Pengenalan

Madu merupakan campuran kompleks yang dihasilkan oleh lebah dan digunakan dengan meluas sebagai pemanis. Kaya dengan antioksidan, madu juga disebut dalam Al-Quran sebagai sumber penyembuhan penyakit. Pelbagai fakta atau mitos berkenaan madu lazim dibincangkan dalam masyarakat, antaranya madu yang akan menyebabkan sudu besi berkarat. Namun, mari kita kenali dulu berkenaan madu kelulut, benarkah ia baik dan terbaik di pasaran?

 

Beza lebah kelulut (kiri) dan lebah madu (kanan)

Lebah kelulut atau kelulut sahaja (juga digelar meliponini) ialah lebah tidak bersengat yang menghasilkan madu sama seperti lebah madu. Dianggarkan hampir 500 spesis kelulut terdapat di seluruh dunia.  Lebah kelulut boleh didapati di kebanyakan kawasan-kawasan tropika dunia, seperti Australia, Afrika, Asia tenggara, dan kawasan tropika Amerika. Kelulut menjadi madu yang agak popular kini kerana ianya berbeza daripada yang dihasilkan oleh lebah daripada lebah madu biasa dari segi warna, rasa dan kelikatan. Lebah Kelulut iaitu sejenis lebah yang bersaiz kecil kebiasaanya akan membina sarangnya di akar-akar atau tunggul pokok pada permukaan tanah.

Fisiologi warna madu Kelulut biasanya lebih jernih dan cair berbanding dengan madu lebah yang lain dan mempunyai rasa masam-masam manis. Kuantiti madu yang diperoleh daripada penuaian setiap sarang juga lebih rendah berbanding dengan sarang lebah biasa. Madu Kelulut tidak termasuk dalam standard antarabangsa bagi madu kerana tidak banyak yang diketahui mengenai lebah kelulut (Codex alimentarius, 2001) dan ia tidak dikawal oleh pihak berkuasa kawalan makanan. Hal ini menyebabkan adakalanya, terdapat madu kelulut palsu di pasaran.

Adakah benar Madu Kelulut ini baik?

Lebah Kelulut

Kajian MARDI terhadap komposisi madu Kelulut mendapati terdapat tujuh jenis bahan fenolik bebas dikenal pasti dalam madu Kelulut seperti asid benzoik, asid fenilpropanoik, asid 4-hidroksibenzoik, asid 4-hidroksifenil asetik, asid vanilik, asid protokatechuik dan asid p-koumarik. Kehadiran pelbagai jenis asid fenolik dalam madu Kelulut menunjukkan madu ini mempunyai pelbagai khasiat. Asid p-koumarik contohnya, mempunyai aktiviti antioksidan yang tertinggi diikuti dengan asid protokaechuik dan seterusnya asid vanilik. Asid p-koumarik yang dipercayai boleh mengurangkan risiko kanser perut dengan mengurangkan pembentukan bahan nitrosamin (karsinogen).

Asid fenilpropanoik iaitu sejenis bahan utama madu Kelulut mungkin boleh mengurangkan enzim cyclooxygenase-2 (COX-2). Enzim COX-2 memainkan peranan penting untuk pembentukan radang semasa perkembangan kanser usus besar. Bahan ini juga efektif dalam menurunkan tahap kolesterol dalam plasma dan hati serta trigliserida dalam darah. Namun begitu komposisi ini adalah berbeza mengikut kedudukan geografi dan juga jenis debunga yang dijadikan madu oleh lebah tersebut.

Namun, panas tidak sampai ke petang, hujan pula di tengah hari. Khasiat kelulut ini sebenarnya berbeza mengikut jenis spesis, geografi dan lokasi satelit. Selain itu, ia juga banyak dipengaruhi oleh khasiat flora dan fauna yang terdapat di sekitar ladang ternakan kelulut. Ada pengusaha yang mahukan ekstrak yang lebih, mereka mencampurkan gula melaka, ada pengusaha yang mahukan madu yang lebih, mereka campurkan madu lain (bukan kelulut). Berdasarkan kajian saya, madu dari spesies Itama merupakan madu yang paling tinggi kandungan antioksidan. Persoalannya, adakah anda tahu khasiat madu yang anda ambil itu dari spesies yang mana?

Jadi jelas, madu kelulut ini mempunyai pelbagai khasiat perubatan dan kesihatan, namun ia tidak pula menafikan khasiat madu lain seperti tualang dan madu dari lebah lain. Kasihan lebah lain pula! Kelulut lebih mudah diperoleh kini kerana semakin banyak ladang satelit yang telah menternak lebah kelulut dan kita sebagai pengguna, boleh saja memilih samada lebah kelulut atau madu dari lebah lain.

Mitos Madu dan Sudu

Penggunaan sudu dan madu

Pernah dengar beberapa fakta atau telahan berkenaan madu? Madu lazim diambil dalam masyarakat kini sebagai salah satu suplemen penting dalam kesihatan. Teringat ada pesan ayah dulu, adik makan madu jangan guna sudu besi. Adik makan madu, elok larut dalam air panas, soalnya, adakah ia benar?

Madu merupakan campuran kompleks yang dihasilkan oleh lebah dan digunakan dengan meluas sebagai pemanis. Kaya dengan antioksidan, madu juga disebut dalam Al-Quran sebagai sumber penyembuhan penyakit. Pelbagai fakta atau mitos berkenaan madu lazim dibincangkan dalam masyarakat, antaranya madu yang akan menyebabkan sudu besi berkarat.

Konsep madu yang tidak boleh dimakan.diambil dengan sudu besi jika dikaji, sebenarnya berkenaan sifat madu yang agak asidik (mempunyai pH 3.9 biasanya). Madu kelulut lazimnya mempunyai pH yang lebih rendah sedikit kerana rasanya sedikit masam berbanding madu lain. Sifat asidik ini dikatakan dapat menyebabkan sudu boleh berkarat. Setakat ini, tiada penerbitan atau kajian menyokong telahan yang mengatakan madu boleh menyebabkan sudu berkarat. Eksperimen penulis sendiri melihat penggunaan sudu besi untuk memasukkan madu sebagai perapan ayam, madu itu tidak pula menyebabkan sudu berkarat.

Ada juga telahan yang mengatakan sudu besi boleh menarik kandungan khasiat madu, namun seperti biasa tiada kajian yang menyokong fakta ini. Jadi, sebagai rakyat biasa yang lazim memerlukan bukti, saya masih menggunakan sudu besi. Tetapi, sebagai anak yang patuh kepada ayahnya, saya akan menggunakan sudu plastik sekiranya makan madu di hadapan beliau.

Jadi, tepuk dada, tanya selera.

Rujukan :

  1. S Roowi et al. 2011. Flavonoids in Tropical Citrus Species. J Agric Food Chem 59 (22), 12217-12225.
  2. Lebah Kelulut Malaysia: Biologi dan Penternakan. MARDI. Penerbit Mardi.
  3. Codex Alimentarius. International Food Standards. http://www.fao.org/fao-who-codexalimentarius/en/
  4. Sharif et al. 2017. Potential of kelulut honey from Trigona sp as novel supplement for chemoprevention: an in vitro study. (Submitted for Publication)

 

 

 

Shares