Sejak tersebarnya berita mengenai kawalan biologi menggunakan nyamuk ‘giant’ dalam usaha untuk membanteras nyamuk Aedes punca angkara demam denggi, netizen telah mula tertarik mengenai nyamuk istimewa ini.

Namun, agak memeranjatkan ramai yang tidak pernah tahu mengenai kewujudan dan memahami fakta sebenar mengenainya. Oleh yang demikian, mari ikuti kupasan kami mengenainya:-

Kingdom: Animalia

Phylum: Arthropoda

Class: Insects

Order: Diptera

Family: Culicidae

Genus: Toxorhynchites (Theobald, 1901)

Species: Genus bagi Toxorhynchites terbahagi kepada 4 Subgenera and mempunyai 92 spesis dimana diantara spesis yang kerap ditemui di Malaysia ialah Toxorhynchites Splendens.

Nyamuk gajah ataupun nama saintifiknya Toxorhynchites merupakan sejenis nyamuk pemangsa. Nyamuk ini juga dikenali sebagai nyamuk hutan sempena nama habitat asalnya. Mungkin ramai diantara kita yang tidak menyedari bahawa nyamuk ini agak biasa ditemui di Malaysia terutamanya di kawasan luar bandar ataupun lebih tepat lagi di kampung-kampung yang berhampiran dengan kawasan hutan.

Nyamuk ini dikenali umum sebagai nyamuk gajah disebabkan bentuk probosisnya yang panjang dan membengkok ke bawah menyerupai belalai gajah dimana ianya berfungsi untuk menghisap nektar daripada tumbuh-tumbuhan seperti bunga dan buah.

Perlu diingatkan bahawa walaupun nyamuk gajah bersaiz besar daripada spesis nyamuk yang lain seperti nyamuk Aedes, ia tidak merbahaya kepada manusia kerana nyamuk gajah TIDAK AKAN MENGGIGIT MANUSIA.

Biologi

Dari segi morfologinya, saiz nyamuk gajah dewasa dan jentik-jentik lebih besar berbanding dengan spesis nyamuk yang lain seperti nyamuk Aedes, Culex, Anopheles dan Mansonia dimana lebar sayapnya sahaja boleh mencapai 12mm manakala panjang badannya boleh mencapai 7mm.

Warna jentik-jentik nyamuk gajah agak coklat gelap dan kemerahan serta mempunyai bulu di bahagian abdomen. Bahagian kapsul kepala jentik-jentik nyamuk gajah agak tebal dan mempunyai ‘mandibles’ yang sangat kuat dimana fungsinya untuk memakan mangsanya iaitu jentik-jentik yang lain.

    

Manakala dari segi tempoh kitar hidupnya, sistem metamorfosis lengkap dari telur, jentik-jentik, pupa dan dewasa serta sama seperti spesis nyamuk yang lain. Cuma proses pembesaran di peringkat jentik-jentik nyamuk gajah lebih panjang iaitu lebih kurang sebulan berbeza dengan hanya lebih kurang seminggu bagi spesis nyamuk yang lain.

Sifat ini amat baik terutamanya dengan peranannya sebagai pemangsa nyamuk kerana jentik-jentik nyamuk gajah akan berada lebih lama di tempat pembiakan untuk membunuh jentik-jentik nyamuk lain terutamanya nyamuk Aedes.

Ekologi

  Secara ekologinya, nyamuk gajah lebih gemar membiak di tempat pembiakan yang semulajadi seperti lubang-lubang pokok ‘treeholes’ ataupun dimana-mana tempat yang biasanya menakung air di kawasan hutan.

Salah satu sebab utamanya adalah kerana nyamuk gajah yang dewasa tidak kira jantan ataupun betina HANYA MEMERLUKAN NEKTAR daripada tumbuhan terutamanya madu bunga dan juga tumbuhan sap, madu serta jus daripada buah yang rosak untuk kelangsungan hidup.

Apa yang uniknya dengan nyamuk gajah ini, ia TIDAK MEMERLUKAN DARAH manusia ataupun haiwan sama sekali untuk bertelur dan keadaan ini berbeza dangan spesis nyamuk yang lain.

Sekiranya begitu, bagaimana nyamuk gajah mendapatkan protein untuk menghasilkan telur?

Sudah semestinya daripada peringkat jentik-jentiknya –  hasil aktivitinya sebagai pemangsa nyamuk dimana nyamuk gajah akan memperolehi diet kaya protein dan lemak dari mangsanya.

  Kepentingan dari segi perubatan

Disebabkan nyamuk gajah dewasa termasuk jantan dan betina TIDAK MEMERLUKAN DARAH untuk menghasilkan telur maka nyamuk gajah dewasa tidak akan mengigit manusia kerana tiada sebarang keperluan.

Malah melihatkan kepada keadaan probosisnya yang membengkok ke bawah – struktur reka bentuk khas ini hanya berfungsi untuk menghisap nektar. Ini amat berbeza sekali dengan bahagian probosis spesis nyamuk yang selalu mengigit manusia seperti nyamuk Aedes iaitu yang mempunyai jenis ‘blood-sucking probosis’.

Oleh yang demikian, sekiranya nyamuk gajah tidak mengigit manusia maka nyamuk gajah juga TIDAK BERPERANAN dalam menyebarkan sebarang penyakit berjangkit bawaan nyamuk dan pastinya ia juga tidak memberi sebarang mudarat dari segi perubatan.

Pengurusan Kawalan Bersepadu

Nyamuk gajah dikenali sebagai pemangsa nyamuk disebabkan semasa berada di peringkat jentik-jentik, ia akan memakan jentik-jentik spesis nyamuk yang lain termasuk nyamuk Aedes iaitu vektor penting kepada demam denggi.

Kebanyakan jentik-jentik spesis nyamuk yang lain akan memakan organisma dalam air seperti bakteria dan alga, jentik-jentik nyamuk gajah bersifat kanibal dan memakan jentik-jentik lain.

Bukan setakat pemangsa kepada spesis nyamuk yang lain tetapi juga kadang kala kepada spesisnya sendiri yang bersaiz lebih kecil. Bahagian ‘mandibles’ nyamuk gajah adalah luar biasa dimana ianya mempunyai sambungan seperti sikat yang digunakan untuk menggenggam mangsanya.

Disebabkan sifatnya sebagai pemangsa nyamuk, terdapat pelbagai cubaan untuk memperkenalkan nyamuk gajah sebagai agen kawalan biologi termasuk di Malaysia dan cubaan tersebut mencapai kejayaan dengan dapat menurunkan populasi nyamuk vektor. Namun  malangnya terdapat beberapa kekangan lain untuk memastikan kawalan ini berjaya dengan sendirinya. Maka, dengan itu, kaedah pengurusan kawalan bersepadu amat digalakkan dalam usaha untuk menjayakan program kawalan.

Kebiasaannya dalam progam kawalan, nyamuk gajah yang ditangkap di dalam hutan akan dibela di dalam makmal ‘insectary’ sehingga dewasa dan kemudiannya akan dilepaskan dikawasan yang mempunyai populasi nyamuk vektor yang tinggi seperti nyamuk Aedes dimana secara teorinya, nyamuk gajah akan bertelur di tempat pembiakan yang sama dengan nyamuk vektor kemudian setelah telur tersebut menetas dan membesar sehingga di peringkat jentik-jentik, ia akan memakan jentik-jentik nyamuk vektor tersebut.

Apa yang menjadi kekangan adalah nyamuk gajah agak sukar untuk membiak di kawasan bandar disebabkan keperluannya terhadap persekitaran yang mempunyai banyak tumbuh-tumbuhan sepertimana di dalam hutan. Berbeza dengan nyamuk Aedes yang pastinya selesa untuk membiak di kawasan bandar disamping manusia kerana memerlukan darah untuk menghasilkan telurnya. Nyamuk Aedes juga boleh membiak bukan setakat tempat pembiakan semulajadi tetapi juga tempat pembiakan buatan manusia seperti bekas-bekas air dan longkang yang tersumbat.

Maka, selain mengharap nyamuk gajah membantu kita mencegah Aedes dan denggi, kita juga harus bersama mengemblengkan tenaga memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di persekitaran kita.

Terima kasih nyamuk gajah!

  

Rujukan

  1. J. Goettle & P. H. Adler. 2001. “Elephant (or Treehole) Predatory mosquito”.
  2. E. Collins & A. Blackwell. 2000. “The Biology of Toxorhynchites mosquitoes”.
  3. Basham, E.H., J.A. Mulrennan and A.J. Obermuller. 1947. The biology and distribution of Megarhinus in Florida. Mosquito News. 7:64-66.
  4. Bates, M. 1949. The natural history of mosquitoes. The Macmillan Company. New York, New York. 379 pp.
  5. Carpenter, S.J. and D.W. Jenkins. 1945. A new state record of Megarhinus rutilus in South Carolina. Mosquito News. 5:88.

Nota: Kebanyakan gambar-gambar di dalam artikel ini adalah merupakan simpanan peribadi penulis. Harap maklum.

-NFAK-

 

 

 

 

 

 

 

Shares