atas talian yang menawarkan perkhidmatan mengesan plagiarisme di dalam sesuatu dokumen. Ia dibangunkan pada tahun 1997 dan sekarang digunapakai oleh lebih 15,000 institusi pengajian di seluruh dunia.

turnitin.com

Bagaimana ia berfungsi?

Berdasarkan database yang ada, Turnitin akan menyemak perkataan, ayat dan perenggan di dalam dokumen yang dihantar menggunakan algorithm mereka. Dari semakan tersebut, Turnitin secara automatik akan membuat rumusan peratus indeks persamaan (similarity index) sesuatu teks dengan sumber-sumber di dalam database mereka.

Secara umumnya, persamaan di bawah 20% boleh diterima sebagai tulen (terutamanya jika merujuk kepada penyataan umum atau pengetahuan am). Kebiasaannya di dalam akademia, sebarang persamaan  20-50% memerlukan pelajar itu membuat pembetulan sebelum dihantar semula. Dan pihak institusi berhak menolak sebarang kerja yang terlalu banyak persamaan (melebihi 50%) dengan kerja-kerja terdahulu di dalam database!*

*Nota: setiap institusi berhak membuat penilaian mereka sendiri berdasarkan peratusan indeks persamaan mengikut interpretasi masing-masing.

Sekiranya sebarang penilai musykil, mereka boleh merujuk kepada laporan lengkap di dalam perisian tersebut, yang mana mereka boleh melihat sendiri teks dari pelajar bersebelahan dengan teks dari dalam database Turnitin. Ini supaya penilai boleh membuat keputusan sendiri sejauh mana plagiarisme telah berlaku sebelum membuat tindakan lanjut.

Penggunaan perisian seperti Turnitin amat membantu pensyarah dan penilai untuk membuat keputusan yang tepat dan cepat. Proses pelaporan Turnitin biasanya memakan masa antara 15minit hingga 4jam selepas dihantar. Ini membolehkan pensyarah membuat saringan terus beberapa jam selepas tempoh penghantaran.

Kesimpulan

Teknologi ini sekarang digunapakai secara meluas di institusi pengajian tinggi di Malaysia. Ia bukan percuma, tetapi ia satu pelaburan yang berbaloi bagi memastikan ilmu yang dipelajari dan dibina di institusi tempatan adalah tulen dan bermutu.

Mungkin ada yang beranggapan, memandangkan Turnitin berasaskan Bahasa Inggeris, maka mereka boleh lari dengan memplagiat di dalam Bahasa Malaysia. Mungkin beberapa tahun lalu mereka boleh mengelak darinya. Tetapi setiap dokumen yang dihantar ke Turnitin boleh disimpan di dalam database mereka.

Ini membolehkan database Bahasa Malaysia terbina dan lama-kelamaan mempunyai rujukan yang luas bagi membantu tenaga pengajar di semua peringkat untuk membuat penilaian yang lebih mantap. Ia juga mengajar pelajar-pelajar agar lebih bertanggungjawab ketika belajar, dan menghormati hak dan hasil kerja orang lain!

Rujukan

Plagiarism, University of Oxford
Academic Integrity, University of New South Wales
Plagiarisme Jenayah Akademik akibat Lambakan Bahan di Internet – Bernama melalui freemalaysiatoday.com
Turnitin – Wikipedia

 

 

Shares