Pernahkah anda berfikir atau mempunyai pendapat mengenai sesuatu perkara, kemudian anda sedar anda telah tersilap? Anda sebenarnya telah mengalami penyimpangan dalam pemikiran (cognitive bias). Penyimpangan, atau bias dalam pemikiran membuatkan seseorang cepat dalam mengandaikan sesuatu dan ini boleh membuatkan seseorang itu mencapai kesimpulan yang salah.

Apa sebenarnya bias ini?

Penyimpangan dalam pemikiran adalah corak pemikiran yang menyimpang dari keputusan rasional. Ini menyebabkan andaian yang dibuat tidak masuk akal. Sebagai contoh, mesej terakhir dari orang tersayang sebelum meninggal dalam kemalangan jalan raya. Seringkali ianya menjadi berita sensasi di laman sosial apabila mesej yang dihantar seakan-akan berbaur ‘pergi tak kembali’.

Walhal, jika dilihat dalam konteks biasa (di mana arwah tidak terlibat dalam kemalangan), mesej tersebut menjadi sekadar perbualan harian. Ini dinamakan hindsight bias, di mana perkara-perkara yang telah berlaku pada masa lampau dilihat mempunyai kaitan antara satu sama lain walaupun sebenarnya tidak.

Bagaimana ia berlaku?

Secara umumnya, penyimpangan berlaku apabila seseorang mengalami satu daripada masalah ini:

  1. Kurang maklumat yang berguna;
  2. Perlu tindakan yang pantas;
  3. Had keupayaan memori;
  4. Terlalu banyak maklumat.

Bias bukanlah sesuatu yang negatif, kerana kadang-kala ianya membolehkan kita membuat keputusan yang tepat dengan cepat. Namun, ianya sangat mempengaruhi gaya pemikiran kita.

Antara contoh penyimpangan yang baik adalah apabila seseorang mengalami bandwagon effect dengan kumpulan yang memperjuangkan kebenaran (Bandwagon effect adalah kecenderungan untuk mempercayai sesuatu perkara hanya kerana ramai yang mempercayainya).

Namun, jika beliau tidak berfikir secara kritis tentang kumpulan tersebut, bias ini akan menjadi negatif pula. Antara penyimpangan yang selalu dialami oleh orang ramai adalah Negativity bias, Pareidolia, dan Barnum Effect.

1) Negativity Bias

Negativity bias berlaku apabila sesuatu maklumat yang dilihat sebagai negatif lebih memberi kesan berbanding maklumat positif. Dalam kata lain, sekiranya seseorang itu lebih mementingkan perkara buruk daripada perkara baik dalam membuat sesuatu keputusan, itu adalah negativity bias. Pernahkah anda dengar pepatah, ‘Satu kejahatan yang dibuat memadamkan seribu kebaikan yang telah dibuat’? Ini merupakan contoh yang malangnya sering berlaku dalam masyarakat kita hari ini.

Bias ini juga antara faktor mengapa tanggapan terhadap seseorang sukar diubah. Apabila si A telah berbuat jahat kepada si B kemudian menyesal dan meminta maaf, si B lebih cenderung untuk lebih berhati-hati dengan si A walaupun telah memaafkan beliau. Hasilnya, si A kurang dipercayai oleh si B.

2) Pareidolia

Pareidolia merupakan fenonema di mana minda menafsirkan corak tertentu berdasarkan rangsangan yang rawak. Bias ini lebih dialami oleh mereka yang berfikiran kreatif dan analitikal.

Corak yang biasa ditafsirkan adalah bentuk muka. Manusia cenderung untuk melihat muka dalam sesuatu corak. Semasa kanak-kanak, seringkali kita terhibur dengan bentuk awan. Kita melihat gumpalan awan dan membayangkannya sebagai kucing yang comel, atau muka yang tersenyum lebar.


Pareidolia bukan dialami oleh kanak-kanak sahaja. Orang dewasa juga boleh berfikiran sebegitu. Sebagai contoh, pada bulan September 2007 telah muncul pembentukan kalus di atas sebatang pokok di Singapura. Mereka yang melihat kalus itu terus mengaitkannya dengan bentuk monyet, dan dari monyet kepada tuhan Sun Wukong atau Hanuman. Kesannya, ramai yang mula menyembah kalus tersebut. Pembentukan itu adalah rawak, namun hasil daripada bias menyebabkan mereka yang menyembah kalus tersebut percaya bahawa itu adalah manifestasi tuhan mereka.

3) Barnum Effect

Barnum Effect adalah fenomena di mana seseorang menerima profil personaliti yang samar-samar dan mengakui ianya terpakai pada dirinya sendiri. Dalam kata lain, sifat yang diberi dalam profil tersebut dirasakan tepat oleh individu itu. Penyimpangan ini sering dipakai oleh penilik tangan, ahli astrologi dan kuiz personaliti dalam media sosial.

Profil personaliti ini perlu:

  1. Samar-samar, agar individu itu merasakan ianya boleh dikaitkan dengan dirinya;
  2. Memberi dua pernyataan bertentangan dalam satu ayat (contoh: kebiasaannya anda ceria, namun adakalanya anda sedih)
  3. Positif kepada penerima (contoh: anda seorang yang baik).


Penyimpangan ini boleh terjadi kepada semua orang, tidak kira budaya dan bangsa. Ini kerana mereka yang mempercayai profil palsu ini yakin terhadap kesahihan ilmu yang ada pada penilikan tersebut. Di samping itu penilik hanya memberi maklumat yang umum, namun penerima yang memberi ia maksud dan kaitan kepada dirinya. Sebagai contoh, jika anda melihat kepada kesemua pernyataan horoskop, anda akan mendapati bahawa kebanyakan daripada pernyataan yang ditulis terpakai untuk anda.

Kesimpulan

Secara ringkasnya, penyimpangan dalam pemikiran sangat kuat dalam mempengaruhi gaya kita berfikir dan membentuk pendapat terhadap sesuatu. Tiada cara untuk membuang bias daripada pemikiran. Sungguhpun begitu, kita masih boleh mengurangkan kesannya. Cara yang paling mudah adalah dengan menyedari apabila kita mengalaminya.

 

Rujukan:
Haselton, M. G.; Nettle, D. & Andrews, P. W. (2005). The evolution of cognitive bias. In D. M. Buss (Ed.), The Handbook of Evolutionary Psychology: Hoboken, NJ, US: John Wiley & Sons Inc. pp. 724–746
Cognitive bias cheat sheet – Better Humans. From https://betterhumans.coach.me/cognitive-bias-cheat-sheet-55a472476b18
Ng, H. H. (2007, September 13). Monkey See, Monkey Do. The New Paper. Retrieved from https://web.archive.org/web/20071014083330/http://newpaper.asia1.com.sg/printfriendly/0,4139,141806,00.html
Dickson, D. H., & Kelly, I. W. (1985). The ‘Barnum Effect’ in Personality Assessment: A Review of the Literature. Psychological Reports,57(2), 367-382.

Shares