0Shares

Anda lahir pada bulan April? Tahniah, anda seorang yang ceria! Eh, tetapi anda menyukai warna ungu? Ini bermakna anda seseorang yang suka misteri. Bagaimana pula dengan jenis darah anda? Jenis B? Oh, anda seorang yang pandai berdikari!

 

Ayat di atas adalah contoh yang kerap digunakan dalam kuiz personaliti di laman internet. Sesetengah kuiz memberikan situasi kepada anda, dan kemudian memberi keputusan berdasarkan jawapan anda. Persoalannya, adakah ianya betul?

Apa Itu Personaliti?

Ahmad merupakan seorang yang penyabar, Lee seorang pendiam dan Sonia adalah teliti. Kata sifat ini kesemuanya menggambarkan sesuatu perkara tentang seseorang. Inilah yang dikatakan personaliti. Dalam kata lain, personaliti adalah corak tingkahlaku, gaya pemikiran dan emosi yang dipamerkan oleh seseorang dalam pelbagai situasi.

Personaliti merupakan salah satu topik yang sukar ditakrifkan oleh ahli psikologis. Ini kerana pelbagai teori yang diutarakan tidak dapat menjelaskan secara menyeluruh apa itu personaliti. Antara faktor yang sama bagi teori personaliti adalah berkenaan pengalaman hidup, kepercayaan asas, dan persekitaran.

Teori Personaliti

Personaliti bukanlah sesuatu yang baru dibincangkan pada zaman moden. Bangsa Yunani telah membicarakan tentangnya pada zaman mereka, walaupun untuk sebab yang berlainan dengan pengkaji masa kini. Sebagai contoh, Hippocrates mencadangkan manusia terdiri daripada dua jenis sikap panas/sejuk dan kering/basah. Dengan menggabungkan kedua-dua sikap ini, beliau menghasilkan empat sifat yang berada di dalam manusia. Sifat ini dikawal oleh jenis dan tahap cecair hempedu seseorang; cecair hitam, kuning, merah, dan putih. Anda mungkin pernah terjumpa pembahagian ini dalam kuiz personaliti; melancholic (sedih/sugul), choleric (panas baran/marah), sanguine (tergesa-gesa/extrovert) dan phlegmatic (tenang/introvert).

Hippocrates menggunakan empat jenis sifat ini untuk merawat penyakit pada zaman itu. Namun, dia juga berpendapat bahawa perbezaan pada keseimbangan cecair hempedu tersebut akan menyebabkan seseorang itu berubah personaliti.

 

Setelah Wilhelm Wundt menubuhkan psikologi sebagai satu bidang sains, ianya berkembang dengan cepat. Personaliti mendapat cabangnya tersendiri dalam psikologi dan pelbagai kajian dilakukan untuk mengetahui apa yang membuatkan manusia berbeza. Daripada ini, pelbagai teori dihasilkan, antaranya daripada Hans Eysenck dan Lewis Goldberg.

Hans Eysenck menerbitkan satu teori yang mengatakan personaliti ditentukan oleh pelahiran genetik dan fisiologi seseorang. Secara umumnya, seseorang yang lahir dengan tahap ransangan yang rendah di otak mereka (low state arousal of brain) akan menjadi introvert dan sebaliknya. Manakala dari segi emosi, sistem saraf simpatetik memainkan peranan dalam menentukan sama ada seseorang itu stabil atau tidak. Untuk menguji teori ini, Eysenck membuat satu soal selidik yang mengukur empat jenis dimensi yang berlainan; Neuroticism, Extraversion, Psychoticism dan Lie Scale.

Lewis Goldberg merupakan ahli psikologis yang menghasilkan lima dimensi personaliti, setelah menyambung kajian Warren Norman ke atas teori personaliti Cattell. Goldberg memberi ungkapan ‘Big 5’ kepada dimensi yang diolahnya. Kemudian Paul Costa dan Robert McCrae, dua ahli psikologis, mengesahkan ‘Big 5’ yang dikaji oleh Goldberg. Pengesahan dimensi Goldberg dibuat oleh mereka secara berasingan, lantas mengukuhkan teori ini. Daripada itu, terhasillah model Five-Factor yang digunakan dalam soal selidik NEO-PI-R.

Kesimpulan

Seperti yang anda telah baca, personaliti merupakan subjek yang rumit dan mendalam untuk dikaji. Untuk mengetahui personaliti seseorang memerlukan teori yang telah dikaji dan dibuktikan dengan sah melalui ujian yang dicipta khas untuk mengukur sesuatu dimensi. Oleh itu, kebanyakan ujian personaliti yang dijumpai di media sosial kurang tepat dan hanya patut diambil sebagai hiburan sahaja.

 

Rujukan:

  1. Cloninger, S. (2012). Theories of personality: Understanding persons., 6th Edition
  2. Corr, P. J., & Matthews, G. (Eds.). (2009). The Cambridge handbook of personality psychology. New York: Cambridge University Press.
  3. Dumont, F. (2010). A history of personality psychology: Theory, science, and research from Hellenism to the twenty-first century. Cambridge University Press.