Buli. Hanya dengan satu perkataan ini sudah memberi keresahan kepada pelbagai pihak. Tindakan buli merupakan antara isu sosial yang dipandang serius oleh semua. Hanya kerana seseorang yang bertindak agresif, ramai yang terpalit dengan kesan buruknya.

 

Buli ditakrifkan sebagai penggunaan kuasa atau status seseorang itu dengan bertujuan untuk memalukan atau mengugut pihak lain. Si pembuli selalunya akan mempunyai satu pangkat atau kuasa yang lebih tinggi daripada si mangsa. Perbezaan taraf ini yang membezakan antara perselisihan normal dan buli.

 

Si Pembuli: Apakah sebab membuli?

 

Secara umumnya, pembuli akan merasakan mereka mempunyai hak untuk menindas si mangsa. Dalam satu kajian kes yang dilakukan di sebuah sekolah di Kuala Lumpur, terdapat jawapan daripada si pembuli yang mempunyai unsur pemikiran bahawa mereka patut membuli mangsa. Ini selari dengan gaya pemikiran tidak sihat, di mana seseorang itu mempunyai pendapat yang tidak munasabah tentang diri.

 

Selain dari itu, reaksi dalam kalangan pembuli dan si mangsa itu sendiri juga boleh mendorong tingkahlaku buli itu sendiri. Sebagai contoh, si mangsa yang dibantu secara terang-terangan akan lebbih cenderung untuk dibuli sekali lagi oleh pembuli yang sama, kerana bagi si pembuli, si mangsa boleh mendapat bantuan apabila dia dibuli. Itu menjadikan perbuatan si pembuli boleh diterima, kerana adanya sokongan yang mengurangkan kesan buli kepada si mangsa.

 

Namun, bukan semua adalah salah daripada pembuli sendiri. Pembuli seringkali datang daripada keluarga yang mempunyai konflik. Ini menyebabkan mereka sukar untuk mempelajari rasa empati dan berkomunikasi secara baik. Akibat daripada konflik keluarga yang mereka alami, mereka merasakan tindakan agresif merupakan satu pilihan yang betul bagi menjaga diri dan hak mereka.

 

Kerapkali juga si pembuli tidak sedar akan kesan tindakan mereka kepada si mangsa. Bagi mereka, kesan jangka pendek (si mangsa mengalami kesusahan) setimpal atau sesuai dengan darjat si mangsa. Ini merupakan cara pemikiran yang salah, kerana ia tidak mengambil kira kesan jangka panjang kepada mangsa. Mangsa terpaksa melalui peristiwa buruk yang boleh dielakkan hanya jika seseorang itu bersifat kemanusiaan dan bukan pemuas ego diri. Pendek kata, si pembuli merupakan seorang yang mementingkan diri dan menganggap tindakannya itu sesuatu yang normal.

 

 

Sumber gambar dari WikiMedia Commons.

 

Si Mangsa: Apa Kesannya?

 

Si mangsa pula kerapkali akan mengalami tekanan perasaan. Malah, jika tindakan buli berlarutan, ia boleh mendorong seseorang itu untuk mengalami sakit mental seperti kemurungan dan kerisauan berlebihan. Prestasi kerja menurun menyebabkan mereka berasa rendah diri, dan ini akan membuka peluang lagi kepada si pembuli untuk mengambil kesempatan ke atas kelemahan mereka.

Dalam sesetengah mangsa akan muncul konflik dalaman diri. Konflik ini tercetus apabila pandangan diri tidak selari dengan realiti yang dialami. Dalam kata lain, si mangsa merasakan marah kerana dibuli. Bagi si mangsa, dia tidak sepatutnya dilakukan sedemikian. Lantas, si mangsa akan bertindak ganas terhadap pembuli. Ada juga mangsa yang akhirnya bertukar menjadi pembuli, kerana ingin menyelesaikan konflik dalaman yang telah lama dipendam. Lalu kitaran buli pun berulang kembali.

 

Sumber daripada Dan Olweus, A Profile of Bullying at School

 

 

Jadi apa yang boleh dibuat?

 

Sebagai masyarakat yang mementingkan kehidupan berharmoni, kita perlu mengenal pasti tanda-tanda seseorang itu merupakan pembuli. Buli bukan sahaja terhad kepada sekolah, malah ada juga di tempat kerja dan di alam siber. Mereka yang mengganggu ketenteraman hidup, suka memalukan orang tanpa sebab yang kukuh merupakan antara ciri-ciri pembuli. Jika anda merasakan diri anda adalah mangsa buli, jangan mendiamkan perbuatan tersebut. Laporkan kepada pihak berkenaan beserta bukti yang kuat dan bertegas kepada si pembuli. Akhir sekali, jika anda merasakan diri anda adalah pembuli, belajarlah teknik komunikasi yang berkesan. Katakan tidak kepada buli!

 

 

Rujukan:

 

Batsche, G. M., & Knoff, H. M. (1994). Bullies and their victims: Understanding a pervasive problem in the schools. School psychology review, 23, 165-165.

 

Juvonen, J., & Graham, S. (2014). Bullying in schools: The power of bullies and the plight of victims. Annual review of psychology, 65, 159-185.

 

Lai, S. L., Ye, R., & Chang, K. P. (2008). Bullying in middle schools: An Asian-pacific regional study. Asia Pacific Education Review, 9(4), 503-515.

 

Olweus, D. (2003). A profile of bullying at school. Educational leadership60(6), 12-17.

 

Salleh, N. M., & Zainal, K. (2014). Bullying among secondary school students in Malaysia: A case study. International Education Studies, 7(13), 184.

 

Smokowski, P. R., & Kopasz, K. H. (2005). Bullying in school: An overview of types, effects, family characteristics, and intervention strategies. Children & Schools, 27(2), 101-110.

 

 

 

Shares