Beberapa hari belakangan ini, kita sering membaca berita letusan Gunung Berapi Agung di Bali, Indonesia. Walaupun letusan berskala besar belum berlaku, kepulan awan debu panas telah pun menyebabkan penerbangan ke pulau tersebut tergendala atau dibatalkan.

Letusan Gunung Berapi Agung di Bali, Indonesia. (Sumber: MAGMA Indonesia)

Bencana gunung berapi merupakan satu perkara yang asing di Malaysia, justeru mari kita mengenali selok-belok mengenai gunung berapi ini.

Pembentukan

Terdapat beberapa jenis pembentukan gunung berapi, yang berkait rapat dengan aktiviti tektonik di permukaan bumi.

i) Aktiviti subduksi

Subduksi berlaku apabila kerak lautan menyusup ke bawah kerak benua seperti gambar rajah di bawah (Nota: kerak bumi adalah lapisan bumi paling luar). Apabila kerak ini sampai ke bahagian mantel bumi, pencairan berlaku dan membentuk magma. Magma ini kemudiannya bergerak ke permukaan membentuk gunung berapi.

Pembentukan gunung berapi akibat aktiviti subduksi. (Sumber: Oregon State)

Gunung berapi jenis ini merupakan yang sering dijumpai. Gunung berapi di Indonesia, Filipina, Jepun kebanyakannya terbentuk akibat aktiviti subduksi. Lingkaran Api Pasifik yang melingkari negara-negara tersebut menyumbang kira-kira 75% jumlah gunung berapi di dunia ini.

ii) Aktiviti pencapahan

Pencapahan merujuk kepada kepada dua kerak yang terbelah akibat magma yang naik ke permukaan. Tidak faham? Rajah di bawah menerangkan aktiviti ini.

Rajah di atas menunjukkan analogi aktiviti pencapahan yang menyebabkan kerak terbelah akibat magma naik ke permukaan.

Kebanyakan gunung berapi yang terbentuk akibat aktiviti pencapahan berada di dasar lautan menyukarkan aktiviti ini dikesan. Namun, fenomena ini berlaku di daratan di Iceland, sebuah kepulauan di Eropah. Letusan Gunung Berapi Laki pada 1783 merupakan contoh popular letusan akibat pencapahan.

Kesan permukaan bumi yang terbelah akibat letusan Laki pada tahun 1783 di Iceland. (Sumber: Mother Nature)

iii) Bintik Panas (Hotspot)

Bintik panas merujuk kepada kawasan di mana magma dari dasar mantel naik ke permukaan, membentuk gunung berapi tanpa dipengaruhi oleh aktiviti tektonik lain. Contoh terbaik gunung berapi jenis ini adalah rantaian gunung berapi di Hawaii, jauh daripada mana-mana zon tektonik major di Plat Pasifik.

Letusan Gunung Berapi Kilauea, Hawaii. (Sumber: The Guardian)

Bahaya Gunung Berapi

Jika kita seringkali mengaitkan gunung berapi dengan aliran lava, bahaya utama gunung berapi bukannya datang dari lava tersebut, tetapi boleh datang dari aliran piroklas iaitu kepulan debu panas sehingga 1000°C yang bergerak sehingga 700km/j seperti gambar di bawah akibat letusan Pinatubo pada tahun 1991.

Mt. Pinatubo, a volcano in Central Luzon in the Philippines, had been dominant for 600 years until June 15 1991 at seven in the morning exploded and destroying and burning everything in their path. PHOTO BY ALBERTO GARCIA

Anda pernah lihat mayat yang bertukar menjadi batu akibat letusan Pompeii bukan? Mayat tersebut dibakar oleh panas debu aliran piroklas ini, bukannya aliran lava yang ramai sering tersalah anggap.

Selain itu, debu gunung berapi juga mampu membawa gas beracun yang boleh menyebabkan mangsa sesak nafas. Namun, apabila debu ini bercampur dengan air hujan, mereka membentuk kombinasi yang lebih memusnahkan – aliran lahar. Aliran lahar ini berkelakuan seperti aliran lumpur berskala besar berupaya memusnahkan bangunan dan menenggelamkan bandar.

Image result for lahar nevado del ruiz

Gambar di atas menunjukkan bandar Armero yang tenggelam akibat aliran lahar ketika letusan Gunung Berapi Nevado del Ruiz pada 1985. Para penduduk tidak sempat menyelamatkan diri membunuh 20 000 orang.

Gambar di atas ialah Omayra Sanchez, mangsa yang terperangkap dalam aliran lahar di bandar Armero. Mangsa berpaut dan cuba diselamatkan selama 60 jam, namun gagal. Mangsa meninggal dunia beberapa jam selepas gambar ini diambil.

Dah tahu bahaya gunung berapi, kenapa duduk situ?

Persoalan ini mungkin seringkali bermain di minda kita, mengapa harus merisikokan nyawa sedangkan banyak tempat lain untuk didiami?

Tanah di sekitar gunung berapi ini kebiasaannya subur, kerana abu gunung berapi ini mengandungi nutrien yang menggalakkan penanaman tumbuhan. Justeru, seperti di Pulau Jawa, populasi berkembang pesat kerana tanah yang subur hasil aktiviti volkanik.

Petani masih menjaga sayuran walaupun Gunung Sinabung meletus di Sumatera, Indonesia. (Sumber: ABC News)

Ada ke gunung berapi di Malaysia?

Jangan risau, Malaysia tidak mempunyai sebarang gunung berapi aktif dalam rekod. Walaupun dari segi geologi, gunung berapi pernah mewarnai landskap Malaysia kuno jutaan tahun dahulu, aktiviti gunung berapi tersebut telah beransur hilang dan dikelaskan sebagai “extinct volcano

Sebagai contoh, di sekitar Tawau, Sabah terdapat sebuah lapangan gunung berapi kuno di sekitar Taman Perbukitan Tawau. Gunung Maria dahulunya merupakan sebuah gunung berapi besar dengan diiringi beberapa cinder cones iaitu gunung berapi kecil seperti Bukit Bombalai.

Kedudukan Gunung Maria dan Bukit Bombalai di Tawau Sabah. Struktur kaldera, iaitu kawah gunung berapi masih lagi jelas kelihatan walaupun tidak lagi aktif (Sumber peta: Wikimapia)

Kali terakhir letusan gunung berapi dianggar ketika Pra-Holosen, iaitu lebih 10 000 tahun dahulu. Justeru, jangan risau kerana gunung berapi tersebut boleh dianggap telah pupus / extinct.

Sekian sahaja artikel berkenaan gunung berapi ini, moga bermanfaat kepada pembaca.

 

Shares