Baru-baru ini telah tular semula satu gambar yang menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan netizen. Gambar tersebut menunjukkan satu baju wanita yang mempunyai dua warna. Warna yang dilihat berbeza mengikut individu, sama ada putih-emas atau biru-hitam. Persoalannya, mana satu yang betul?

 

Mata Yang Menipu atau Kita yang Keliru?

 

Kita sangat bergantung kepada mata untuk menafsir dan memahami dunia di sekeliling kita. Namun, kita boleh tertipu dengan mata kita sendiri. Contohnya, fenomena pareidolia boleh berlaku di mana kita seringkali melihat bentuk atau wajah dalam situasi dan lokasi yang tidak mungkin adanya perkara tersebut. Sebagai contoh, apabila kita melihat awan, kita boleh membayangkan bentuk arnab daripada gempulan awan itu (baca di sini untuk penjelasan lanjut dan fenomena lain yang menarik). Hebat, bukan? Bagaimana ia berlaku?

 

Secara mudahnya, mata kita mempunyai sel yang boleh mengesan cahaya dan menukarkannya kepada isyarat untuk dihantar kepada otak. Otak kita kemudian menafsirkan isyarat ini dan menukarkannya kepada imej yang kita lihat. Inilah sebab mengapa manusia tidak boleh melihat dalam gelap, kerana cahaya yang masuk ke dalam mata kita tidak cukup untuk otak memberi imej yang jelas. Sel-sel ini terbahagi kepada dua jenis; rod dan kon. Sel rod dikhaskan untuk mengesan tahap kecerahan cahaya, manakala sel kon pula untuk mengesan warna yang dilihat.

 

 

Jika dilihat semula gambar baju itu, terdapat cahaya yang berwarna biru cerah di bahagian atas kanan. Cahaya berwarna ini yang membuatkan orang ramai keliru, kerana warna biru dianggap sebagai ‘neutral’ untuk gambar tersebut. Lantas, sesetengah orang akan menafsirkan gambar tersebut sebagai putih-emas dengan ‘membuang’ warna biru dari imej yang terhasil dalam otak mereka. Mereka yang menganggap cahaya tersebut sebagai putih akan melihat baju itu sebagai biru-hitam.

 

Sebenarnya, perkara sebegini berlaku dalam kehidupan seharian kita. Sebagai contoh, bayangkan anda memandu pada waktu malam di bawah lampu jalan bercahaya kuning.  Di hadapan anda terdapat kereta Myvi berwarna putih. Walaupun mata anda melihat kereta tersebut sebagai kuning, otak anda menafsirkan kereta itu sebagai putih. Ini kerana anda tahu bagaimana kelibat Myvi kuning apabila dibandingkan dengan yang putih dalam keadaan sama (cahaya kuning lampu jalan). Namun, untuk gambar ini, tiada rujukan untuk kita bandingkan. Lantas, ramai yang keliru dengan warna yang dilihat.

 

Asal usul baju ini telah pun diterangkan oleh pengeluarnya, Roman Originals. Baju ini adalah berwarna biru-hitam.

 

Warna Baju dan Kaitan antara Otak Kiri/Kanan?

 

Post yang tular baru-baru ini juga mengaitkan melihat warna baju tersebut dengan teori otak kiri dan otak kanan. Teori ini merupakan satu teori yang popular, mengaitkan daya kognitif dengan bahagian otak tertentu. Teori ini mengatakan bahawa mereka yang cenderung untuk berfikir secara rasional, minat matematik dan sains menggunakan otak bahagian kiri mereka manakala mereka yang berminat kepada kreativiti dan seni lebih mengutamakan otak bahagian kanan. Teori ini asalnya dikeluarkan oleh Roger W. Sperry apabila beliau merawat pesakit sawan. Namun, akibat daripada penghebahan dan penjelasan yang terlalu ringkas oleh media pada masa itu, teori ini berubah menjadi apa yang dikenali ramai pada masa kini.

 

Secara umumnya, segala proses yang melibatkan fungsi otak baik dari segi pembacaan ayat mahupun melukis pelan bangunan menggunakan seluruh bahagian otak. Sebagai contoh, untuk memahami ayat ini, anda memerlukan daya ‘visuospatial’ daripada lobus oksiput (occipital lobe) di bahagian belakang otak, pemahaman bahasa dari kawasan Wernicke di bahagian kiri hemisfera otak (kanan jika anda menulis tangan kiri), daya tumpuan dari bahagian depan otak, dan daya ingatan yang menggunakan keseluruhan otak. Ini menunjukkan bahawa tiada sisi yang dominan apabila bercakap tentang sesuatu daya kognitif.

 

Sumber gambar: Wikipedia

 

Berbeza pula dengan deria dan pergerakan badan, terdapat kajian yang mengatakan bahawa ada bahaigan otak kita yang berkait dengan deria yang dirasai dan pergerakan. Dalam kajian yang dibuat, isyarat yang dihasilkan oleh deria akan dihantar kepada hemisfera yang berlawanan sisi. Dalam kata lain, jika kita melihat gambar seekor kucing menggunakan mata kanan kita, isyarat itu akan ditafsir oleh otak bahagian kiri kita. Begitu juga dengan pergerakan badan. Hemisfera otak kanan bertanggungjawab untuk mengawal badan bahagian kiri kita dan sebaliknya.

 

Ringkasnya, teori otak dominan kanan/kiri ini adalah satu daripada ‘pseudoscience’ yang terkenal dan mudah mendapat perhatian orang ramai. Ini mungkin kerana sifat kita yang sentiasa ingin membezakan diri kita dengan orang lain, ingin menonjol berbanding dengan orang sekeliling kita. Hakikatnya, anda unik tetapi pada masa yang sama tidak berbeza dengan orang lain. Namun, itulah keindahan dunia. Dalam kesamaan, terdapat keistimewaan yang tersendiri.

 

 

Rujukan:

Nielsen, J. A., Zielinski, B. A., Ferguson, M. A., Lainhart, J. E., & Anderson, J. S. (2013). An evaluation of the left-brain vs. right-brain hypothesis with resting state functional connectivity magnetic resonance imaging. PloS one8(8), e71275.

Sperry, R. W. (1975). Left-brain, right-brain. Saturday Review2(23), 30-32.

Tzourio-Mazoyer, N., Crivello, F., & Mazoyer, B. (2017). Is the planum temporale surface area a marker of hemispheric or regional language lateralization?. Brain Structure and Function, 1-12.

 

Shares