214Shares

Pernahkah anda terfikir, apa yang terjadi kepada tinja yang telah anda flush pagi tadi? Ke mana perginya?

Sebelum persoalan ini dijawab, elok kita baca dahulu tentang sejarah sistem rawatan kumbahan. Pada awal perkembangan tamadun manusia, kumbahan manusia seperti najis diuruskan dengan mudah & santai; gali & kambus. Beberapa zaman kemudian, sistem tandas mula diperkenalkan – tandas di bina di tepian sungai dan laut dan sisa kumbahan manusia ini di salurkan secara terus ke sungai mahupun laut. Tamadun Rom telah menaiktaraf sistem tandas ini dengan memperkenalkan sistem tandas awam. Sisa kumbahan dari tandas awam ini dikumpulkan dan disalirkan melalui paip bawah tanah ke sungai.

Parit/ Sungai di belakang perumahan – Photo by Tony Lam Hoang on Unsplash

Sistem kumbahan primitif sebegini mula dirombak setelah merebaknya wabak taun. Penyakit taun ialah penyakit bawaan air yg berpunca dari sumber air minuman yg tercemar. Pada tahun 1854, kota London telah dilanda wabak taun yg dahsyat sehingga mengakibatkan kematian seramai 616 nyawa. Ketika ini, sisa kumbahan manusia masih disingkirkan secara terus ke sungai tanpa sebarang rawatan. Air sungai Thames yg tercemar (tidak dirawat sebaiknya) ini kemudiannya di jadikan sumber air minuman oleh para penduduk.

Dipendekkan cerita, teknologi sains & kejuruteraan berkembang pantas. Sistem kumbahan dinaiktaraf – proses yang spesifik mula diperkenalkan untuk merawat sisa kumbahan. Selain kesihatan masyarakat setempat, sistem rawatan kumbahan ini diperlukan untuk mengurangkan impak pencemaran terhadap alam sekitar – baik pencemaran air mahupun udara (bau). Sistem rawatan kumbahan ini juga turut digunapakai untuk merawat sisa industri dari kilang.

Proses rawatan kumbahan boleh dikategorikan kepada 3 – biologikal, fizikal dan kimia. Kesemua proses ini mempunyai kemampuan berbeza untuk mengurangkan bahan pencemaran tertentu.

Loji rawatan efluen/ kumbahan (Photo by KAP Jasa on Unsplash)

a) Konsep proses rawatan secara fizikal adalah mudah difahami. Sesetengah sisa kumbahan mengandungi sisa pepejal yang berbagai saiz dari sekecil pasir ke sebesar sampah. Untuk mengasingkan sisa pepejal yang bersaiz besar seperti sampah, bahan penghadang/ penapis seperti grill atau pasir digunakan di permulaan rawatan kumbahan. Manakala untuk sisa pepejal yang lebih kecil, ianya boleh diasingkan dengan proses pemendakan secara graviti. Sisa kumbahan dikumpulkan di dalam tangki clarifier dan dibiarkan dalam suatu tempoh masa. Sisa pepejal yang halus ini akan termendak di dasar tangki tersebut dan terasing dari sisa kumbahan cecair.

Konsep clarifier (Rujukan: sswm.info)

b) Proses biologikal menggunakan bantuan organisma hidup seperti bakteria untuk mencernakan bahan pencemar di dalam sisa kumbahan. Proses biological ini dibahagikan kepada dua mengikut jenis bakteria yg digunakan; anaerobik dan aerobik. Bakteria anaerobik tidak memerlukan oksigen manakala bakteria aerobik memerlukan oksigen untuk respirasi. Bakteria aerobik lebih efisien dalam merawat sisa kumbahan berbanding bakteria anaerobik, namun ianya memerlukan bekalan oksigen yg konsisten dari aerator/ diffuser (macam ikan dalam akuarium).

Tangki Aerobik & Anaerobik (Rujukan: Europages.co.uk)

c) Proses kimia menggunakan bantuan bahan kimia untuk mengurangkan bahan pencemar di dalam sisa kumbahan. Bahan kimia coagulant & flocculant seperti alum akan membantu menyahstabilkan dan menggumpalkan sisa pepejal halus ke saiz yg lebih besar. Proses pengasingan seperti pemendakan akan menjadi lebih mudah apabila sisa pepejal ini menjadi lebih besar. Klorinasi juga salah satu proses kimia dalam merawat sumber air minuman. Klorin di tambah dalam kuantiti yg tertentu ke dalam sistem rawatan air minuman untuk membunuh bakteria yg dikhuatiri boleh memudaratkan kesihatan.

Tahap pencemaran air diukur dengan beberapa parameter, antaranya COD (chemical oxygen demand), BOD (biochemical oxygen demand), TSS (total suspended solid) dll.  Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menetapkan had pelepasan untuk setiap parameter ini. Untuk sisa industri, kegagalan untuk mematuhi had pelepasan ini boleh menyebabkan pemilik premis dikenakan kompaun atau penjara.