Anda selalu senggugut yang melampau ketika haid? Anda mempunyai masalah kesuburan?

Mungkin anda mempunyai masalah endometriosis

Endometriosis

Endometriosis merupakan salah satu keadaan dimana sel yang selalu menghasilkan darah haid berada di luar rahim. Sel tersebut dipanggil sebagai sel endometrium. Lokasi sebenar sel tersebut sepatutnya berada di dalam rahim. Sel ini akan membahagi dan menjadi tebal di dalam dinding bahagian dalam rahim. Ia berfungsi untuk menyediakan tempat yang sesuai supaya hasil persenyawaan ovum dan sperma dapat menempel pada dinding rahim.

Jika tiada penempelan berlaku, maka dinding rahim itu akan runtuh lalu terhasil lah darah haid. Kemudian kitaran haid akan bermula semula.

Di dalam endometriosis pula, sel endometrium tersebut berada di luar rahim sebagai contoh pada ovari, pada belakang rahim, pada tiup fallopia dan banyak lagi. Keadaan ini akan menyebabkan simptom-simptom endometriosis

Sel endomterium yang berada di luar rahim menyebabkan penyakit endometriosis. Ia boleh berada di mana-mana di dalam kawasan pelvis

Simptom

Disebabkan ia berpunca daripada sel endometrium yang menyebabkan haid berlaku, selalunya pesakit akan mengadu sakit bahagian abdomen dan belakang ketika datangnya haid.

Disamping itu pesakit juga akan mengadu:
1) Sakit ketika bersama suami
2) Sakit belakang
3) Mempunyai masalah sakit ketika buang air kecil dan air besar

Perkara ini selalunya menjadi semakin teruk ketika mana datang haid.

Punca endometriosis

Setakat ini, para saintis masih tidak lagi menemui punca kepada penyakit endometriosis.

Tetapi terdepat beberapa teori bagaimana endometriosis itu berlaku:

1) ‘Retrograde Menstruation‘: Dalam teori ini ia menyatakan bahawa darah period terlalu banyak hingga menyebabkan sel endometrium yang runtuh naik ke dalam tiub fallopia dan keluar ke bahagian abdomen. Disamping itu, adanya kajian yang menunjukkan pesakit endometriosis menghasilkan darah haid yang banyak jika dibandingkan dengan orang biasa. Sel endometrium daripada darah haid inilah yang dikatakan berubah menjadi penyakit endometriosis di dalam pelvis.

2) ‘Coelomic metaplasia‘: Dalam teori ini pula ia menyatakan bahawa sel yang berada di dalam pelvis boleh bertukar dengan sendirinya kepada sel endometrium

Ada beberapa teori lagi yang kompleks. Tetapi cukuplah kita ketahui bahawa punca kepada penyakit endometriosis ini belum lagi benar-benar ditemui

Bagaimana endometriosis menyebabkan ketidaksuburan?

Ketika mana datang bulan, sel-sel tersebut juga akan period. Ini menyebabkan kawasan yang terlibat mempunyai keradangan(inflammation). Keradangan yang kronik akan mengganggu struktur dan fungsi organ di dalam kawasan pelvis. Ia akan menyebabkan organ peranakan di dalam pelvis melekat diantara satu sama lain.

Ada beberapa penjelasan mengapa endometriosis menyebabkan ketidaksuburan:

1) Kesan toksik disebabkan keradangan kawasan yang mengalami endometriosis. Ketika berlakunya keradangan, bahan seperti cytokine dihasilkan dikawasan tersebut. Kompaun cytokine ini adalah kompaun yang juga menyebabkan keradangan. Ia akan mengganggu fungsi organ peranakan dikawasan tersebut dan menyebabkan ketidak suburan

2) Cytokine yang tinggi mengganggu fungsi ovary dalam penghasilan folikel(Ovum)

3) Keradangan kronik juga menyebabkan struktur dan lokasi organ peranakan seperti rahim, ovari dan tiub fallopian berubah. Perubahan pada struktur tiub fallopio boleh menyebabkan sumbatan pada tiub tersebut. Ini menyebabkan sperma tidak boleh bersenyawa di dalam ovari

Rawatan

Rawatan boleh dibahagikan kepada rawatan menggunakan ubat-ubatan dan juga pembedahan

Ubat-ubatan

Ubat yang selalu digunakan adalah bertujuan menghentikan haid. Ini kerana apabila haid tiada, maka sel endometrium pun tidak akan menghasilkan darah haid dan simptom endomteriosis pun tiada.

Bagi wanita yang masih muda, sudah tentu menginginkan cahaya mata. Rawatan yang selalu diberikan adalah ubat yang menghentikan haid dan haid akan diberhentikan selama 6 bulan. Ini bertujuan agar sakit tersebut dapat dielakkan dan organ di dalam pelvis diberi masa untuk sembuh. Selepas 6 bulan, pasangan boleh mula merancang.

Pembedahan

Sesetengah keadaan endometriosis pula memerlukan pembedahan. Terutamanya jika ia melibatkan gangguan pada strukur organ peranakan ataupun mempunyai endometriosis yang telah membentuk sista(cyst) yang besar.

Jika struktur organ peranakan berubah, pembedahan untuk membetulkan struktur tersebut akan meningkatkan kebarangkalian supaya wanita tersebut mengandung.

Sista(cyst) yang mengandungi darah haid. Ia juga dipanggil sebagai ‘Chocolote cyst’ kerana warna darah haid tersebut seolah-olah seperti cokelat.

Klinik kesuburan

Selalunya pesakit yang mempunyai masalah kesuburan perlulah dirujuk kepada klinik kesuburan. Disitu punca kepada ketidaksuburan akan disiasat. Sampel darah pesakit daripada wanita akan diambil untuk melihat bacaan hormon. Manakala, daripada bahagian lelaki pula, sampel sperma akan diambil untuk melihat kualiti dan kuantiti sperma.

Akhir kata, saya menasihatkan mereka yang mempunyai simptom diatas mahupun susah untuk mengandung untuk mengikuti klinik kesuburan.

Jika anda rasa perkongsian ini bermanfaat, jangan lupa like page kami Root of Science dan twitter kami

Shares