Gambar oleh Andre Hunter di Unsplash

Pernahkah anda menjumpai seseorang yang asyik menyalahkan orang lain? Semua yang berlaku kepada dia serba tak kena, bukan salah dia, pihak lain yang sepatutnya lebih bertanggungjawab, dan pelbagai alasan lagi. Mengapa sesetengah individu bersikap begini?

 

Terdapat satu teori dalam bidang psikologi yang boleh menjelaskan mengapa mereka bertindak sedemikian. Teori ini dinamakan “locus of control” atau lokus kawalan oleh Julian B. Rotter. Pada asalnya merupakan teori di dalam bidang psikologi personaliti, ia mendapat perhatian daripada pelbagai bidang lain kerana aplikasinya yang luas.

 

Lokus Kawalan

 

Teori lokus kawalan membicarakan tentang tahap kecenderungan manusia untuk mempercayai sesuatu kejadian dapat dikawal oleh diri mereka berbanding dengan faktor luaran yang tidak dapat dikawal. Dalam kata mudah, lokus kawalan adalah tahap keyakinan seseorang itu kepada dirinya atau sebab luaran dalam mempengaruhi hasil sesuatu perkara. Contoh yang senang untuk dilihat adalah apabila seseorang pergi ke kedai makan dan mendapati kedai itu penuh dengan pelanggan. Seseorang yang mempunyai keyakinan tinggi terhadap faktor luaran mungkin akan berasa jengkel dengan si pengurus.

 

Kenapa tak tambah je meja?

 

Tukang masak lambat sediakan makanan ke? Sebab tu ramai sangat orang?

 

Manakala mereka yang mempunyai kepercayaan tinggi terhadap diri mereka mungkin akan memikirkan tentang bagaimana mereka boleh berada dalam situasi tersebut.

 

Alamak, aku datang masa perlawanan bola kot. Sebab tu meja semua penuh.

 

Silap aku jugak sebab tak ajak keluar awal tadi. Kesian isteri aku, kena cari tempat lain pulak.

 

Lokus Kawalan Dalaman

 

Seperti yang dilihat dalam contoh di atas, lokus kawalan dalaman yang tinggi akan menyebabkan seseorang itu mencari kesilapan diri apabila menghadapi situasi yang tidak dijangka. Sifat ini akan membuatkan seseorang itu lebih bermuhasabah diri dalam melakukan keputusan dan apabila menerima berita yang tidak diduga. Contoh lain, seseorang itu lulus peperiksaan yang sukar. Jika dia mempunyai lokus kawalan dalaman yang tinggi, individu tersebut akan lebih percaya terhadap kebolehan dirinya pada peperiksaan seterusnya.

 

Akan tetapi, lokus kawalan dalaman yang terlampau tinggi akan mengakibatkan seseorang itu berasa rendah diri, tidak yakin dan lemah semangat. Mereka yang mempunyai lokus kawalan seperti ini lebih cenderung untuk mengalami kemurungan akibat daripada kerap menyalahkan diri atas perkara yang tidak berkaitan dan berputus asa kerana merasakan diri tidak berguna.

 

Lokus Kawalan Luaran

 

Bagi individu yang mempunyai lokus kawalan luaran yang tinggi, mereka lebih cepat untuk mencari kesalahan pihak lain dalam situasi yang dialami. Seperti contoh di atas, individu sebegini cekap dalam memberi tanggungjawab atas kesilapan kepada pihak lain tetapi kurang mahir dalam melihat kekurangan diri sendiri.

 

Namun, ini bukanlah bermakna lokus kawalan luaran itu sesuatu yang buruk. Kadang-kala sesuatu perkara itu sudah ditakdirkan berlaku. Kemalangan, ahli keluarga tiba-tiba jatuh sakit, bencana alam merupakan antara peristiwa yang tidak dijangka berlaku, tetapi perlu dihadapi oleh kita semua. Dalam hal sebegini, tidak wajar untuk kita menyalahkan diri mahupun sesiapa, sebaliknya menerima dengan hati terbuka bahawa takdir itu telah tetap untuk kita.

 

 

Gambar oleh Mateusz Dach di Pexels

 

Kesimpulan

 

Sebagaimana kebanyakan aspek dalam kehidupan, keseimbangan amat penting dalam hal ini. Lokus kawalan dalaman yang tinggi membolehkan seseorang itu lebih komited dalam keputusan yang dibuat, kerana dia merasakan bertanggungjawab terhadap apa yang dipilihnya. Manakala lokus kawalan luaran yang kuat membolehkan diri seseorang itu redha dengan apa yang didapatinya, di samping mencari cara untuk memperbaiki apa yang patut.

 

Perfectly balanced. As all things should be. – Thanos

 

 

 

 

 

Shares