Adakah manusia itu sekadar pecahan sel, tisu, organ dan bergabung membentuk sistem?

Apabila berjumpa dan bersalaman dengan orang yang dijangkiti flu, kita akan cenderung untuk mengelak, dan cepat-cepat membasuh tangan. Kita akan melakukan apa sahaja untuk membasmi diri kita dari dijangkita kuman atau bersentuhan dengan pelbagai mikrob di dunia ini. Namun hakikatnya, manusia ini secara praktikalnya adalah tidak ubah diibaratkan sebagai sebuah piring kultur mikrob bergerak yang terdiri daripada berbagai jenis bakteria, kulat, virus, Arkea (Archaea) dan macam-macam lagi. Malah, kewujudan kumpulan mikrob ini sebenarnya melebihi sel-sel manusia dari segi bilangan, mencakupi dari kulit, sehinggalah merentasi jauh ke dalam usus kita.

Konsep Microbiome, microbiota

Pada 2012, Institusi Kesihatan Kebangsaan (NIH) telah membentang hasil kajian pertama berkaitan The Human Microbiome Project dalam jurnal berprestij Nature. Kajian ini berfokus untuk mengenal pasti mikrob-mikrob yang terdapat di beberapa bahagian badan manusia yang sihat seperti kulit, perut dan vagina.

Konsep microbiome yang bermandiri untuk berfungsi di seluruh tubuh badan manusia ini telah memberikan inspirasi kepada seorang anak seni bernama Joana Ricou untuk menghasilkan karya bertajuk Other Selves: An Artistic Study of the Human Microbiome dan Bellybutton Portrait Series. Dalam proses seni ini, Ricou yang mempunyai latar belakang dalam bidang sains biologi dan seni dari Carnegie Mellon University, akan mengambil sampel dari seluruh badannya seperti kulit, kepala dan sebagainya dengan menyapu kapas. Kemudian sampel ini akan dibiakkan pada permukaan piring petri dan dieramkan dalam makmal. Setelah beberapa hari, mikrob-mikrob ini akan tumbuh pada permukaan piring ini, dan akan dikenalpasti. Memang benar, dia dapati terdapat kulat, bakteria, dan sebagainya yang hidup pada permukaan piring petri tersebut. Gambar-gambarnya pula diambil sebagai hasil kerja seninya.

 

Jeroen-Raes_Affiche-Darmflora Project_275_logo-KUL

Ledakan Kajian Microbiome

Dengan perkembang teknologi Jujukan Genom Berkapasiti tinggi (High-throughput Sequencing), kajian berkaitan human microbiome mengalami ledakan yang amat dahsyat. Banyak kajian yang dilakukan untuk mengenalpasti microbiome ini dan kaitannya dengan kesihatan manusia. Menariknya, microbiome pada kanak-kanak adalah berbeza pada orang dewasa. Orang yang tua, dan terlalu tua (cantenarian) juga mempunyai kandungan microbiome yang berbeza dari orang muda. Orang yang sihat juga berbeza kandungan microbiome untuk orang yang sakit. Orang yang gemuk juga mempunyai microbiome yang berbeza dengan orang yang kurus. Dan pelbagai lagi.

Pada penulisan-penulisan akan datang, saya akan sajikan tentang topik-topik yang dinyatakan di atas.

Selain itu, kajian selanjutnya juga banyak dilakukan untuk mengenalpasti hubungkait komposisi microbiome ini dengan tubuh badan manusia sebagai host. Banyak kajian telah membuktikan bahawa pengambilan ubatan seperti antibiotik yang berterusan, gaya hidup, diet dan beberapa faktor lain lagi banyak membentuk komposisi microbiome ini.

Permulaan Microbiome

Dari sudut pandang Islam (dan beberapa agama yang lain), manusia tunggal yang pertama diciptakan oleh Allah adalah berasal dari unsur tanah. Menariknya kandungan microbiome yang dijumpai pada manusia juga menyerupai mikrob-microb yang dijumpai dari alam persekitaran terutamanya tanah dan sebagainya. Umumnya, bayi yang lahir terdedah kepada microbiome buat kali petama melalui proses kelahiran. Terdapat kajian bahawa bayi yang lahir mengikut pembedahan Caesarean dan bayi yang lahir melalui kelahiran normal mempunyai profil microbiome yang berbeza. Malah, terdapat juga kajian menunjukkan bayi yang menyusu badan dan juga mengambil susu formula juga menunjukkan kandungan profil microbiome yang tersendiri.

Apa Lagi Selepas Microbiome?

Pendek kata, kajian berkaitan konsep microbiome adalah baru. Namun, data-data yang didapati dari kajian-kajian ini amatlah menarik untuk diberikan perhatian. Malah, para saintis sedang giat mencari hubungkait kandungan microbiome dalam badan dengan status kesihatan individu. Saya menjangkakan suatu masa nanti, bidang perubatan akan mengalami ledakan perubahan kesan dari pada ilmu-ilmu berkaitan microbiome.

Sebagai contoh, individu yang sihat mempunyai kandungan microbiome teras (core microbiome) yang terkawal, manakala individu yang sakit (contohnya irritable bowel syndrome IBS) mempunyai kandungan microbiome yang kecelaruan (dysbiosis). Secara logiknya, saya melihat adalah baik untuk kita berusaha untuk menjaga kandungan microbiome dalam badan pada paras yang baik untuk memastikan kesihatan yang baik. Namum, ilmu berkaitan microbiome haruslah terus menerus difahami.

Shares