Di Kuala Terengganu, seorang remaja perempuan telah menghantar gambar separa bogelnya kepada seorang lelaki, Remaja itu baru berusia 13 tahun. Akibatnya, lelaki itu terus meminta gambar bogel penuhnya dengan mengugut mangsa. Gambar demikian akhirnya ditularkan kepada pelajar-pelajar di sekolah remaja perempuan berkenaan. Kes dilaporkan Sinar Harian pada tarikh 15 Ogos 2014.

Seorang remaja lelaki pula telah mengugut untuk menyebarkan gambar lucah dan aksi kelakuan lucah seorang budak perempuan berumur 13 tahun di media sosial. Remaja lelaki tersebut juga berumur 13 tahun. Selepas memaksa mangsa menghantar gambar dan video lucah melalui aplikasi Whatsapp dan Wechat untuk pertama kali, remaja lelaki itu menyuruh pula mangsa menghantar gambar dan video seterusnya, dan jika tidak dilakukan dia mengugut untuk memuatnaik gambar dan video yang telah didapatinya pertama kali ke media sosial. Kes ini dilaporkan Bernama, dan berlaku di Kuala Lumpur.




Apakah itu SEXTING?

“Sexting”, adalah fenomena yang sangat kerap berlaku pada masa kini. Sexting ditakrifkan sebagai penghantaran gambar lucah (atau separa lucah) dengan melakukan alat peranti elektronik. Ia juga didefinisikan sebagai penghantaran mesej-mesej lucah (secara tekstual) yang eksplisit.

Jika anda seorang ibu atau bapa, perkara ini sepatutnya sangat-sangat membimbangkan anda.

Ini kerana, dalam satu dapatan, di kalangan remaja berumur 12 hingga 13 tahun, 93 peratus mempunyai akses ke internet. Dengan 71 peratus menggunakan telefon bimbit, dan 23 peratus menggunakan telefon pintar. Anak-anak awal remaja kita sangat biasa dengan telefon bimbit dan internet.

Tapi adakah ini bermakna mereka juga biasa melakukan sexting? Jawapan yang anda tidak mahu tahu ialah, ya, sexting adalah sangat biasa di kalangan remaja sekolah menengah.

Dalam satu kajian, terdapat 18 hingga 28 peratus pelajar yang telah menghantar gambar lucah atau bermesej secara lucah. Ini bermakna, dalam setiap 10 remaja, terdapat 1 hingga 3 orang yang biasa melakukan sexting.




Apa yang bahayanya sexting ini?

Disebabkan remaja menjadi sangat berminat dengan hubungan romantis dan seksual ketika umur balighnya, sexting adalah lebih sering terjadi pada awal-awal persekolahan menengah. Sexting yang asalnya cuma hubungan di telefon bimbit atau media sosial sahaja ini boleh pula merebak kepada hubungan kelamin.

Mereka yang terlibat dengan sexting adalah lebih tinggi kebarangkaliannya terlibat dengan aktiviti seksual, mendedahkan mereka kepada kebahayaan penyakit HIV dan penyakit bawaan seks (sexually transmitted disease). Pelaku sexting juga lebih terdedah kepada risiko mengandung luar nikah di usia awal remaja.

Jenis aktiviti seksual yang mereka selalu melibatkan diri adalah menyentuh kemaluan orang lain, mempunyai “friends with benefit” , seks oral, ataupun seks vaginal. Remaja yang sexting mempunyai kebarangkalian yang tinggi iaitu 4 hingga 7 kali lebih tinggi kemungkinan untuk ke kancah aktiviti seksual seperti yang dinyatakan

Kenapa banyak kes sexting ini melibatkan pelajar perempuan?

Kerana secara statistiknya lebih banyak remaja perempuan yang menghantar gambar bogel atau separa bogel mereka kepada lelaki berbanding remaja lelaki yang menghantarkannya. Ini kemungkinan disebabkan lelaki yang lebih kerap memintanya. Kesimpulan kasar yang boleh dilihat di sini ialah, remaja lelaki sudah boleh bersikap memanipulasi teman-teman seusia mereka meskipun pada umur yang begitu muda sekali.

Tulisan ini adalah untuk membuka mata para ibu dan bapa, bahawa anak-anak pada awal remaja perlu dipelihara dan dipantau secara rapat. Mereka mungkin memerlukan perhatian yang lebih daripada anda. Dalam keadaan teknologi yang sangat pesat membangun, tindakan membiarkan akses kepada internet tanpa kawalan adalah tindakan yang begitu naif sekali.

Remaja-remaja ini adalah masa depan kita. Sesuatu perkara harus dilakukan supaya kita tidak menyebabkan mereka terjebak secara tidak sengaja ke kancah sexting ini.

Kerana jika dibiarkan, boleh jadi anak anda akan menjadi seorang pelakon porno jadian satu hari nanti.

Dan boleh jadi juga, (minta dijauhkan), mereka terlibat dengan zina dan menjadi ibu di usia yang terlalu muda.

Sanggupkah anda?




Rujukan:

[1] (http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/bimbang-gambar-bogel-tersebar-1.307904)

[2] (http://www.pru14.tv/2015/07/07/remaja-lelaki-13-tahun-ugut-sebar-gambar-lucah/)

[3] Sexting and Sexual Behavior in At-Risk Adolescent, Christopher D. Houck, David Barker, Christie Rizzo, Evan Hancock, Alicia Norton and Larry K. Brown. Pediatrics 2014;133;e276; originally published online January 6, 2014;

Shares