Skip to content

Bukit Batu Kapur: Antara Sumber Ekonomi dan Warisan Alam

  • by

Memandu kereta dari Kuala Lumpur ke utara Semenanjung berhampiran Simpang Pulai, kita akan ‘disambut’ oleh bukit batu kapur yang tersergam indah membelah awan. Dinding batu berwarna putih kekelabuan menjadi sarang sang kelawar dan juga burung di sebalik gua-gua yang seolah-olah menyimpan seribu satu misteri. Namun sebaik tiba di Ipoh, satu per satu bukit ini ditarah, jasadnya dipotong dan diletupkan sehingga tiada siapa mengenali indahnya bukit ini suatu ketika dahulu. Kadang kala kita bertanya, adakah berbaloi keindahan alam ini dikorbankan bagi mendapatkan marmar yang tidak kurang indahnya di lantai bangunan?

Kuari bukit batu kapur yang sering kita lihat dari Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Ipoh (sumber: http://geomaira90.blogspot)

Taburan Batu Kapur di Semenanjung Malaysia

Sebelum kita berbincang lebih lanjut tentang kepentingan bukit batu kapur ini, adalah lebih baik kita mengenali di mana perbukitan ini ditemui. Di utara tanah air, perbukitan batu kapur tertumpu di kawasan Kodiang, Chuping, Sempadan Perlis-Thailand, Langkawi, dan Baling. Turun ke selatan, kawasan Ipoh sudah memang sinonim dengan pemandangan struktur kars (struktur bukit batu kapur curam), malah di Kuala Lumpur sendiri mempunyai bukit Batu Caves. Di pantai timur, bukit batu kapur ditemui di kawasan Kuala Lipis hingga ke Gua Musang.

Kepentingan Perbukitan Batu Kapur

1. Pelancongan

Apabila bercakap tentang perkaitan pelancongan dan bukit batu kapur ini, pasti anda terfikir tentang aktiviti menerokai gua batu kapur sahaja, tetapi tahukah anda bahawa landskap indah yang dibawa oleh perbukitan batu kapur ini membantu membentuk sebuah pusat pelancongan yang diiktiraf oleh UNESCO iaitu Langkawi Geopark. Pengiktirafan Langkawi sebagai Geopark ini telah membantu menarik lebih ramai pelancong yang ingin menikmati keindahan landskap dan pemandangan kars batu kapur ini.

Langkawi Geopark yang diiktiraf UNESCO. Dua daripada kawasan tarikan utama; iaitu Kilim Karst Geoforest Park dan Dayang Bunting Marble Geoforest Park dibentuk oleh perbukitan batu kapur. Tasik Dayang Bunting terbentuk akibat sinkhole yang berlaku pada jasad batu kapur. (Sumber gambar: https://langkawi-gazette.com)

Malah kawasan Lembah Kinta (Ipoh) juga baru diwartakan sebagai Geopark kebangsaan dek kerana keindahan landskap batu kapurnya.

Lembah Kinta Geopark – biarpun bukanlah bertaraf global seperti di Langkawi, namun pengiktirafan keindahan landskap batu kapur ini mampu membantu membawa lebih ramai pelancong ke kawasan tersebut dengan promosi yang berkesan.(Sumber gambar: https://www.backpackingmalaysia.com)

2. Kepelbagaian biodiversiti

Berbeza dengan majoriti kawasan lain, perbukitan batu kapur ini mempunyai biodiversiti tersendiri, kerana kandungan tanah batu kapur yang berbeza dengan tanih laterit lain menyokong pertumbuhan tumbuhan yang unik. Malah, bukit batu kapur yang berbeza mungkin menyimpan spesis tumbuhan dan fauna berbeza.

Siapa sangka bukit kecil seperti Batu Caves, memiliki spesis yang tidak ditemui di mana-mana lokasi lain di dunia. Liphistius batuensis ini hanya endemik di dalam gua di Batu Caves. (Sumber: The Star)

Bunga ini, Pararuellia sumatrana ridleyi pula hanya dijumpai di Batu Caves, dan juga baru ditemui di perbukitan batu kapur sekitar Merapoh, Pahang. (Sumber: The Star)

3. Pusat Keagamaan

Perbukitan batu kapur juga menjadi tumpuan aktiviti spiritual seperti bukit Batu Caves di Selangor dan juga Kek Lok Tong di Ipoh. Gua yang terdapat pada bukit batu kapur ini menjadi tumpuan para penganut pelbagai agama

Bukit Batu Kapur dalam Bahaya

Dek kerana kerakusan manusia, bukit-bukit batu kapur ini diancam untuk diteroka dan dimusnahkan bagi mendapatkan marmar yang tersimpan di dalamnya dan juga pemprosesan simen. Jika bukit batu kapur di Langkawi dan Lembah Kinta lebih terpelihara dengan adanya Geopark, bukit batu kapur di lokasi lain mungkin kurang bernasib baik tanpa perlindungan. Perbukitan di Merapoh khususnya, kini sudah mula ditarah dan mungkin akan dijarah. Landskap indah seperti gambar di bawah mungkin tidak dapat lagi dilihat oleh generasi akan datang hanya kerana keuntungan sesetengah pihak.

Kolam travertine yang terdapat pada Gua Tahi Bintang di Merapoh. Perbukitan batu kapur di Merapoh ini diancam pembangunan untuk sumber industri simen. (Sumber: The Star)

Justeru, kita seharusnya memelihara perbukitan batu kapur di negara kita bagi memastikan khazanah negara baik dari segi panorama, fitur dan juga hidupan endemik terus kekal untuk tatapan generasi akan datang. Sekiranya pembaca ingin menerokai perbukitan batu kapur ini, Gua Tempurung di Perak merupakan satu destinasi yang cukup popular.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 + 3 =