Skip to content

Ujian Air Liur untuk mengesan kemungkinan kanser prostat

Saintis sedang membuat kajian berkenaan dengan sampel air liur untuk menentukan sama ada seseorang mempunyai risiko untuk menghadapi kanser prostat ataupun tidak. Tujuannya adalah untuk mengesan 1 peratus populasi lelaki yang mempunyai kelainan genetik yang akan meningkatkan risikonya untuk menghadapi kanser tersebut.

Ujian diagnostik tersebut sedang dijalankan oleh para pengkaji di Institut Kajian Kanser di United Kingdom. Ujian ini dibuat dengan harapan untuk mengesan lebih kurang 163 kelainan genetik pada lelaki yang akan meningkatkan 6 kali ganda risiko untuk menghadapi kanser prostat berbanding orang biasa.

Kajian ini dimulakan apabila sekumpulan saintis telah menemukan lebih kurang 100 kelainan genetik pada lelaki yang akan meningkatkan risiko kanser prostat. Kemudian ujian terbaru pula telah menambahkan lagi penemuan tersebut kepada 163.

Mereka melakukan ini dengan satu kaedah analisis DNA yang baru dikenali sebagai “Oncoarray”. Mereka membandingkan lebih kurang 500,000 DNA dengan DNA yang didapati daripada 80,000 lelaki yang menghadapi kanser dan 61,000 lagi lelaki yang normal. Dengan itu, mereka dapat membezakan mana genetik yang akan meningkatkan risiko untuk menghadapi kanser.

Terkini, kumpulan pengkaji ini ingin menguji pula pada mereka yang mempunyai kelainan genetik pada mereka yang masih lagi belum menghadapi kanser tersebut. Pemberian nasihat dan kaunseling akan diberikan kepada peserta dan akan sentiasa dipantau untuk melihat sama ada kes kanser ini meningkat ataupun sebaliknya.

“Dengan melihat kod DNA lebih kurang dari 100,000 lelaki, kita telah menemui maklumat baru berkenaan faktor genetik yang boleh mendedahkan seseorang itu kepada kanser prostat dan paling pentingnya, kita telah menunjukkan bahawa 163 kelainan genetik ini boleh digunakan untuk memberi maklumat berkenaan dengan kebarangkalian seseorang itu untuk menghadapi kanser prostat.” Kata Prof Ros Eeles yang merupakan salah seorang pengkaji tersebut.

“Jika kita boleh mengatakan sesuatu DNA boleh meningkatkan risiko untuk menghadapi kanser prostat, langkah yang seterusnya adalah untuk menggunakan maklumat tersebut bagi mengelakkan penyakit tersebut daripada terjadi”

Di UK, sebanyak 130 lelaki dalam sehari akan dikesan mempunyai kanser prostat. Angka tersebut telah meningkat sebanyak 44 peratus dari tahun 1990an. Dengan bilangan insiden yang semakin meningkat, tak hairanlah ia menjadi punca kedua kepada kematian kanser. Ini menunjukkan perlunya diagnosis awal dan program untuk mengelakkan daripada perkara tersebut berlaku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

three × one =