Di kalangan ribuan pendedahan-pendedahan yang kerap dilakukan oleh pihak pro-sains, ada beberapa hujah oleh jurujual atau penyokong produk pseudosains yang menarik perhatian kami. Antara hujah yang kami temui adalah menggunakan perolehan paten kepada sesuatu produk itu. Ia seolah-olah menggambarkan perolehan paten merupakan validasi atau justifikasi yang membuktikan produk itu berkesan seperti yang diiklankan.

Betulkah pemikiran sebegini? Sebelum itu, cuba kita kupas sedikit tentang paten.

Apa Itu Paten?

Paten (patent) adalah hak eksklusif yang diberikan oleh pihak berkuasa sesuatu negara kepada pencipta atau pemegang hakcipta dalam tempoh terhad. Ini bertujuan membolehkan sesuatu ciptaan itu didedahkan kepada umum tanpa risiko ia dicuri dan digunapakai oleh pihak tak bertanggungjawab. Jadi di sini, paten adalah satu bentuk harta intelek (intellectual property).

Antara benda yang kerap dipatenkan adalah rekaan atau ciptaan yang boleh menyelesaikan sesuatu masalah atau isu berkaitan teknologi. Ia boleh merangkumi produk yang dihasilkan atau proses bagi penghasilan sesuatu produk. Sekiranya anda ada mencipta teknik baharu dan unik yang boleh membuatkan rantai basikal tak akan jatuh dari perewel (freewheel), maka anda bolehlah memfailkan paten bagi melindungi teknologi itu dari dicuri.

Ciptaan yang boleh dipatenkan

Secara umumnya, ciptaan itu mestilah original dan tidak pernah wujud di dunia ini. Ciptaan itu juga harus tidak ketara (obvious) kepada orang yang berpengetahuan atau berkepakaran dalam bidang tersebut. Ia juga perlu boleh digunapakai di dalam mana-mana industri.

Ada juga ciptaan yang tak boleh dipatenkan, seperti penemuan atau teori saintifik dan kaedah matematik. Hidupan biologikal termasuklah organisma, samada semulajadi atau hasil dari campur tangan manusia juga tidak boleh dipatenkan. Kaedah merawat tubuh manusia atau binatang melalui pembedahan atau terapi serta diagnosisnya juga tidak boleh dipatenkan.

Tetapi ingat! Idea tidak boleh dipatenkan. Hanya ciptaan sahaja! (untuk rujukan lanjut, klik link ini).

Siapa boleh memohon Paten?

Sesiapa yang menghasilkan sesuatu ciptaan atau proses unik boleh memohon paten. Di Malaysia, permohonan perlu dibuat ke Perbadanan Harta Intelek Malaysia atau lebih dikenali sebagai MyIPO. Anda perlu memenuhi beberapa keperluan sebelum memohon, serta mengisi borang dan menyiapkan kertas kerja dan dokumen bagi produk tersebut. Ia akan diproses oleh MyIPO dan apabila diluluskan, anda akan memperoleh hak paten ke atas sesuatu produk itu.

(Kalau berminat, boleh cuba mohon paten secara online di sini. Kos keseluruhan permohonan satu paten dianggar antara RM50,000 hingga RM150,000) (Logo MyIPO dari myipo.gov.my)

Perlukah Pemohon Paten membuktikan produk itu berkesan seperti yang didakwa?

Sekarang kita kembali kepada persoalan induk. Lambakan produk-produk “kesihatan” atau “supplement” di pasaran kini menyebabkan pihak pengeluar, pengedar dan jurujual menggunakan pelbagai kaedah untuk melariskan produk masing-masing.

Terbaharu, ada penyokong produk yang cuba menggunakan paten sebagai justifikasi produk itu dapat berfungsi seperti yang diiklankan. Pada pandangan umum, kita mungkin akan terpedaya kerana permohonan dan proses mendapatkan paten bukanlah mudah dan memakan kos yang tinggi. Takkanlah kompeni sanggup nak patenkan produk yang tak berfungsi, bukan?

TAK BETUL! Permohonan paten sebenarnya hanya memerlukan pencipta menghuraikan produk tersebut secara bertulis, dakwaan fungsi atau kesan produk itu dan teknik menghasilkannya. Sesuatu produk itu perlulah dibuktikan boleh dihasilkan, tetapi tiada beban pembuktian tentang keberkesanannya!

Maksud di sini, sesuatu ubat boleh dipatenkan asalkan ia boleh dihasilkan dalam bentuk pil atau cecair dan kemudian boleh dimakan atau diminum. Sama ada ia selamat atau efektif BUKAN di bawah bidang kuasa badan harta intelek!

Apabila kita berbicara tentang keberkesanan sesuatu ubat, rawatan atau sebarang produk berkaitan kesihatan, rujuklah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). KKM merangkumi pelbagai jabatan yang bertanggungjawab melindungi kesihatan rakyat Malaysia secara umumnya. Jadi kalau nak tahu sesuatu ubat itu berkesan atau selamat, rujuk KKM, bukan MyIPO atau sebarang agensi harta intelek antarabangsa.

Kesimpulan

Kami tidak mahu pengguna terkeliru apabila ada pihak menggunakan pemilikan paten sebagai hujah untuk menguatkan promosi produk mereka. Seperti yang dibincangkan, sesiapa sahaja yang mencipta produk yang unik dengan sokongan kewangan yang kukuh boleh memohon dan memiliki paten sesuatu produk.

Akhir kata, hanya kerana sesuatu produk itu mempunyai paten berdaftar, tidak bermakna produk itu terbukti berkesan, OK?!


Bacaan lanjut: Beza antara Paten, Hakcipta dan Cap Dagangan.

Seperti yang disebutkan di atas, kita jelas tentang apa itu paten. Tetapi kerap juga kita terkeliru antara paten dan hakcipta (copyright). Tak kurang juga dengan cap dagangan (trademark) dan rekabentuk perindustrian (industrial design).

Hakcipta

Hakcipta adalah hak eksklusif yang dimiliki oleh pencipta, penulis atau pemegang hakcipta ke atas sesuatu produk kreatif. Ia termaktub di bawah Akta Hakcipta 1987. Sebarang hasil kreatif seperti filem, lagu, novel, penerbitan berkala, komik, ukiran dan sebagainya secara automatik dimiliki oleh sipencipta atau pihak yang berkuasa ke atas pencipta itu.

Ia tidak perlu didaftarkan kerana ia adalah hak automatik, tetapi pendaftaran adalah digalakkan bagi memudahkan perlindungannya di sisi undang-undang.

Cap Dagangan

Cap dagangan merangkumi logo, gambar, nama, huruf atau kombinasi di antaranya yang merujuk kepada identiti perniagaan, produk atau perkhidmatan. Ia membolehkan kita lebih dikenali dalam aktiviti pemasaran. Bila kita daftar cap dagangan, kita mendapat hak eksklusif ke atasnya dan boleh digunakan dalam perniagaan sepenuhnya.

Rekabentuk Perindustrian

Ini pula memfokus kepada produk yang mempunyai fungsi khusus di dalam mana-mana industri. Sebagai contoh, rekaan mesin basuh, perabot, kereta, pen dakwat dan sebagainya. Pendaftaran rekaan memberi hak eksklusif kepada pencipta atau pemegang haknya bagi tujuan komersial dan memastikan ia tidak dicuri atau ditiru oleh pihak lain.

WIPO Intellectual Property Handbook
MyIPO, Berkenaan Paten

Shares