687Shares

Kerapkali baca di media sosial ramai orang mengaku tekanan darah mereka rendah dan mereka memerlukan suplemen. Apa sebenarnya masalah dengan tekanan darah ini? Yang kita betul-betul faham, terdapat kaitan tekanan darah tinggi dengan bermacam-macam jenis penyakit jantung (sumbatan pembuluh darah jantung) dan juga angin ahmar. Bagaimana mereka dapat kaitan perbandingan ini? Semua ini mereka dapatkan dengan membuat kajian statistik melihat kepada kriteria pesakit-pesakit yang datang dengan masalah jantung dan angin ahmar. Setelah dikaji, memang mereka melihat kekerapan yang signifikan apabila tekanan darah tinggi dan insiden penyakit-penyakit tersebut. Tambah merisaukan, komplikasi berlaku walaupun golongan ini tidak mempunyai apa-apa simptom dengan tekanan darah tinggi. Dengan mengkaji kedudukan purata dan median dalam “bell-curve”, mereka dapat menganggarkan kedudukan tekanan darah normal yang sepatutnya menjadi target kepada kumpulan berisiko.

Namun apa masalahnya apabila anda berada di ekstrem yang berbeza dalam graf tersebut? Benarkah anda perlu lakukan sesuatu untuk turut berada dalam golongan normal yang saya sebutkan tadi? Terdapat beberapa keadaan yang menyebabkan tekanan darah darah jatuh mendadak daripada normal. Dalam terma perubatan, keadaan ini dipanggil “shock” dan boleh mengakibatkan kerosakan organ penting dan juga mengancam nyawa. Sebagai doktor, kami dilatih untuk mengenal pasti keadaan ini untuk mengelakkan komplikasi berpanjangan, merbahaya atau berkekalan. Sekiranya seseorang megalami keadaan ini, denyutan jantung mereka biasanya sangat laju kerana badan berusaha untuk menyumbang oksigen ke organ penting dalam keadaan tekanan darah rendah. Tangan dan kaki biasanya bertukar pucat dan sejuk dan pesakit akan mula pening, pengsan, tidak dapat berdiri, gelap mata dan juga mendapat simptom lain daripada punca “shock” tersebut. Pesakit-pesakit begini dinasihatkan untuk serta-merta mendapatkan khidmat kecemasan untuk menyelamatkan mereka.

Tapi bagaimana jika anda tidak punya apa-apa simptom? Pernah anda hadapi keadaan begini?
– Anda sihat. Ingin pergi menderma darah. Isi borang soal selidik semua tiada masalah. Sampai bab periksa tekanan darah mereka kata tekanan darah anda rendah dan tak dinasihatkan untuk menderma.
– Anda sihat. Perlu isi borang “medical check up” untuk pekerjaan atau tawaran biasiswa. Masa periksa tekanan darah pegawai kesihatan kata rendah dan tanya macam-macam soalan. Daripada tiada pening sampai pening sebab risau.
– Anda pergi klinik untuk batuk, demam, selesema dan perlukan MC kerana tidak dapat bekerja. Sebelum masuk jumpa doktor mereka kata tekanan darah anda rendah dan mereka tanya banyak soalan dan perlu buat macam-macam ujian.

Tiga senario tersebut hanyalah sebahagian contoh lazim. Kesemua kajian dan pendapat perubatan bersetuju yang tekanan darah adalah berbeza bagi setiap individu. Satu tekanan darah rendah “shock” bagi seseorang mungkin normal pada yang lain. Sekiranya tiada tanda-tanda klinikal yang merisaukan dan anda tak punya apa-apa simptom maka tiada apa-apa yang perlu dilakukan. Selalunya, seseorang yang memiliki tubuh yang kurus dan tinggi mempunyai tekanan darah yang lebih rendah daripada populasi am (tetapi bukan semestinya begini).

Terdapat juga keadaan apabila seseorang berdiri terlalu lama dan mengakibatkan tindakbalas vasovagal yang menyebabkan seseorang pengsan. Lazimnya keadaan ini tidak merbahaya dan seringkali berlaku kerana seseorang kekurangan tenaga. Tekanan darah mereka juga seringkali rendah sejurus selepas pengsan dan biasanya kembali normal apabila kadar kehidratan badan diimbangkan semula. Terdapat ramai pesakit sebegini masuk berjumpa doktor dan seringkali meminta dan merayu diberi “drip” air ke dalam salur darah. Itu bukan penyelesaian jangka panjang. Penyelesaiannya adalah memulakan apa-apa aktiviti anda dengan kandungan tenaga dan air yang cukup dalam badan. Anda boleh dapat tenaga dengan makanan seimbang dan air kosong sudah cukup untuk menghidratkan badan. Tidak perlu suplemen.

Seringkali, seseorang yang mempunyai masalah kandungan sel darah merah rendah (anaemia) juga mendapat masalah tekanan darah rendah. Dalam keadaan ini, amat penting bagi petugas kesihatan untuk menjalankan ujian untuk mengenalpasti punca masalah itu dan menyelesaikannya. Sementara masalah itu disiasat, anda mungkin diberi ubat zat besi dan vitamin untuk membantu pembentukan darah. Hal ini juga berlaku untuk pesakit kegagalah buah pinggang kerana buah pinggang sangat penting untuk penghasilan darah. Dalam keadaan ini, ubat yang diberi adalah spesifik untuk membantu penghasilan darah. Bukan suplemen yang merawat segala jenis penyakit termasuk 99 jenis vitamin.

Secara kesimpulannya, anda tidak perlu risau sekiranya tekanan darah anda rendah dan anda tidak mempunyai apa-apa simptom. Sekiranya terdapat simptom, berbincang dengan doktor anda dan kenalpasti apakah punca sebenar masalah tersebut untuk merawatnya. Suplemen bukan jawapannya dan anda tidak perlu untuk menghabiskan kewangan untuk semua itu.